Accessibility Tools

Skip to main content

Home

Hasil Logam

Kraf perak, tembaga dan besi adalah antara pertukangan kraf warisan logam yang masih kekal diusahakan sehingga kini di Malaysia. Penggunaan bahan, alat kelengkapan dan kepelbagaian teknik pembuatan membantu mendorong tukang kraf tempatan menghasilkan barangan kraf dalam pelbagai rupa bentuk dan kegunaannya. Kegagahan serta kreativiti para tukang logam terserlah melalui teknik-teknik pembuatan barangan kraf secara tradisional seperti teknik penghapusan lilin dalam penghasilan kraf tembaga, teknik tempa bagi menghasilkan mata senjata atau keris dari logam besi serta teknik memahat dan teknik pintalan dawai bagi barangan kraf perak.

Kesederhanaan tukang kraf dalam menghasilkan reka bentuk dan kreativiti mengadun jalinan motif menonjolkan identiti warisan kraf Melayu. Hasil pertukangannya yang tidak keterlaluan dalam memperlihatkan kemahiran juga kemampuan mengadun rupa bentuk, motif atau corak menggambarkan keharmonian dan tatatertib dalam sebuah peradaban. Antara hasil barangan kraf warisan logam adalah seperti tepak sirih, kendi, pahar, bekas perasapan, kebak laksa, keris, tombak, golok, parang, kelewang serta barangan kemas sebagai perhiasan diri seperti dokoh, kerongsang, pending, gelang kaki, caping dan sebagainya.
  • Hits: 3081
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map