Skip to main content

Adiguru Kraf Tenun Mugah

Puan Sabnah binti Dullah

Nama
Puan Sabnah binti Dullah
Bidang Kraf
Tenunan Mugah
Adiguru
Adiguru Kraf Tenun Mugah
Negeri
Sabah
Tarikh Lahir
27 Julai 1945
Lantikan Pertama
2002
Lantikan Semula
2006
KEPIMPINAN DAN INTELEKTUAL

Puan Sabnah Dullah menetap di Kampung Merabau, Kota Belud Sabah bersama keluarga sejak turun temurun. Beliau yang berketurunan Irranun ini memang terkenal dengan kemahiran menenun. Keunikannya mereka menghasilkan tenunan untuk kegunaan suku kaum lain seperti Bajau dan Dusun. Beliau mewarisi kemahiran menenun kain Mugah daripada ibunya Allahyarham Puan Hamidah Adoi. Ketika masih kecil, ayahnya telah meninggal dunia dan disebabkan hal demikian beliau membantu ibunya menenun untuk menyara 6 orang adik beradiknya masih kecil. Beliau membantu ibunya menenun dan kemudian menjual hasil Tenun Mugah di Pasar Tamu.



Apabila ibunya meninggal dunia Puan Sabnah pula mengambil alih menyara adik beradiknya yang masih kecil dan 3 orang anak saudaranya yang yatim piatu. Berkat kesabaran dan ketabahannya, beliau menjadi penenun yang disegani. Walaupun tidak mendapat pendidikan formal, beliau mampu menghasilkan reka corak tenun yang unik dan indah berasaskan alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan dan geometri.

Perwatakan beliau yang sederhana, penyabar, cekal, tekun serta merendah diri menyebabkan beliau disenangi dan mudah didampingi. Beliau mengajar anak tempatan yang berminat dalam seni tenunan di sebuah bengkel tenunan. Ciri-ciri keperibadian yang dimilikinya telah meletakkan beliau sebagai penenun kain tradisional yang mahir dan berjaya menghasilkan kain Tenun Mugah yang berkualiti serta diperakui mutunya.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Kain Tenun Mugah ini dipakai oleh orang lelaki dari suku kaum Dusun terutama dalam majlis rasmi, upacara adat, keagamaan, pesta dan perkahwinan.



Beliau berkemahiran menghasilkan reka corak dan motif yang berunsurkan alam. Di antara reka corak yang dihasilkan adalah seperti:-
  1. Tenunan Kalingguon.
  2. Anunon.
  3. Tuara.
  4. Bakaki.
  5. Bunga Emas.
  6. Tialali.
  7. Lincu.
  8. Siku Keluang.
  9. Sunding.
Reka corak Tenun Mugah yang dihasilkan ini disesuaikan dengan kehendak dan adat budaya suku kaum Dusun yang menggunakannya. elain daripada menenun kain Tenun Mugah, beliau berkemahiran juga menenun kain Baraguru, kain Ampik, kain Tapak Sila dan kain Dastar. Beliau juga mahir menganyam tikar pandan.

PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

Penglibatannya dalam menceburi bidang seni Tenunan Mugah telah berjaya menaikkan nama beliau di kalangan masyarakat setempat, orang luar dan pencinta seni. Beliau turut melatih beberapa orang anggota kerja dari Kraftangan Malaysia.



Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Puan Sabnah sekali lagi mendapat kepercayaan dari Kraftangan Malaysia. Beliau telah dilantik sebagai jurutunjuk kepada penenun tempatan dalam program Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Beliau turut mengajar masyarakat setempat teknik tenunan kain Tenun Mugah dan lain-lain tenunan tradisional Sabah sama ada di rumah atau di bengkelnya. Tujuannya agar seni Tenun Mugah ini akan diwarisi oleh generasi seterusnya secara tidak langsung dapat menyelamatkan seni warisan ini dari pupus begitu sahaja.

SUMBANGAN KEPADA INDUSTRI DAN MASYARAKAT

Kepakaran Sabnah dalam menghasilkan kain Tenun Mugah telah menempatkan beliau sebagai salah seorang penenun kain mugah yang handal dan disegani terutama di sekitar Kota Belud, Sabah.



Bagi memastikan seni kemahiran tangan ini tidak pupus, beliau memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada penenun-penenun muda di sekitar Kampung Merabau. Kegigihan dan kepakaran beliau ini dijejaki oleh Kraftangan Malaysia dan pada tahun 2002 beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Tenun Mugah.
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman