Skip to main content

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Pengenalan

Kompleks Kraf Kuala Lumpur merupakan destinasi persinggahan pelancongan berkonsepkan ikonik seni yang terletak di tengah pusat bandar. Pusat kraf setempat ini menawarkan produk yang berkaitan dengan pelancongan seperti produk berteraskan seni dan kraf, untuk pengunjung tempatan dan luar negeri. Kompleks yang bercirikan seni bina Melayu Terengganu ini menghimpunkan produk-produk kraf tangan tradisi dan moden kontemporari dari seluruh pelusuk negara.

Kompleks Kraf yang mengetengahkan panorama desa dengan landskap, membezakan bangunan ini daripada pusat beli-belah berprestij di sekitar Kuala Lumpur. Ianya berteraskan empat konsep iaitu pendidikan, pemasaran pembudayaan dan penginapan. Mengunjungi Kompleks Kraf umpama menerokai kehidupan masyarakat Malaysia yang penuh dengan kegemilangan seni kraf turun-temurun.

  • KRAF AUTENTIK MALAYSIA
    Kompleks Kraf Kuala Lumpur menawarkan kepelbagaian produk autentik yang boleh dijadikan sebagai cenderamata, hiasan dalaman, perhiasan diri, fesyen dan tekstil terkini, produk hiasan laman dan taman mahupun untuk kegunaan harian. Cenderamata yang unik ini boleh didapati dan dibeli di Kedai Karyaneka Cenderamata. Kedai Karyaneka Korporat pula menawarkan cenderamata yang berasaskan logam perak, tembaga, piuter, kayu dan kristal. Peminat-peminat fesyen warisan boleh mendapatkan koleksi menawan hasil daripada tekstil batik, tenunan dan songket di Butik Kraf Karyaneka.

    MUZIUM KRAF
    Muzium Kraf menyalurkan maklumat dalam peradaban seni kraf melalui pameran artifak-artifak lama di samping memaparkan perkembangan teknologi dalam menghasilkan produk kraf serta proses pembuatannya. Pameran yang berkonsepkan diorama merupakan inisiatif pemuliharaan, pendokumentasian dan disampaikan sebagai unsur pengetahuan kepada generasi kini. Pengunjung berpeluang mengenali kraf tempatan melalui keunikan produk, paparan motif, garapan bahan dan proses pembuatan serta fungsi produk itu sendiri. Mengenali muzium sebagai sumber pendidikan membuka minda pengunjung dalam menghayati dan mempelajari sejarah sesuatu peradaban.

    PENDIDIKAN
    Keunikan Kompleks Kraf Kuala Lumpur disulami dengan aktiviti-aktiviti yang ditawarkan melalui gabungan elemen seni dan pendidikan yang diterapkan pada setiap produk pelancongan. Alami sendiri pengalaman menghasilkan produk kraf di Perkampungan Kraf dalam seni pembuatan batik, seramik, logam dan piuter. Pengunjung yang datang ke perkampungan ini dapat menyaksikan bagaimana karyawan seni menghasilkan hasil seni berimejkan Malaysia dari pelbagai medium, gaya dan bentuk. Ia diterjemahkan melalui kanvas, teknik catan mahupun potret dan setiap hasilnya memberikan satu santapan jiwa yang menarik. Selain mempelajari seni catan, pengunjung boleh berinteraksi serta menyaksikan karyawan seni berkongsi idea dan ilham serta mengembangkan idea kreatif mereka.

    KAFE
    Kafe Craft Delight menyediakan ruang yang menyajikan makanan tempatan lazat dengan harga berpatutan. Pengunjung boleh merehatkan diri sambil menjamu selera di kafe ini.

  • Isnin hingga Ahad (setiap hari)
    9.00 pagi hingga 6.00 petang

  • Kompleks Kraf Kuala Lumpur menyediakan perkhidmatan Berpandu Berkumpulan secara percuma kepada semua pengunjung.

    Bagi mereka yang berminat untuk menempah dan memerlukan sebarang maklumat tambahan atau pertanyaan, sila hubungi pegawai kami di talian 03-2161 1470/1480 (Talian Terus) / 03-2162 7459/7533 (Talian Umum)

    Anda juga boleh hubungi kami melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

    Borang Lawatan Berpandu Berkumpulan

  • Terdapat kemudahan-kemudahan komuniti dan sosial sedia ada yang boleh disewa oleh syarikat-syarikat konglomerat, swasta, agensi kerajaan serta individu bagi aktiviti perkahwinan, acara korporat , jamuan makan, majlis perasmian, seminar dan aktiviti-aktiviti riadah.

    DEWAN SERI UTAMA
    Ruang ini boleh memuatkan seramai 100 orang dalam satu masa dengan selesa untuk majlis jamuan makan dan seminar.

    PANGGUNG SARI
    Ruang amfiteater dengan rekaan ukiran kraf bercirikan moden dan tradisional ini dilengkapi kemudahan sistem bunyi dan skrin LED. Panggung ini sesuai bagi acara korporat dan perasmian di mana ia boleh menampung seramai 600 hingga 700 orang untuk satu acara.

    LAMAN WAU
    Ruang yang berhias indah dengan ukiran moden dan tradisional ini sesuai untuk aktiviti santai yang berskala kecil. Ianya turut dilengkapi dengan tata rias dan pencahayaan, kemudahan sistem bunyi dan skrin LED. Boleh memuatkan seramai 100 hingga 150 orang dalam satu masa.

  • Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
    Kompleks Kraf Kuala Lumpur
    Seksyen 63, Jalan Conlay
    50450 Kuala Lumpur

    Tel : 03-2161 1470/1480
    Faks : 03-2161 1501
    Email: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman