Skip to main content

Tokoh Kraf Negara

Hajah Zainab @ Ngah binti Mamat

Nama
Hajah Zainab @ Ngah binti Mamat
Bidang Kraf
Tenunan Songket
Adiguru
Tokoh Kraf Negara
Tokoh Kraf
Tokoh Kraf Negara
Negeri
Terengganu
Tarikh Lahir
22 Disember 1942
Lantikan Pertama
2002
Tahun Lantikan Tokoh Kraf Negara
2002
KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

Dilahirkan pada 22 Disember 1942 di Kampung Gelung Gajah iaitu sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira 7km dari Kuala Terengganu. Ketika itu Negara sedang di bawah jajahan tentera Jepun. Dalam keadaan yang serba kekurangan pasangan Che Mamat dan Mariam tetap menerima kehadiran puteri kedua mereka dengan penuh kesyukuran.

Kepayahan dan keperitan hidup akibat jepun rupa-rupanya menjadi pendorong kepada penduduk kampong ini untuk membina kerjaya khususnya dalam bidang tenunan. Kemahiran menenun kain diusahakan secara serius oleh kaum wanita termasuk keluarga Mariam. Pendapatan hasil menenun ini sedikit sebanyak membantu suaminya menyara tujuh orang anak yang masih kecil.

Selepas menamatkan pendidikan pada tahun 1955, Hajah Zainab yang ketika itu berusia 13 tahun ditawarkan untuk menjadi guru dan jururawat. Harapan ibu, ayah dan keluarga ingin melihat beliau menjadi guru tidak tercapai apabila Hajah Zainab memilih bidang tenunan sebagai kerjayanya. Minat, semangat dan kesungguhan akur dengan keputusan yang diambilnya untuk menjadikan tenunan songket sebagai mata pencarian.

PENCAPAIAN TOKOH

Selama penglibatan beliau di dalam perusahaan tenun songket, pencapaian yang paling membanggakan adalah apabila hasil tenunan songket beliau telah mendapat perhatian dari kalangan istana. Selain Istana Negara, Istana Maziah di Terengganu turut pernah menempah pakaian songket untuk kegunaan upacara tertentu di istana. Beliau juga pernah menghasilkan kain songket untuk pakaian pengantin diraja Brunei. Kepercayaan yang diberi oleh pihak istana kepada beliau adalah pengiktirafan yang tinggi terhadap kain songket yang dihasilkan oleh beliau.

Selain menghasilkan samping songket untuk lelaki, beliau turut menghasilkan sarung, selendang dan persalinan untuk wanita termasuk pakaian pengantin. Hajah Zainab turut menghasilkan beberapa produk hiasan yang menggunakan kain songket seperti alas meja, sarung kusyen, hiasan dinding, beg tangan, cekak kepala dan sebagainya.



SUMBANGAN TOKOH TERHADAP INDUSTRI KRAF

Kini Hajah Zainab mampu tersenyum puas melihat himpunan kain songket hasil ciptaannya. ia terdiri daripada pelbagai corak dan warna dengan seni kehalusan dan keindahannya yang tersendiri. Terengganu Songket adalah nama yang diberi untuk galeri Hajah Zainab yang ditempatkan di kediamannya sendiri bagi menghimpunkan koleksi hasil Tenunan Songket Terengganu.

Di sini terdapat seribu satu macam kain songket yang dipamerkan untuk tatapan pengunjung. Mereka yang berkunjung tidak terhad kepada pelanggan sahaja, bahkan pelancong asing juga tidak melepaskan peluang untuk singgah menatap kehalusan seni tenunan kain songket yang juga digelar "queen of handwooven fabrics".

Dalam menguruskan pekerja pula, Hajah Zainab mengaplikasikan sistem pengkhususan. Setiap pekerja mempunyai kemahiran yang tertentu, oleh itu mereka bekerja berdasarkan kepada kemahiran masing-masing. Antara proses-proses yang mereka jalankan adalah menerai, mengani, menggulung, menyapak, mengarat, menyongket dan menenun.

Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau,pada tahun 2002 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Tokoh Kraf Negara.
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map