Skip to main content

Adiguru Kraf Bot Tradisional

Tuan Haji Abdullah bin Muda

Nama
Tuan Haji Abdullah bin Muda
Bidang Kraf
Bot Tradisional
Adiguru
Adiguru Kraf Bot Tradisional
Negeri
Terengganu
Tarikh Lahir
2 Ogos 1937
Lantikan Pertama
2006
LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Tuan Haji Abdullah bin Muda dilahirkan pada bulan Ogos 1937 di Pulau Duyung Besar, Kuala Terengganu. Beliau adalah salah seorang dari tujuh beradik dan anak kepada Encik Muda bin Abdul Rahman dan Puan Nik binti Ismail. Dibesarkan dalam suasana perkampungan di Pulau Duyung dan mendapat pendidikan hingga ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Agama Zainal Abidin, Ladang, Terengganu.



Dibesarkan dengan persekitaran yang berhampiran dengan sungai dan laut menimbulkan minat dan penglibatan beliau dalam aktiviti air. Mewarisi bakat datuknya yang juga pengusaha bot terawal di Pulau Duyung, Tuan Haji Abdullah juga mengikuti latihan pembuatan bot dalam mengasah bakat dan kemahiran beliau. Semenjak remaja lagi beliau telah terlibat secara langsung membuat bot bermula dengan sebagai pembantu. Malahan tiga orang ahli keluarganya turut terlibat di dalam industri pembuatan bot tradisional. Di atas dorongan keluarga sendiri, mertua dan rakan telah memberi semangat kepada beliau untuk terus menceburi bidang ini sepenuh masa.



KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

Berkat latihan kemahiran dan pengalaman yang diperolehi pada sekitar tahun 50-an, telah memberi kekuatan kepadanya untuk mengorak langkah bagi mengusahakan sendiri pembuatan bot tradisional. Bermula dengan usaha pembikinan bot yang berukuran kecil, tahap kemahiran beliau semakin bertambah dengan akhirnya mampu menghasilkan pelbagai jenis bot tradisional serta kapal layar.

Kebiasaannya Tuan Haji Abdullah membuat bot jenis Payang dan Kolek. Bot ini paling banyak menerima tempahan khususnya untuk kegunaan nelayan dan pengangkutan air. Selain itu, terdapat juga bot daripada jenis Sekuci, Bedar dan Gelibat. Perbezaan di antara jenis bot yang dinyatakan adalah berdasarkan bentuk dan kegunaannya.



Hasil kerja beliau tidak berubah dengan peredaran zaman kerana prinsip beliau yang menitikberatkan penggunaan bahan asas kayu terbaik dan pengekalan kaedah penghasilan secara tradisional. Setiap bot yang dihasilkan perlu dijaga dengan baik agar mampu bertahan sehingga mencecah 50 tahun. Perbezaan yang paling ketara di antara bot kini dan tradisional adalah pada pemasangan “lunas”. "Lunas" yang besar dipasang supaya lebih kukuh kerana faktor gegaran enjin berbanding dengan penggunaan “lunas” yang kecil pada bot tradisional kerana tidak menggunakan sebarang enjin mekanikal.

SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

Kemasyhuran bot hasil seni buatan Tuan Haji Abdullah telah disebarkan melalui media cetak dan elektronik tempatan serta luar negara yang membuat liputan kehebatan seni pembuatan bot tradisional beliau. Pada tahun 2006, beliau telah mendapat pengiktirafan Anugerah Kesenian Negeri Terengganu yang disampaikan oleh pihak kerajaan negeri.



Salah seorang daripada enam cahayamata beliau, iaitu Encik Khairul Azuar kini telah mewarisi seni kemahiran pembuatan kraf ini. Selain itu, Tuan Haji Abdullah turut mencurahkan ilmu kemahiran kepada para pekerja di bengkelnya di Pulau Duyung termasuk sekumpulan pelatih yang dibiayai oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Terengganu. Bengkel khas ini terletak berhampiran rumah beliau yang mana membolehkannya melancarkan bot ke permukaan air setelah siap. Ruangan bengkel luas serta berbumbung mampu menempatkan sehingga empat buah bot pada satu-satu masa walaupun pada musim hujan.

KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

Tuan Haji Abdullah telah berjaya menyiapkan pelbagai tempahan kapal layar daripada pelanggan luar negara seperti Singapura, Algeria, Australia, Denmark, England, Itali, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat dan Perancis. Salah satu karya penghasilan terbaik beliau ialah kejayaan menyiapkan tempahan bot berukuran 52 kaki x 16 kaki daripada rakyat Amerika Syarikat yang kini ditempatkan di Muzium Alaska, Amerika Syarikat pada tahun 1980. Malahan para pelanggannya sanggup datang sendiri untuk bertemu dengan Tuan Haji Abdullah untuk membuat tempahan. Sejak tahun 1965, tidak kurang 20 buah bot buatan beliau yang terdapat di seluruh pelusuk dunia.



Pencapaian Tuan Haji Abdullah bin Muda amat membanggakan dalam membangunkan industri pembikinan bot tradisional negara. Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Bot Tradisional oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 2006 sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada beliau ia atas usaha membangunkan industri bot tradisional negara.
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map