Skip to main content

Adiguru Kraf Tekatan

Hajah Azizah binti Mohd Yusof

Nama
Hajah Azizah binti Mohd Yusof
Bidang Kraf
Tekstil
Adiguru
Adiguru Kraf Tekatan
Negeri
Perak
Tarikh Lahir
14 Ogos 1938
Lantikan Pertama
1995
Lantikan Semula
2006
KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

Hajah Azizah binti Mohamad Yusof merupakan seorang penggiat dan pencinta seni kraf tanahair terutamanya seni sulaman benang emas yang menjadi warisan turun temurun beliau. Dilahirkan pada 28 Januari 1938 di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak. Berpendidikan Darjah 6, Sekolah Inggeris dan kini pengusaha sulaman benang emas sepenuh masa. Menerima kemahiran dari ibu beliau dan diwarisi kepada dua orang anak beliau yang masih muda.

Selain daripada ibunya, beliau turut mengkagumi seorang lagi tukang tekat tersohor iaitu Allahyarhamah Puan Ainatishah Bilal Din. Ia merupakan pendorong kuat kepada beliau untuk terus berjaya dalam bidang tekatan ini.



Beliau memiliki kemahiran melukis, menebuk empulur dan menekat . Ketiga-tiga kemahiran ini merupakan asas kepada kejayaan beliau. Beliau memilih dan menggubah reka corak berunsurkan motif flora kemudian disesuai dengan warna mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan. Antara dan motif yang beliau gubah:-
  1. Paku pakis
  2. Pucuk rebung
  3. Sulur bayung
  4. Bunga-bunga padi, anggerik, asam batu, bunga raya, kemboja dan mawar.
  5. Awan larat
  6. Tulisan Khat



Karya seni beliau sering dijadikan perhiasan dan alat kelengkapan perkahwinan antaranya:-
  1. Set bilik tidur (cadar, sarung bantal, kusyen, kipar, tetampan, ombak-ombak, tepak sireh, buah dan pengikat kelambu).
  2. Hiasan pelamin ( kipas, cior-alas duduk pengantin, kusyen, ombak-ombak, tetampan, bantal inai dan sebagainya)
  3. Kelengkapan rumah seperti tudung saji, sarung kusyen, hiasan dinding, cenderamata dan sebagainya.
  4. Pakaian, kasut, beg tangan dan hiasan kepala.
SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

Puan Hajah Azizah terlalu banyak memberi sumbangan kepada masyarakat dan Negara. Sejak pembabitan beliau bermula pada tahun 1980-an telah banyak menyumbang bakti mengembangkan kemahiran seni tekatan benang emas melalui beberapa agensi dan pertubuhan antaranya:-
  1. KEMAS
  2. Kraftangan Malaysia
  3. Kementerian Belia Dan Sukan
  4. Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Malaysian Tourist Development Board).
  5. Institut Pengajian Tinggi
  6. Persatuan Nelayan
  7. Muzium-muzium Negeri



Beliau pernah menjadi guru KEMAS selama 10 tahun dan bergiat cergas dalam aktiviti perkumpulan wanita setempat. Semasa menjadi guru KEMAS, tugas beliau adalah mengajar dan mendidik masyarakat wanita Kuala Kangsar berkenaan teknik-tekik menekat. Rata-rata penduduk kampung mengenali beliau sebagai Cikgu Azizah. Beliau juga berperanan sebagai tenaga pengajar dalam bidang tekatan bagi membimbing pelatih Kraftangan Malaysia.

Beliau mengambil inisiatif memajukan kegiatan menekat dengan membuka bengkel menekat dan sebuah ruang pameran berhampiran rumah beliau di Kampung Changkat, Kuala Kangsar. Selain daripada itu beliau juga memiliki sebuah kedai tekatan di Kuala Kangsar. Di samping bekerja keras mengusahakan tekatan benang emas beliau turut bergiat aktif dalam pergerakan politik dan aktiviti kemasyarakatan terutama di sekitar Kuala Kangsar, Perak.



Puan Azizah turut meneroka penggunaan mesin dalam seni tekatan. Ia bertujuan untuk meluaskan lagi pasaran. Penggunaan mesin menpercepatkan sulaman namun kualiti dan keindahan tekatan benang emas masih terus dikekalkan. Perkara yang paling penting kos pengeluaran dapat dikurangkan dan ia memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk memiliki barangan tekatan. Sungguhpun demikian beliau masih terus mengusahakan tekatan tradisional menggunakan tangan kerana permintaan produk ini masih tinggi.

Sokongan dan kerjasama dari beberapa agensi kerajaan serta individu menguatkan lagi semangat Hajah Azizah untuk terus memulih dan memelihara seni kraf tradisional negeri Perak.

Beliau memberikan komitmen sepenuhnya kepada bidang sulaman tekat ini kerana minat dan kecintaannya mendalam serta kehalusan kerja tangannya yang membuatkan beliau sering mendapat tempahan dari pihak istana. Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tekatan pada tahun 1995 di atas usaha gigih beliau dalam memastikan seni kraf ini dipelihara dan dimajukan.
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map