Accessibility Tools

Skip to main content

Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf

Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (PK7.17), Perolehan Khas Hasil Kraf Tangan Tempatan Di Bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah berkuat kuasa pada Januari 2024. Kerajaan telah memberi kelonggaran khas bagi perolehan sehingga RM200 ribu untuk setiap pesanan kepada usahawan kraf tangan yang berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bagi mendukung hasil kraf tangan tempatan.

Perolehan hendaklah dibuat dalam kalangan pembekal atau pembuat yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dalam kod bidang yang berkaitan seperti berikut:-

  1. Pembekal/Pedagang yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dalam kod bidang 030601 (Tekstil), 030602 (Hasil Rimba), 030603 (Hasil Logam), 030604 (Hasil Tanah) atau 030605 (Aneka Kraf); dan
  2. Pembuat/Pengusaha yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dalam kod bidang 030606 (Tekstil), 030607 (Hasil Rimba), 030608 (Hasil Logam), 030609 (Hasil Tanah) atau 030610 (Aneka Kraf).

Pembekal dan pembuat kraf tangan tempatan hendaklah berdaftar dengan Kraftangan Malaysia serta perlu mengemukakan Sijil Pendaftaran Kraftangan Malaysia.

1) Permohonan Pendaftaran Usahawan Kraf

Sila layari Portal Pendaftaran Usahawan Kraf untuk membuat permohonan.

2) Permohonan Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf

Sila lengkapkan Borang Permohonan Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf untuk membuat permohonan.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi :

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia,
Seksyen Pembangunan Usahawan Kraf,
Bahagian Pembangunan Industri,
Tingkat M, Bangunan Seri Utama,
Kompleks Kraf Kuala Lumpur,
Seksyen 63, Jalan Conlay,
50450 Kuala Lumpur

E-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Tel: 03-2162 7533 / 7459 Fax 03-2162 0870

Soalan Lazim (FAQ) Permohonan Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf

  • 1. Apakah perbezaan Permohonan Pendaftaran Usahawan Kraf dan Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf?

    Permohonan Pendaftaran Usahawan Kraf
    Untuk memastikan usahawan yang berdaftar memenuhi kriteria sebagai usahawan kraf iaitu terdiri daripada lima (5) bidang utama kraf seperti Tekstil, Hasil Rimba, Hasil Tanah, Hasil Logam dan Aneka Kraf. Setiap usahawan yang berdaftar akan diberi ID Komuniti.

    Untuk mendaftar, anda mestilah memenuhi kriteria berikut:

    1. Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.
    2. Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
    3. Mempunyai e-mel yang sah.
    4. Menghasilkan atau memasarkan produk kraf tangan Malaysia berdasarkan kepada 5 bidang kraf seperti berikut:
      • Tekstil: Batik / Songket / Tenunan / Sulaman / Tekatan / Jahitan
      • Hasil Rimba: Kayu / Buluh / Rotan / Ribu-Ribu / Bemban / Bertam / Mengkuang / Pandan / Daun Sal / Daun Serdang / Daun Tar / Daun Nipah / Rumbia / Bunga, Daun dan Buah Kering / Kulit Kayu / Tempurung / Lidi / Serat Semulajadi (Natural Fibre) / Kercut
      • Hasil Logam: Perak / Tembaga / Piuter / Besi / Aluminium
      • Hasil Tanah: Seramik / Batu / Kristal / Kaca
      • Aneka Kraf: Manik dan Mutiara / Cengkerang / Kulit / Kertas dan Tisu

    (*Pendaftaran hanya dibenarkan berdasarkan Sub Bidang Kraf seperti yang tertera sahaja)

    Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf
    Sijil yang dikeluarkan oleh Kraftangan Malaysia untuk memperaku Usahawan Kraf yang telah berdaftar dengan Kraftangan Malaysia bagi pendaftaran dengan Kementerian Kewangan dalam kod bidang 030601 (Tekstil), 030602 (Hasil Rimba), 030603 (Hasil Logam), 030604 (Hasil Tanah) atau 030605 (Aneka Kraf); dan Pembuat yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dalam kod bidang 030699 (Pembuat).

  • 2. Bagaimanakah cara memohon Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf?

    Usahawan Belum Berdaftar Dengan Kraftangan Malaysia
    Sekiranya belum berdaftar dengan Kraftangan Malaysia sila layari Portal Pendaftaran Usahawan Kraf untuk membuat permohonan terlebih dahulu untuk mendapatkan ID Komuniti.

    Usahawan Telah Berdaftar Dengan Kraftangan Malaysia
    Sekiranya telah mempunyai ID Komuniti, sila lengkapkan borang Permohonan Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf.

  • 3. Berapa lama proses untuk mendaftar sebagai usahawan kraf dengan Kraftangan Malaysia?

    Tempoh pendaftaran sebagai usahawan kraf mengambil masa tujuh (7) hari daripada tarikh permohonan. Pegawai Kraftangan Malaysia akan membuat lawatan dan semakan terlebih dahulu berkenaan produk kraf yang dihasilkan bagi menentukan usahawan adalah pedagang atau pengusaha kraf.

  • 4. Apakah ID Komuniti?

    ID Komuniti adalah nombor khas yang diberikan kepada usahawan kraf yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia. ID Komuniti ini dibezakan mengikut lima (5) bidang utama kraf seperti Tekstil, Hasil Rimba, Hasil Tanah, Hasil Logam dan Aneka Kraf.

  • 5. Apakah dokumen sokongan yang diperlukan semasa permohonan Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf?

    Dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan bagi permohonan Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf ialah:

    1. Salinan Kad Pengenalan
    2. Salinan Sijil Pendaftaran Perniagaan
    3. Salinan Slip Pengesahan Pendaftaran Usahawan Kraf
  • 6. Bagaimana sekiranya maklumat dalam borang Permohonan Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf ini salah?

    Sekiranya maklumat yang tertera semasa permohonan tidak sama dengan maklumat sebenar tuan/puan, ini bermakna status pendaftaran sebagai usahawan kraf masih belum dikemaskini. Pihak tuan/puan boleh hubungi Seksyen Pembangunan Usahawan Kraf di talian 03-2162 7459 sambungan 263 atau e-mel ke: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. untuk proses kemaskini maklumat.

  • 7. Jenis Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf?

    Terdapat 3 pilihan jenis sijil yang boleh dikeluarkan kepada tuan/puan. Tuan/Puan boleh memilih sama ada sijil digital, sijil fizikal ataupun kedua-duanya sekali. Bagi sijil fizikal pihak tuan/puan perlu mengambil sendiri di lokasi yang telah dipilih sahaja. Tiada penghantaran dibuat ke alamat tuan/puan.

  • 8. Apakah beza sijil digital dan sijil fizikal?

    Sijil digital akan diberi melalui e-mel yang telah didaftarkan semasa permohonan Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf. Sijil digital akan diberikan dalam tempoh masa 3 hari bekerja selepas permohonan dibuat.

    Sijil fizikal adalah sijil yang dicetak di atas kertas khas dan diserahkan kepada cawangan negeri Kraftangan Malaysia sebagai lokasi khusus untuk mengambil sijil ini. Sijil boleh diambil dalam tempoh 7 hari bekerja selepas pemakluman kepada pihak tuan/puan dikeluarkan.

    Walau bagaimanapun, kedua-dua jenis sijil ini boleh digunakan untuk permohonan pendaftaran dengan Kementerian Kewangan.

  • 9. Berapa lama tempoh siap Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf selepas permohonan dibuat?

    Tempoh siap sijil adalah 3 hari bekerja untuk sijil digital dan 7 hari bekerja untuk sijil fizikal.

  • 10. Bagaimana pemakluman status permohonan Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf?

    Selepas mendapat permohonan daripada pihak tuan/puan, satu e-mel pengesahan penerimaan akan dihantar ke alamat e-mel tuan/puan. Sekiranya sijil telah siap, pemakluman juga akan dihantar ke alamat e-mel berdaftar tuan/puan.

  • 11. Adakah Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf ini mempunyai tempoh luput?

    Ya, Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf mempunyai tempoh sah selama tiga (3) tahun. Tuan/Puan perlu membuat permohonan semula jika sijil akuan ini sudah tamat tempoh.

  • 12. Adakah bayaran dikenakan untuk mendapatkan Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf?

    Tiada bayaran dikenakan untuk mendapatkan Sijil Akuan Pendaftaran Usahawan Kraf.

bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map