Skip to main content

Adiguru Kraf Tembikar Tembeling

Allahyarhamah Hajah Manja binti Ali

Nama
Allahyarhamah Hajah Manja binti Ali
Bidang Kraf
Tembikar Tembeling
Adiguru
Adiguru Kraf Tembikar Tembeling
Negeri
Pahang
Tarikh Lahir
1921 - 2000
Lantikan Pertama
1991
LATAR BELAKANG KRAF TEMBIKAR TEMBELING

Kurniaan Tuhan adalah perkara di luar jangkaan manusia. Apa sahaja yang dikurniaan oleh Allah S.W.T di bumi dan di langit mempunyai hikmat tersediri. Begitu jugalah kurniaan yang diberikan-Nya kepada penduduk Kampung Pasir Durian, Ulu Tembeling, Jerantut Pahang. Hasil kraf tembikar tembeling ini telah menjadi sumber rezeki untuk penduduk-penduduk tempatan. Teluk Belanga merupakan lokasi di daerah ini yang mempunyai sumber tanah liat yang amat sesuai bagi menghasilkan pelbagai hasil seni kraf tembikar.

Kerja-kerja menyediakan tembikar ini termasuklah penyediaan tanah yang digali dari lokasi sumber tanah liat yang sesuai dan kemudian dibawa ke bengkel untuk dijemur. Kebiasaannya tanah liat berkenaan akan dijemur di atas zink supaya cepat kering. Ini juga bertujuan agar kandungan air tanah itu diserap dan tidak berketul-ketul apabila direndam kelak.



Sebelum direndam, tanah liat itu akan ditumbuk dalam lesung dengan menggunakan antan. Ia kemudiannya ditapis hingga halus dan seterusnya dilepa dan dituang di dalam acuan. Menerusi acuan berkenaan tanah dapat dibentuk mengikut barangan yang hendak dibuat seperti belanga, terenang, pasu bunga dan sebagainya. Bahan acuan yang telah siap kemudiannya akan diukir mengikut motif sebelum dibakar.



Rekabentuk belanga dan terenang merupakan idea turun-temurun yang diwarisi dari generasi ke generasi. Belanga biasana akan dibuat sebesar mungkin mengikut tempahan. Belanga Tembeling juga sesuai digunakan untuk memasak lauk-pauk, sayur-sayuran, akar-akar kayu atau herba. Masakan menggunakan Belanga Tembeling dipercayai mampu menambahkan kelazatan makanan dari segi aroma dan rasa.



Tembikar Terenang pula dipercayai berasal dari sebuah tempat yang dinamakan 'Jong Berlabuh' iaitu sebuah perkampungan di Daerah Kuala Tembeling. Saiz terbesar sesebuah terenang adalah sebesar tempayan. Rekabentuk terenang dipercayai berasal atau dipengaruhi oleh Negara Siam dan Kemboja. Kegunaan asal Tembikar Terenang adalah dalam upacara jampi serapah dan bekas air mawar asli untuk dijadikan ubat penawar. Ia turut digunakan bagi tujuan perhiasan rumah.

Terenang merupakan ciptaan asli Kampung Pasir Durian yang mana dipengaruhi oleh kesesuaian tanah disekitar perkampungan ini yang terbaik bagi pembuatan produk Terenang. Kesuburan tanah ini turut mengandungi bahan-bahan mineral dan penapis yang amat berguna untuk manfaat tubuh badan manusia. Di antara produk yang dihasilkan termasuklah bekas cincin atau sebagai bekas perasap kemenyan (perasap). Kapasiti penghasilan produk-produk ini adalah terhad kerana penduduk masih mengekalkan teknik pembuatan secara tradisional.



SEJARAH PENGLIBATAN ADIGURU

Nama Allahyarhamah Hajah Manja binti Ali tidak asing lagi bagi penduduk-penduduk Kampung Pasir Durian Ulu Tembeling. Namanya terkenal kerana kepakarannya membuat pelbagai jenis tembikar tembeling, terutamanya belanga tembeling dan terenang.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Kerenek Kuala Tembeling telah berhijrah dan menetap di Kampung Pasir Durian sejak mendirikan rumahtangga. Allahyarhamah Hajah Manja binti Ali telah menceburi bidang seni kraf ini seawal usia 12 tahun.



Beliau yang tidak berpeluang ke sekolah atas sebab adat dan pergaulan yang dikawal ketat oleh orang tuanya. Oleh itu, Allahyarhamah Hajah Manja binti Alidan anak-anak gadis lain sebayanya digalakkan membantu ibu bapa mereka dengan urusan harian dan kerja-kerja rumah.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Kemahiran membuat pelbagai jenis tembikar ini diwarisi dari ibu dan saudara mara perempuannya. Kedua ibu bapanya merupakan pendorong utama bagi beliau mempelajari dan mendalami seni kraf ini. Hasil kerja beliau diiktiraf dan mudah dikenalpasti berdasarkan pembuatannya yang halus dan kemas. Penggunaan motif-motif beliau yang kreatif dapat membezakan hasil seninya berbanding pembuat-pembuat tembikar tembeling yang lain.



Beliau sangat mahir membuat belanga tembeling dan terenang. Konsep ukiran flora dan fauna merupakan pilihan utama bagi reka corak dan motif beliau. Di antara motif dan corak yang sering beliau gunakan adalah seperti "Bunga Payung", "Tepak Pelanduk", "Pucuk Rebung", "Bulan Sabit", "Bunga Pecah Empat" dan "Bunga Samba". Salah satu motif khas yang beliau paling gemari ialah "Dang Dongkek".

PENCAPAIAN DAN SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT

Sepanjang hayatnya, Allahyarhamah Hajah Manja sering menyertai pameran, pertandingan dan mengadakan sesi demonstrasi bagi memartabatkan seni pembuatan kraf Tembikar Tembeling. Di antara pernyertaan beliau termasuklah Pesta Kraftangan Pahang (tahun 1990) dan penyertaan di Universiti Malaya Kuala Lumpur. Semasa hayatnya, Allahyarhamah Hajah Manja turut berkongsi ilmu dan kemahiran pembuatan tembikar bersama jiran tetangga.



Beliau juga bersedia mewariskan seni kraf ini kepada sesiapa sahaja yang berminat. Namun faktor jualan produk tembikar tembeling pada ketika itu kurang memberangsangkan, menyebabkan hampir tiada belia yang benar-benar berminat untuk menjadikan industri ini sebagai punca pendapatan. Allahyarhamah pernah melahirkan kebimbangan beliau sekiranya warisan ini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, kemungkinan seni tembikar warisan turun temurun ini akan pupus ditelan zaman.



Kewibawaan dan kesungguhan beliau menghidupkan semula seni Tembikar Tembeling ini mendapat perhatian dari pelbagai pihak. Pada tahun 1990 beliau telah diiktiraf sebagai Tokoh Kraf Negeri Pahang oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang. Di atas komitmen beliau dalam memulihara dan memeliharan seni warisan ini, beliau telah dianugerahkan Adiguru Kraf Tembikar Tembeling pada tahun 1991 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.



Sekitar tahun 2000, Allahyarhamah Hajah Manja telah dijemput kembali ke Ramatullah. Namun segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang hayatnya dalam memelihara kesinambungan seni warisan Tembikar Tembeling tetap disanjungi. Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman.
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map