Skip to main content

Adiguru Kraf Ukiran Topeng / Patung

Mendiang Pion Anak Bumbong

Nama
Mendiang Pion Anak Bumbong
Bidang Kraf
Aneka Kraf
Adiguru
Adiguru Kraf Ukiran Topeng / Patung
Negeri
Selangor
Tarikh Lahir
1967 - 10 Mei 2014
Lantikan Pertama
2006
LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Masyarakat orang asli di antara suku kaum minoriti yang tinggal di negara ini dan mempunyai seni kemahiran tangan yang turut mewarnai industri kraf negara. Seni kraf mereka turut mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara. Antara seni kemahiran yang telah mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara adalah ukiran patung dan topeng. Salah seorang pengukir patung yang terkenal ialah Pion anak Bumbung yang dilahirkan pada 8 Ogos 1947.



Mendiang Pion anak Bumbong merupakan anak jati Kampung Orang Asli Pulau Carey. Beliau adalah dari kalangan masyarakat Mahmeri yang mengusahakan kraf ukiran kayu dengan membuat ukiran topeng dan patung hampir 40 tahun. Seni ukiran ini telah diwarisi sejak turun temurun dari nenek moyang beliau.

Keunikan hasil rekaan patung dan topeng yang dihasilkan oleh beliau adalah dari ukiran tangan dan tidak menggunakan peralatan seperti mesin. Manakala bahan mentah yang digunakan ialah kayu Nyireh Batu yang banyak terdapat di pantai Negeri Selangor. Ukiran kayu Nyireh Batu adalah satu hasil kraf yang dibanggakan oleh masyarakat Mahmeri kerana keunikan kayu tersebut dan ukiran merupakan kerja tangan yang amat sinonim dengan masyarakat Mahmeri.

KREATIVITI, PENGALAMAN DAN PENCAPAIAN ADIGURU

Keistimewaan yang ada pada beliau dalam seni mengukir ini ialah teknik buatan yang tiada tolok bandingnya dan kekemasan serta kualiti pada produk yang dihasilkan. Dalam menghasilkan produk, beliau banyak mendapat ilham sendiri. Kebanyakan ilham datangnya dari alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Tujuan utama beliau menceburkan diri sepenuhnya dalam bidang ukiran kayu ini ialah kerana minat yang begitu mendalam dalam seni ukir yang melambangkan masyarakat Mahmeri. Selain itu atas kesedaran beliau untuk mengekalkan seni warisan kraf ini menyebabkan beliau meneruskan usaha ayahnya untuk menghasilkan produk ukiran ini. kebanyakan kerja dan hasil kraf yang dihasilkan didokumentasi dan dirakam oleh badan-badan penyiaran, akhbar-akhbar tempatan dan penerbitan majalah.

Antara contoh-contoh produk yang dikeluarkan oleh kebanyakan pengukir adalah hasil dari tunjuk ajar beliau adalah Moyang Buaya, Moyang Gendi, Moyang Puting Beliung , Moyang Tanjung, Moyang Goyang, Moyang Tenung Mengidam, Moyang Pucuk Paku, Moyang Sauh, Moyang Bujam, Moyang Ba’ai, Moyang Pelimbai, Moyang Tok Naning, Moyang Katak Kaler, Moyang Kotak Daun, Moyang Sepua Air, Moyang Badi Gajah, Moyang Harimau Berantai, Moyang Tupai Belalang, Moyang Kelolong, Moyang Melur.



PENGALAMAN DAN PENCAPAIAN ADIGURU

Beliau juga banyak melibatkan diri dalam pertandingan dan pameran di peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan hasil dari pengalaman beliau selama lebih 40 tahun di dalam bidang ukiran kayu. Selain mendapat tempahan ukiran kayu daripada masyarakat tempatan, beliau juga telah mendapat tempahan ukiran kayu daripada serata pelusuk tanahair termasuklah dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, New Zealand, dan Australia.

Beliau juga pernah dijemput untuk mengadakan demonstrasi ukiran kayu di negara-negara terbabit bagi memudahkan masyarakat tempatan menilai seni kahalusan yang terdapat pada setiap hasil ukiran mendiang. Beliau diberikan peluang memperkenalkan seni ukiran kayu Kaum Mahmeri dengan turut serta di dalam sesuatu acara kesenian kraftangan yang dianjurkan oleh badan badan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan.



Beliau telah memasuki beberapa pertandingan ukiran kayu, antaranya ialah pertandingan ”Handicraft Product in Southeast Asia” anjuran UNESCO pada tahun 2004 yang diadakan di Thailand. Di dalam pertandingan ini, Mendiang Pion telah mendapat tempat pertama dengan hasil ukiran kayunya “ Moyang Harimau Berantai. Pada tahun 2005, Mendiang Pion juga telah memasuki pertandingan ”Handicraft Product in Southeast Asia” anjuran UNESCO yang diadakan di Thailand. Di dalam pertandingan ini, Mendiang Pion telah mendapat tempat pertama dengan hasil ukiran kayunya “Moyang Jenug Jerat Harimau".

SUMBANGAN ADIGURU TERHADAP INDUSTRI KRAF

Sehingga kini banyak ilmu, serta kemahiran diturunkan kepada anak beliau. Selain itu atas dasar dan kesedaran untuk mengekalkan warisan ini, beliau banyak mengajar golongan muda dan pelapis di Kampung Sungai Bumbun. Kebanyakan golongan pelapis ini telahpun berjaya dan menjadikan ukiran kayu ini sebagai sumber pendapatan mereka. Selain itu ukiran kayu ini juga menjadi sumber pendapatan utama beliau untuk menyara keluarga.



Sepanjang hayat beliau memperlihatkan kegigihan dan kesungguhan penglibatan dalam memberi sumbangan yang berterusan ke arah membangun dan memartabatkan industri kraf negara. Beliau juga merupakan seorang yang berwibawa, mahir dan berpengetahuan dalam bidang kraf yang diceburi. Beliau juga tidak lokek dengan ilmu yang di ketahui. Bagi beliau, ilmu yang terdapat di dalam diri adalah salah satu warisan yang perlu di teruskan agar ianya kekal selamanya untuk tatapan masyarakat setempat.



Kemahiran beliau mendapat pengikitrafan dan pada tahun 2006, beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Topeng / Patung oleh Kraftangan Malaysia. Mendiang Pion Anak Bumbung telah meninggal dunia pada tanggal 10 Mei 2014 (Sabtu) di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor.
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman