Skip to main content

Seramik

Hajah Rohana binti Abd Rahman

Nama
Hajah Rohana binti Abd Rahman
Bidang Kraf
Hasil Tanah
Adiguru
Seramik
Tokoh Kraf
Tokoh Kraf Negara
Negeri
Selangor
Tarikh Lahir
24 Februari 1959
Lantikan Pertama
2019
Tahun Lantikan Tokoh Kraf Negara
2020
DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Beliau menghasikan produk cenderamata perkahwinan, table ware items, cenderamata korporat, hiasan rumah serta hadiah perayaan dengan menggunakan pelbagai hiasan motif flora pada permukaan dan reka bentuk produk

LATAR BELAKANG PENGLIBATAN
Puan Hajah Rohana binti Abd. Rahman dilahirkan di Negeri Kedah pada 24 April 1959 dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Beliau mula berjinak-jinak dalam pembuatan produk kraf seramik sejak menuntut di universiti. Minat yang mendalam menyebabkan beliau meneruskan cita-citanya mempelajari dan mendalami  bidang seramik secara serius selepas menamatkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang Antropologi dan Sosiologi. Beliau seterusnya mendapat pendidikan secara formal dalam bidang seramik dan memperoleh Sijil Seramik (Certificate in Ceramic) dari Brunel University London, Diploma in Florist Tree, London dan di White Roding Pottery, Essex, England serta menjalani latihan industri selama 6 bulan di Royale Stratford of England. Setelah tamat pengajian di London beliau melawat 25 buah negara Eropah dan melihat hasil-hasil seramik di setiap negara tersebut. Setelah kembali ke tanah air, beliau terus mengusahakan pembuatan produk seramik sehingga hari ini.

Kemahiran dan kepakaran Hajah Rohana dalam menghasilkan seramik dengan menggunakan teknik gerlis (glaze) sangat terkenal di kalangan usahawan kraf di Malaysia. Beliau merupakan usahawan wanita pertama mengusahakan produk kraf seramik menggunakan teknik ini dengan kapasiti pengeluaran berskala besar. Beliau bekerjasama dengan agensi kerajaan tempatan untuk membantu masyarakat setempat dengan memberi peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada ibu-ibu tunggal untuk menjana pendapatan. Antara produk kraf seramik yang dihasilkan ialah produk cenderamata perkahwinan, table ware items, cenderamata korporat, hiasan rumah serta hadiah perayaan dengan menggunakan pelbagai hiasan motif flora pada permukaan dan reka bentuk produk mengikut permintaan pelanggan. Selain daripada pasaran tempatan, produk kraf seramik keluaran beliau juga telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Kepakaran yang dimiliki Hajah Rohana menjadikan beliau pakar rujuk kepada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS semasa menjalankan kajian atau penyelidikan berkaitan kraf seramik selain menerima pelajar dari Institut Kraf Negara (IKN) dan lain-lain Institusi Pengajian Tinggi untuk menjalani latihan praktikal. Beliau juga sering diundang untuk mengadakan pameran dan jualan kraf di promosi dalam dan luar negara seperti di Ambiente Frankfurt (Jerman), Gifts & Premium Fair (Hong Kong), INDEX (Dubai) dan Gifts & Premium Fair (Singapura).

Kepakaran dan pencapaian Hajah Rohana dalam bidang kraf seramik sangat membanggakan. Beliau pernah menerima Anugerah Go Global Award di Chicago, Amerika Syarikat pada tahun 2019, Anugerah Kategori Emas bagi Century International ERA Award di Geneva, Anugerah Tokoh Wanita Kedah dalam Kategori Usahawan daripada Kerajaan Negeri Kedah, Anugerah Usahawan Kraf sempena Hari Kraf Kebangsaan 2010, Anugerah Usahawan MARA (AURA) Peringkat Negeri Kedah dalam Kategori Usahawan Berjaya Dalam Sektor Pembuatan, Anugerah Usahawan Wanita Harapan anjuran Persatuan Peniagawati & Perbadanan Usahawan Nasional Behad (PUNB) dan Anugerah Belia Negara dalam Kategori Usahawan.

Sebagai menghargai kecintaan dan komitmen Hajah Rohana dalam membangunkan seni kraf seramik di Malaysia, beliau telah dilantik oleh Kraftangan Malaysia sebagai Adiguru Kraf Seramik pada tahun 2019 dan pada tahun 2020, beliau telah diiktiraf ke peringkat tertinggi oleh Kerajaan Malaysia sebagai Tokoh Kraf Negara pada tahun 2020.


GALERI
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman