Skip to main content

Adiguru Kraf Tenunan Pua

Puan Bangie a/k Embol

Nama
Puan Bangie a/k Embol
Bidang Kraf
Tekstil (Tenunan Pua)
Adiguru
Adiguru Kraf Tenunan Pua
Tokoh Kraf
Tokoh Kraf Negara
Negeri
Sarawak
Tarikh Lahir
8 Mei 1945
Lantikan Pertama
2000
Tahun Lantikan Tokoh Kraf Negara
2024
KEPIMPINAN DAN INTELEKTUAL

Puan Bangie telah melibatkan diri dalam bidang seni Tenunan Pua lebih kurang 40 tahun. Mewarisi seni kemahiran dari kedua ibubapanya sejak remaja lagi dan kini diwarisi oleh dua orang anak perempuannya agar seni warisan keluarga kekal oleh keturunannya.



Beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal di sekolah tetapi hasil didikan dan pengajaran ilmu kemahiran yang diterima dari ibubapanya, Puan Bangie merupakan antara tokoh yang berjaya dalam bidang seni kraf tenunan. Tiga perkara yang menjadi pendorong kepada beliau supaya meneruskan seni tenunan tradisi ini iaitu:-
  1. Tenunan Pua merupakan tenunan warisan yang perlu dipertahankan agar terus berkembang.
  2. Beliau ingin menjadi penenun pua yang cemerlang dan terbilang.
  3. Beliau ingin memartabatkan seni kemahiran masyarakat Iban.
Semangat kepimpinannya untuk melihat seni warisan kraf dipelihara dan diwarisi oleh anak-anak tempatan, pencinta seni dan individu luar menyebabkan beliau sanggup mengadakan bengkel, kursus dan latihan kepada mereka yang ingin mempelajarinya. Hasilnya, terdapat anak didiknya yang mahir dalam bidang menenun.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Mempunyai daya kreatviti dalam teknik tenunan, reka corak/motif dan kekemasan dalam penghasilan Tenunan Pua. Beliau berkemahiran menghasilkan dan mencipta reka corak dan motif yang indah dan mempunyai nilai-nilai estetika yang tersendiri. Antara motif Tenunan Pua yang dihasilkan seperti bunga rang jugah, bunga buah sepuyong dan bunga bali malikut. Beliau juga berupaya menterjemahkan rekaan pelanggan melalui Tenunan Pua.

Di samping motif-motif tradisional, beliau turut mereka motif-motif kontemporari yang dapat memenuhi cita rasa pelanggan yang terdiri daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Kebiasaannya beliau menggunakan benang kapas dalam Tenunan Pua. Kini beliau turut menggunakan benang sutera bagi memenuhi permintaan pelanggan dan pasaran.

Selain daripada itu keunikan tenunan beliau kerana menggunakan bahan semula jadi untuk menghasilkan warna di samping penggunaan warna sintatik yang lebih mudah proses penghasilannya. Jenis produk yang dihasilkan oleh beliau kain pua kumbu dan hiasan berasaskan Tenunan Pua.

SUMBANGAN KEPADA INDUSTRI DAN MASYARAKAT

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang seni Tenunan Pua, pelbagai aktiviti dan program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta diceburinya tanpa sebarang alasan dengan niat untuk memperkenalkan Tenunan Pua di persada antarabangsa.



Sumbangannya tidak setakat di situ sahaja, bagi memastikan seni warisan ini di warisi oleh generasi seterusnya beliau telah memberi pengajaran kepada anak-anak tempatan melalui bengkel, kursus dan kelas bimbingan yang diadakannya. Berikut adalah pencapaian beliau selama penglibatannya dalam bidang seni kraf Tenunan Pua:
  1. Menyertai pertandingan Wicitra anjuran Kraftangan Malaysia (1990).
  2. Menjadi jurutunjuk kelas Tenunan Pua anjuran Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Sarakup Dayak Iban Association (SADIA) Pampang (1994 - 1995).
  3. Menjadi jurutunjuk Tenunan Pua kepada pelatih Kraftangan Malaysia.
  4. Menyertai pameran dan demonstrasi di Paris, Bangkok, Manila dan Singapura.
  5. Menyertai Pertandingan Kraftangan Peringkat Negeri Sarawak anjuran Sarawak Craft Council (1998).
  6. Menyertai Pertandingan Penggunaan Warna Asli Dalam Tenun Ikat (Pua) anjuran UNESCO di Bangkok dan menangi hadiah pertama (1998).
  7. Menyertai ertandingan Pua Kumbu anjuran ‘The Tun Jugah Foundation’ (1998).
  8. Menyertai demonstrasi tenunan pua di dalam Pameran Pua Kumbu di Ethnographis Museum, Sweden (1999).
Di atas sumbangan dan jasa beliau dalam bidang seni kraf Tenunan Pua, pada tahun 2000, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenun Pua.
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map