Skip to main content

Adiguru Kraf Anyaman Pandan/Mengkuang

Hajah Kelsom binti Abdullah

Nama
Hajah Kelsom binti Abdullah
Bidang Kraf
Hasil Rimba
Adiguru
Adiguru Kraf Anyaman Pandan/Mengkuang
Negeri
Terengganu
Tarikh Lahir
20 Mac 1954
Lantikan Pertama
2018
PENGENALAN
Puan Hajah Kelsom binti Abdullah merupakan salah seorang usahawan kraf anyaman yang berjaya dan masih aktif dalam perusahaan kraf yang dijalankan. Produk anyaman keluaran Puan Kelsom sering mendapat tempahan sama ada daripada pihak perseorangan atau organisasi. Beliau pernah mendapat tempahan bagi membuat tikar pandan halus yang berharga dari RM250.00 hingga RM1,500.00 daripada para pelanggan beliau. Ketelitian beliau dalam menghasilkan produk anyaman sangat dikagumi oleh ramai pembuat anyaman pandan dan mengkuang.

Puan Hajah Kelsom binti Abdullah adalah seorang yang pakar dalam menghasilkan anyaman pandan dan mengkuang di Kuala Terengganu. Beliau dilahirkan pada 20 Mac 1954 di Cendering, Kuala Terengganu. Beliau telah berumahtangga dan mempunyai tujuh orang anak. Beliau aktif dalam menghasilkan anyaman tikar pandan dan mengkuang semasa berkhidmat dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sehingga persaraannya pada tahun 2014. Beliau masih bergiat aktif dalam mengadakan kelas-kelas mengajar anyaman pandan dan mengkuang dirumahnya sehingga sekarang. Di kalangan peserta-peserta kursus yang mengikuti latihan jangka pendek, beliau lebih mesra dipanggil dengan gelaran Kak Ani. Beliau dikemali sebagai seorang yang tidak kedekut ilmu dalam mengembangkan ilmu anyaman ini.



DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Kak Ani seorang yang gemar membuat anyaman hasil daripada rekaan dan corak yang diwarisi daripada tukang-tukang anyaman yang terdahulu. Motif yang digunakan dalam rekaan tikar anyaman kebanyakannya daripada unsur-unsur flora dan alam semulajadi. Daun pandan dan mengkuang yang dipilih adalah dari daun yang tua yang senang untuk dilayur dengan api kecil dan mudah untuk dilentur. Corak yang dihasilkan adalah tampuk manggis, pucuk rebong, bentuk geometrik pelbagai corak bunga. Tikar kelarai adalah anyaman yang mengambil masa untuk dibuat tetapi rekaannya yang halus sering mendapat tempahan dari pelanggan beliau.



Terdapat beberapa corak yang dianyam iaitu terdiri daripada Corak Tapak Catur, seringkali dianyam dalam dua atau tiga warna. Hasil cantuman warna cerah dan gelap. Corak Mata Bilis, menggunakan warna terang dan gelap. Warna gelap dianyam satu mata sahaja dengan warna cerah. Kedua-dua warna ini timbul seakan-akan beras patah. Corak Beras Patah, menyerupai corak mata bilis tetapi warna cerah dianyam tiga mata diselangi dengan satu mata gelap. Hasil cantuman ini member gambaran seakan-akan beras patah. Corak Palembang, berasal dari Palembang. Petak empat segi atau biji kundang dianyam dengan warna hijau dan dikelilingi jalur-jalur dua warna iaitu merah dan putih. Corak Bugis, berasal dari Bugis dan penggunaan dua warna yang berdekatan hijau dan putih. Petak-petaknya lebih kecil dari corak Muar serta dianyam dalam bentuk berdiri dan serong.

Corak Muar, berasal dari Muar dan bermotif empat segi. Anyaman dua warna merah dan biru serta dikelilingi dengan jalur-jalur putih, hijau dan kuning. Antara petak-petak digunakan adalah campuran merah dan biru. Corak Selang-seli, penggunaan warna gelap dan cerah. Kedua-dua bahagian dianyam pengusaha. Penggunaan dua warna tetapi untuk mendapatkan corak yang betul-betul lurus amat sukar. Corak Serong, corak yang mudah. Bermacam kelarai boleh dianyam melalui contoh ini serta amat digemari oleh para penganyam. Corak Ketapang Gilir mata sama banyak dan selari. Corak Berdiri, kurang mendapat sambutan dari Kacang, seakan-akan corak selang-seli dan susunan yang rapat. Dianyam dengan dua warna iaitu cerah dan gelap dan Corak Malaysia, corak selang-seli, dikelilingi dengan warna merah, putih, hijau dan biru.

Sepanjang penglibatan Kak Ani dalam menghasilkan tikar mengkuang dan pandan beliau telah banyak menabur jasa dengan memberikan tunjuk ajar cara-cara membuat tikar anyaman kepada ramai anak muridnya. Pelbagai agensi kerajaan dan IPTA telah mendapatkan tunjuk ajar daripada beliau bagaimana menghasilkan anyaman tikar mengkuang.

Sekarang ini beliau banyak mengambil daun pandan dan mengkuang yang telah siap dikering dan diwarnakan daripada peraih yang melaksanakan proses-proses tersebut. Walau bagaimanapun, proses bagi membuat tikar biasanya melalui beberapa tahap yang perlu dilaksanakan untuk mendapatkan selembar tikar anyaman. Bermula daripada mengambil daun mengkuang sehingga melayur di api kecil sehingga membuang duri dengan meraut daunnya dengan menggunakan alat yang dipanggil jangka buluh dan bilah buluh potong serta selepas itu dijemur sehingga kering.

Setelah dikeringkan dicelup dengan bahan pewarna mengikut reka corak yang telah dirancang secara awal. Setelah proses mewarna selesai dan sudah boleh dianyam, helaian mengkuang tersebut dilurut dengan cakah untuk melembutkan daun mengkuang supaya senang dianyam. Alatan bilah buluh menyongket digunakan bagi memudahkan untuk membuat rekacorak pada tikar yang dibuat anyaman.

PENCAPAIAN
Kesungguhan Kak Ani di dalam penglibatan menghasilkan anyaman tikar mengkuang dan pandan selama empat puluh tahun lebih, beliau telah dianugerahkan sebagai Adiguru Kraf Anyaman pada 2018. Penganugerahan ini diberikan oleh sebab sumbangan beliau dalam industri anyaman ini telah memberikan banyak peluang kepada suri rumah dan individu-individu yang berminat untuk mencari pendapatan secara sepenuh masa atau sebagai pendapatan tambahan. Pada tahun 1989 beliau pernah menghadiri Seminar Asia Craft di Bangladesh dan pernah dijemput sebagai tenaga pengajar di Institut Teknikal, German pada tahun 2014. Beliau memberikan tunjuk ajar bagaimana membuat anyaman mengkuang kepada peserta kursus di institut tersebut.
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman