• Utama
  • Maklumat Kraf
  • Tokoh Kraf
  • Adiguru

Adiguru

Adiguru Kraf ialah seseorang yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai seorang tokoh / master craftsmen setelah mereka menepati kriteria-kriteria seperti berikut:-
  • Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang kraf kepakarannya atau ahli di dalam seni kemahiran ketukangan, penciptaan, penggubahan produk dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa Malaysia.
  • Memainkan peranan penting dalam usaha memulih dan memelihara  seni kraf warisan.
  • Bersungguh-sungguh menurunkan kemahiran kepada kumpulan pelapis agar seni kraf warisan berkenaan mempunyai kesinambungan.
  • Kreatif dan inovatif dalam usaha memaju dan meningkatkan kualiti produk kraf yang dihasilkan.


    • Adiguru Kraf Songket Sarawak  Puan Dayang Norsalam binti Pengiran Parsih

      Adiguru Kraf Songket Sarawak
      Puan Dayang Norsalam binti Pengiran Parsih

      Nama            : Puan Dayang Norsalam binti Pengiran Parsih
      Bidang Kraf  : Tenunan Songket Sarawak
      Adiguru        : Adiguru Kraf Songket Sarawak
      Negeri          : Sarawak
      Tarikh Lahir  : 4 Ogos 1943
      Lantikan Pertama  : Tahun 1985


      PENGLIBATAN AWAL

      Puan Dayang Norsalam binti Pengiran Parsih dilahirkan di Kampung Hulu Rejang, Sarikei, Sarawak. Beliau dibesarkan dalam lingkung keluarga yang mempunyai kemahiran menenun. Walaupun pernah menerima pendidikan di peringkat sekolah, namun beliau lebih mempunyai cenderung untuk meneruskan perusahaan warisan keluarga ini. Kemahiran menenun yang dipelajari oleh Puan Dayang sejak usia remaja telah mendapat galakan daripada keluarga untuk terus menceburi bidang tenunan ini.



      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Beliau memiliki bakat yang tinggi dan kreatif dalam mengadun keindahan dan penuh ketelitian pada setiap reka corak kain yang akan ditenunnya. Corak Emas Rebung, Kayak Tersusun, Bunga Semalu, Bunga Mawar dan Bunga Cabit merupakan antara reka corak yang dihasilkan oleh Puan Dayang.



      SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Songket tenunan Puan Dayang dikenali bukan sahaja di Sarawak malah hingga ke Semenanjung Malaysia dan juga Brunei. Beliau mewariskan kemahiran ini kepada anak dan generasi muda agar ianya tidak dilupakan begitu sahaja.



      Bagi menghargai usaha dan sumbangan yang diberikan, pada tahun 1985, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai ADIGURU KRAF TENUNAN SONGKET SARAWAK.
    • Adiguru Kraf Tenunan DastarAllahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah

      Adiguru Kraf Tenunan Dastar
      Allahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah

      Nama           : Allahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah
      Bidang Kraf  : Tenunan Dastar
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tenunan Dastar
      Negeri          : Sabah
      Tarikh Lahir  : 11 Mei 1933 - 18 Ogos 2010
      Lantikan Pertama  : Tahun 1987


      PENGLIBATAN AWAL

      Allahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah merupakan anak jati berketurunan Irranun yang menetap di Kampung Merabau bersama keluarga. Memiliki kemahiran menenun yang diwarisi daripada ibu dan kakaknya yang memang merupakan penenun terkenal pada waktu itu.



      Antara kain tenunan tradisional Sabah yang dihasilkan oleh Allahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah adalah kain Dastar. Kain Tenun Dastar merupakan pakaian kebesaran suku kaum Bajau yang dijadikan sebagai tengkolok atau perhiasan pada pakaian tradisional mereka yang dipakai dalam upacara adat, keagamaan, majlis rasmi, perayaan dan perkahwinan.

      Beliau mengusahakan tenunan di bengkel yang terletak berhampiran dengan tempat kediamannya. Selain daripada benang kapas, beliau turut menggunakan benang nenas yang diproses sendiri dan kemudian diwarna menggunakan warna yang juga dari bahan semula jadi. Beliau mengajar tenunan kepada generasi muda dari masyarakat setempat. Ini adalah di antara usaha murni beliau dalam mengembangkan seni Tenunan Dastar.



      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Pada peringkat awal penglibatan Allahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah dalam bidang tenunan, beliau banyak menggunakan bahan semulajadi yang diproses sendiri iaitu penggunaan benang daripada serat nenas. Beliau turut menyediakan bahan pewarna dari sumber alam untuk mewarna benang yang akan ditenun.

      Beliau juga menghasilkan reka corak dari motif binatang (ayam dan kuda) yang biasanya menjadi kebanggaan suku kaum Bajau. Selain itu, beliau turut memasukkan motif geometri di dalam tenunannya.



      Oleh kerana permintaan terhadap kain dastar semakin meluas, Puan Ramiah telah mempelbagaikan reka corak agar ianya boleh dijadikan produk lain seperti alas meja, kusyen dan hiasan dinding. Kreativiti beliau mendapat perhatian daripada jabatan kerajaan, swasta dan orang perseorangan.



      Beliau juga berkemahiran menenun kain Mugah, Baraguru, Ampik, Tapak Sila dan kain Sambitan. Selain daripada menenun beliau juga mempunyai kemahiran membuat tudung saji dari daun serdang dan menganyam tikar pandan.

      PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

      Allahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah telah banyak mencurahkan ilmu tenunan asli Sabah kepada generasi muda di sekitar Kota Belud dan melatih anggota kerja Kraftangan Malaysia. Beliau menjadi jurutunjuk kepada kumpulan pelatih di bawah Skim Perantisan Kraf Warisan anjuran Kraftangan Malaysia. Di samping itu, beliau turut menyertai promosi, pameran dan demonstrasi tenunan yang diadakan di sekitar Kota Belud dan Kota Kinabalu.



      Pada tahun 1986, Kraftangan Malaysia melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenunan Dastar bagi menghargai kemahiran seni yang beliau miliki. Namun pada tanggal 18 Ogos 2010, beliau yang telah kembali ke Rahmatullah. Segala jasa dan bakti beliau dalam memartabatkan tenunan asli Sabah amat disanjungi. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan golongan orang yang beriman.
    • Adiguru Kraf Tembaga  Allahyarham Encik Wan Abdullah bin Wan Muda

      Adiguru Kraf Tembaga
      Allahyarham Encik Wan Abdullah bin Wan Muda

      Nama           : Allahyarham Encik Wan Abdullah bin Wan Muda
      Bidang Kraf  : Tembaga
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tembaga
      Negeri          : Terengganu
      Tarikh Lahir  : 1920 - 14 Mac 2004
      Lantikan Pertama  : Tahun 1987


      SEJARAH PENGLIBATAN TOKOH DALAM PERTUKANGAN TEMBAGA

      Seni kraf tembaga dipercayai warisan zaman pemerintahan Dong Son di Funan. Akibat pemberontakan menentang rejim pemerintahan menjelang tahun 800 masihi, ramai nelayan menjadi tukang ukir dan tukang logam berhijrah ke Thailand, Kepulauan Indonesia dan Tanah Melayu. Di sini mulanya perkembangan budaya kemahiran seni logam di Tanah Melayu, khasnya di negeri Terengganu. Kini negeri ini telah melahirkan ramai pengusaha yang berkemahiran tinggi dalam bidang pertukangan kraf tembaga.

      Barangan kraf tembaga secara tradisional dibuat menggunakan acuan lilin tetapi kini telah beralih kepada penggunaan acuan pasir. Kebanyakan proses pembuatannya masih menggunakan tangan dengan kaedah campuran tembaga dengan aloi tertentu. Barangan kraf tembaga yang telah siap, kemudiannya dibentuk menggunakan bantuan mesin dan dihiasi dengan motif ukiran.

      Salah seorang pelopor seni kraf tembaga yang tersohor adalah Allahyarham Encik Wan Abdullah bin Wan Muda. Dilahirkan pada tahun 1914 di Kampung Tanjung iaitu sebuah perkampungan Melayu yang terletak di Kuala Terengganu. Pada zaman awal pendidikannya, seperti kanak-kanak lain beliau dihantar ke sekolah agama. Bermulalah titik penglibatan beliau dalam pertukangan tembaga kerana secara kebetulan salah seorang guru beliau merupakan seorang tukang tembaga yang bermahiran tinggi.

      Allahyarham mula serius menceburi bidang pertukangan kraf tembaga pada usia 28 tahun di mana beliau terus mendalami ilmu pertukangan daripada pelbagai tukang-tukang tembaga tersohor termasuklah Tuan Haji Bakar Abdul Rahman dan Tuan Haji Mat Cik.



      Di kalangan adik-beradiknya, hanya beliau dan adiknya Tuan Haji Wan Yahya sahaja menceburi bidang ini. Kreativiti dan minat beliau dalam bidang seni tembaga ini telah menarik perhatian dan galakan daripada kedua-dua orang tuanya untuk terus bergiat secara serius. Pengaruh rakan-rakan sebaya, keadaan persekitaran, minat dan kedudukan ekonomi memberi sumbangan ke arah keterlibatan beliau dalam aktiviti seni pertukangan ini.

      Sebelum zaman pemerintahan Jepun, beliau telah memulakan perniagaan dengan menghasilkan barangan kraf tembaga seperti periuk berukuran 3" x 4" dengan harga satu ringgit sebuah pada ketika itu. Di antara produk lain yang turut beliau hasilkan adalah seperti Sekodi serta bekas-bekas kuih seperti Sarang Cermai, Sarang Apik-Apik, Bakor dan Kuali Kuah. Hasil-hasil kraf tembaga ini kemudiannya dijual kepada orang ramai.

      Selepas tahun 1948, Allahyarham menjual peralatan serta barang-barang tembaga di sebuah kedai kepunyaannya yang dikongsikan bersama dengan seorang rakan. Perusahaan beliau ini hanya dibuka di waktu pagi dan berhenti rehat pada pukul satu tengahari. Kira-kira sejam sebelum beliau menutup kedainya, rakannya akan pulang untuk melebur acuan. Ini membolehkan beliau terus melakukan kerja-kerja menuang sekembalinya ke rumah. Waktu perniagaan beliau akan disambung semula sehingga lima petang.

      Penglibatan Allahyarham Encik Wan Abdullah sepenuhnya dalam pertukangan tembaga secara sepenuh masa hanya bermula pada tahun 1965. Pada ketika itu, beliau bekerja dengan bantuan tiga orang pemuda yang diupah mengikut gaji harian dengan kadar bayaran sebanyak dua ringgit sehari. Wang bukan merupakan matlamat utama, sebaliknya pengalaman dan kemahiran dapat menentukan masa depan mereka. Berorentasikan kepercayaan ini, maka pembantu-pembantunya bekerja dengan penuh tanggungjawab untuk menghasilkan barang-barang tembaga yang bermutu tinggi.

      Permintaan terhadap barangan tembaga juga semakin meningkat dan beliau dengan bantuan oleh beberapa orang pekerja bagi kini mampu menyiapkan setiap tempahan yang diterima. Logam tembaga yang ditempa dan diukirnya dengan penuh kesungguhan menghasilkan barangan yang indah dan berkualiti menyebabkan namanya kian tersohor ke seluruh negeri.

      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Di antara petua-petua yang sering diamalkan sewaktu menuang leburan tembaga adalah dengan :-

      i.   Pastikan acuan dalam keadaan rata, Ianya dapat ditentukan apabila tembaga yang telah masak dituangkan ke dalam acuan.
      ii.   Mengawal suhu kepanasan dengan cara mengelakkan lebih angin ke atas acuan. Ketika ini proses melebur dilakukan dengan berhati-hati supaya api tidak meliuk-liuk ke satu bahagian sahaja.
      iii.   Memastikan dilakukan pada hari yang dianggap elok menuang adalah pada awal bulan iaitu di antara satu hingga sepuluh haribulan.
      iv.    Seseorang pengusaha tidak digalakkan menuang tembaga sewaktu berlaku sesuatu kematian. Jika tidak, beberapa masalah akan timbul seperti terjadi kerosakkan pada acuan atau kelewatan dalam proses melebur.
      v.    Pembacaan ayat-ayat Al-Quran bagi mempermudahkan urusan kerja.
      vi.    Penyediaan bengkel yang selesa dan mempunyai ruang yang mencukupi. Ini penting bagi mempermudahkan pergerakan.




      Hasil-hasil kraf tembaga oleh Allahyarham Wan Abdullah tidak sekadar yang dijual dikedainya sahaja. Barang-barang tembaga yang dijual dikedai lebih tertumpu pada hasil-hasil tembaga yang kecil. Beliau turut menerima tempahan dalam bentuk kuali, tempayan atau pasu bunga yang mana sebilangan besar dari pelanggan-pelanggan beliau terdiri dari golongan yang berpendapatan sederhana dan pihak istana.

      PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

      Warisan seni pertukangan tembaga masih berterusan melalui usaha dan kemahiran diambil alih oleh seseorang pengusaha dari pengusaha sebelumnya. Mengikut kebiasaan, ia diwarisi oleh salah seorang ahli-ahli keluarga tokoh tersebut sepertimana minat yang ditunjukkan oleh Encik Daud, anak sulung Allahyarham Wan Abdullah. Beliau kerap memerhati kerja-kerja ayahnya sebelum membuat sendiri sehinggalah beliau menjadi cekap dalam segala teknik dan proses. Ayahnya hanya bertindak memberi panduan dan mengawasi hasil kerja-kerja anak-anaknya.



      Dalam pada itu, Allahyarham Wan Abdullah tidak ketinggalan membimbing, melatih dan mengajar anak-anak muda tempatan. Setiap hasil kerja logam tembaga yang ditempa dan diukir oleh Pak Wan penuh dengan kesungguhan, indah dan berkualiti menyebabkan namanya tersohor ke seluruh negeri.

      Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tembaga pada tahun 1987 di atas sumbangan dan kemahiran beliau. Pada tanggal 14 Mac 2004, Allahyarham Wan Abdullah bin Wan Muda telah dijemput Ilahi. Segala jasa, bakti dan komitmen beliau dalam memartabatkan seni kraf tembaga amat disanjungi. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan golongan orang yang beriman.
    • Adiguru Kraf TekatanAllahyarhamah Puan Ainatisah binti Bilal Din

      Adiguru Kraf Tekatan
      Allahyarhamah Puan Ainatisah binti Bilal Din

      Nama           : Allahyarhamah Puan Ainatisah binti Bilal Din
      Bidang Kraf  : Tekatan
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tekatan
      Negeri          : Perak
      Tarikh Lahir  : 1941 - 14 September 1989
      Lantikan Pertama  : Tahun 1987


      Seni tekatan benang emas merupakan kemahiran kerja tangan warisan yang sinonim dengan masyarakat di daerah Kuala Kangsar Perak. Salah seorang tukang tekat yang terkenal dan disegani di negeri Perak adalah Allahyarhamah Puan Ainatisah binti Bilal Din.



      Beliau dilahirkan pada tahun 1941 dalam kalangan keluarga seni yang mempunyai kemahiran menekat. Telah menjadi amalan setiap keluarga tradisional ketika itu anak gadis tidak digalakkan belajar di sekolah. Namun demikian, setiap ibu bapa memastikan anak gadis mereka mempunyai asas pendidikan agama dan rumah tangga termasuk kemahiran kerja tangan sebelum melangkah ke alam rumah tangga. Oleh yang demikian setiap anak gadis yang mencapai usia remaja diajar mengurus rumah tangga di samping belajar menjahit, menganyam, menenun, menyulam atau menekat.



      Demikian jugalah pengalaman Ainatishah. Beliau belajar menekat daripada ibu dan neneknya sehingga lama kelamaan seni kemahiran ini menjadi sumber pendapatan beliau. Tempahan diterima bukan sahaja dari masyarakat setempat malah juga daripada kerabat diraja dan pembesar istana. Motif-motif flora seperti bunga kekwa, anggerik dan asam batu ditekat penuh teliti di atas kain baldu terpilih lalu menghasilkan produk yang cantik dan penuh berseni.

      Kehalusan hasil tekatan beliau menjadi sebutan. Beliau turut menurunkan ilmu kemahiran kepada generasi muda yang berminat dalam seni tekatan. Bagi menghargai sumbangan dan kesungguhan beliau mempertahankan seni kemahiran menekat, pada tahun 1987 Kraftangan Malaysia telah melantik Allahyarhamah Puan Ainatisah binti Bilal Din sebagai Adiguru Kraf Tekatan.
    • Adiguru Kraf Perak Tuan Haji Ibrahim Bin Haji Ismail

      Adiguru Kraf Perak
      Tuan Haji Ibrahim Bin Haji Ismail

      Nama           : Allahyarham Tuan Haji Ibrahim Bin Haji Ismail
      Bidang Kraf  : Perak
      Adiguru        : Adiguru Kraf Perak
      Negeri          : Kelantan
      Tarikh Lahir  : 28 September 1924
      Lantikan Pertama  : Tahun 1987


      LATAR BELAKANG PERTUKANGAN PERAK DI KELANTAN

      Seni pertukangan perak adalah satu daripada cabang kesenian orang-orang Melayu yang amat terkenal di negeri Kelantan. kemahiran pertukangan logam oleh orang-orang Melayu dipercayai telah wujud sejak zaman-berzaman, hasil pengaruh tamadun Hindu dan Islam yang memang terkenal dengan pertukangan barangan logam seperti emas dan tembaga.

      Barangan perak yang dihasilkan terbahagi kepada 3 jenis iaitu:
      a) Barang-barang kasar (serbaguna) - barang-barang dapur seperti pinggan mangkuk, teko dan sebagainya.
      b) Barang-barang filigree seperti aksesori wanita dan cenderahati
      c) Barang-barang perhiasan ikatan permata

      Bagi masyarakat yang telah mengenali seni pertukangan perak filligree mempunyai keindahannya yang tersendiri. keindahan yang dinaksudkan ini bukan sekadar kehalusan ragam hiasan pada sesuatu hasil karya itu, malahan juga pada penciptaan satu-satu motif yang terselindung di sebaliknya mengikut daya imaginasi jiwa pencipta itu sendiri.

      Kebanyakan barangan filligree memaparkan peralatan perhiasan diri yang menjadi kegemaran kaum wanita. Berbagai motif bunga-bungaan terdapat di dalam pertukangan perak filligree seperti bunga matahari, bunga cempaka, bunga orkid, bunga mawar dan lain-lain motif moden dalam rekacorak pertukangan filigree.

      Rekaan motif pada barangan perak filligree bukan sekadar hiasan sahaja tetapi juga adalah manifestasi falsafah budaya Melayu melalui hasil cipta yang penuh simbolik.

      KEPIMPINAN DAN KETOKOHAN

      Seni pertukangan perak di antara cabang kesenian warisan yang amat terkenal di Kelantan. Pertukangan perak dikatakan berkembang di Kampung Sirih yang terletak berhampiran dengan Kota Bharu. Di sini munculnya ramai tukang perak yang hebat dan di antara mereka ialah Haji Ibrahim Ismail. Dilahirkan pada tahun 1924 di Kampung Sirih, Kota Baru Kelantan, beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Majlis Agama Islam dan kemudian melanjutkan pelajaran ke sekolah Menengah Kota Bharu dan pada tahun 1939 beliau memulakan tugas sebagai guru.



      Minat terhadap seni pertukangan perak dipupuk sejak di alam persekolahan lagi. Bapa saudaranya, Haji Abdul Rahman banyak membimbing dan memberi galakan kepada beliau mengenai selok belok pertukangan perak. Penglibatan beliau dalam bidang kemahiran perak bermula usia seawal 12 tahun lagi. Ketika itu hanya ingin mencuba sahaja, tetapi lama kelamaan minat terhadap kemahiran barangan perak mula timbul. Sewaktu berusia 19 tahun beliau bekerja sebagai seorang guru dan pada masa yang sama juga beliau membuat barangan perak secara sambilan.



      Selepas menjadi guru beliau masih lagi mencari waktu untuk meneruskan kegiatan bertukang. Tahun 1948 beliau mengambil keputusan berhenti daripada menjadi guru dan menceburi bidang pertukangan perak sepenuh masa. Beliau juga merupakan antara tukang perak yang menggerakkan semula Kelantan Malay Arts and Crafts (KMAAC).

      PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

      Pada peringkat awal penglibatannya, Haji Ismail gemar membuat barang-barang mudah dan kecil seperti kerongsang, subang, gelang, sudu, garpu, pisau dan senduk. Ini merupakan titik permulaan penglibatan beliau dalam seni pertukangan perak. Beliau kemudian diberi kepercayaan menyediakan cokmar untuk Dewan Negara, Dewan Rakyat, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. Di samping itu beliau menerima tempahan dari kerajaan negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pulau Pinang bagi menyediakan pingat kebesaran.



      Untuk membuat satu cokmar ia mengambil masa selama 6 bulan. Hanya orang yang memiliki kepandaian yang tinggi terhadap kemahiran perak sahaja yang mampu membuatnya. Setiap cokmar berukuran sepanjang 5 kaki lebih. Cokmar yang asalnya merupakan alat senjata diubah bentuknya menjadi sebuah alat lambang kebesaran dan kuasa. Selain itu, Tuan Haji Ibrahim juga membuat produk perak yang lain. Setiap hasil kerjatangan beliau yang dihiasi dengan motif-motif tradisional seperti Awan Larat, Bunga Tanjung, Sulur Kacang dan bermacam-macam lagi mengandungi pelbagai maksud yang tersirat.



      Ramai tukang-tukang perak yang turut menempa nama dalam bidang pertukangan perak pernah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada beliau. Beliau juga bergiat cergas dalam bidang politik dan pernah dilantik menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Hulu Kelantan pada tahun 1964 hingga 1968. Beliau juga menerima Anugerah Pingat Seri Mahkota Kelantan (1968) dan Anugerah Pingat Ahli Mangku Negara (1967). Bagi menghargai sumbangan Haji Ibrahim Ismail terhadap perusahaan pertukangan perak negara, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Perak pada tahun 1987.

    • Adiguru Kraf Anyaman RombongAllahyarhamah Puan Hajah Aminah binti Haji Amat

      Adiguru Kraf Anyaman Rombong
      Allahyarhamah Puan Hajah Aminah binti Haji Amat

      Nama           : Allahyarhamah Puan Hajah Aminah binti Haji Amat
      Bidang Kraf  : Anyaman Rombong
      Adiguru        : Adiguru Kraf Anyaman
      Negeri          : Melaka
      Tarikh Lahir  : 1928 - Februari 2003
      Lantikan Pertama  : Tahun 1988


      PENGLIBATAN AWAL

      Sebelum penggunaan beg diperkenalkan, masyarakat menggunakan Rombong sebagai bekas bagi penyimpanan pakaian dan barangan. Terdapat dua jenis rombong iaitu bersaiz besar yang diperbuat daripada daun pandan mengkuang dan bersaiz kecil daripada daun pandan yang lebih berseni anyamannya.

      Menurut riwayat sejarah seni kraf anyaman rombong ini bermula dari kisah seorang Orang Asli yang merajuk dengan keluarganya telah membawa diri ke atas sebuah pokok kelapa. Sambil melayan hati yang rajuk, beliau telah menganyam anyaman yang dikenali sebagai rombong menggunakan daun-daun kelapa tersebut. Teknik anyamannya yang sukar itu kemudiannya dikenali sebagai teknik “Anyaman Gila”. Seni kraf anyaman rombong menggunakan teknik berkenaan kini giat diusahakan oleh kaum wanita di daerah Tanjung Keling, Melaka.



      Salah seorang pakar dalam membuat anyaman rombong adalah Allahyarhamah Puan Hajah Aminah binti Haji Amat. Beliau dilahirkan pada tahun 1928 di Kampung Tanjung Keling, Melaka dan dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai kemahiran menganyam. Beliau melibatkan diri dalam bidang pembuatan kraf rombong seawal usia 12 tahun. Ilmu seni pembuatan produk kraf rombong ini diwarisi daripada ibunya.

      Allahyarhamah Puan Hajah Aminah pernah mengikuti sesi pembelajaran sekolah kebangsaan sehingga darjah dua. Kemudian beliau dihantar keluarganya untuk belajar di sekolah agama. Kehidupan ketika itu amat menitikberatkan adat resam dalam kehidupan mendorong anak-anak perempuan dilatih dan diasuh dalam urusan rumah tangga termasuk kemahiran kerja tangan seperti menenun dan menganyam.

      Tradisi ini turut diamalkan di dalam keluarga Allahyarhamah Puan Hajah Aminah. Sejak sewal usia remaja beliau diberi tanggungjawab membantu ibu dan neneknya menyiapkan tempahan pelanggan. Peringkat awalnya beliau diberi tugas menyisip atau menyusun bilah-bilah mengkuang yang akan dianyam. Kemudian beliau diajar bagaimana menganyam, membentuk dan menghias rombong oleh ibu dan neneknya.



      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Galakan dan tunjuk ajar daripada keluarga menyebabkan Allahyarhamah Puan Hajah Aminah berjaya menguasai kemahiran menganyam rombong. Motif-motif Bunga Tanjung, Bunga Cengkih, Pucuk Rebung dan Potong Wajik antara reka corak yang menjadi identiti anyaman rombong Allahyarhamah Puan Hajah Aminah. Kerja-kerja mengambil daun mengkuang, melayur, menjangka, melurut sehinggalah proses menganyam rombong dilakukan beliau sendiri dengan dibantu oleh anak perempuan beliau.



      Pada mulanya beliau hanya memasarkan barangan rombong melalui orang tengah tetapi lama-kelamaan beliau mula memasarkan produk secara sendiri dengan bantuan daripada Kraftangan Malaysia. hasil produk rombong beliau juga telah mula dipelbagaikan seperti bekas bagi penyimpanan pakaian, bunga telur, bekas simpanan barangan kemas dan sebagainya. Berkat kesungguhan dan usaha beliau yang tidak mengenal putus asa, beliau telah mampu menghasilkan 10 biji sehari melalui inovasi pemprosesan bahan mentah dan teknik anyaman yang lebih mudah.

      PENCAPAIAN DAN SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT

      Beliau turut mengajar penduduk-penduduk setempat membuat anyaman rombong tanpa mengambil sebarang yuran demi memastikan kesinambungan seni warisan kraf anyaman rombong ini. Hasilnya, beliau telah berjaya melahirkan beberapa orang yang berkemahiran membuat barangan anyaman rombong.

      Selain daripada mengajar orang perseorangan, Puan Hajah Aminah juga mengajar pelajar-pelajar sekolah sekitar negeri Melaka. Berkat ketekunan dan kesungguhan beliau semasa hayatnya dalam menghidupkan semula kraf warisan telah mendapat perhatian.



      Pada tahun 1988, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Anyaman Rombong bagi menghargai sumbangannya dalam memulihara dan memelihara seni kemahiran ini. Beliau telah meninggal dunia pada Februari 2003. Semoga roh Allahyarhamah Puan Hajah Aminah binti Haji Amat dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman.
    • Adiguru Kraf Tenunan Pahang  Allahyarhamah Puan Azizah binti Ismail

      Adiguru Kraf Tenunan Pahang
      Allahyarhamah Puan Azizah binti Ismail

      Nama           : Allahyarhamah Puan Azizah binti Ismail
      Bidang Kraf  : Tenunan Pahang
      Adiguru        :Adiguru Kraf Tenunan Pahang
      Negeri          : Pahang
      Tarikh Lahir  : 1935 - 17 April 1996
      Lantikan Pertama  : Tahun 1988


      LATAR BELAKANG KRAF TENUNAN PAHANG

      Salah satu seni perusahaan tangan Melayu yang menjadi kemegahan bangsa ialah bertenun kain. Seni bertenun memerlukan mutu ciptaan serta kemahiran yang tinggi.

      Kain Tenun Pahang merupakan kain yang bermutu tinggi serta mempunyai corak yang menarik. Corak Tenun Pahang biasanya berkotak-kotak, bercorak jalur berdiri dan jalur melintang. Benang kapas dan benang sutera merupakan bahan-bahan yang digunakan untuk proses tenunan. Kuning dari kunyit merupakan contoh warna dari bahan-bahan asli yang menjadi pilihan penenun. Kain Tenun Pahang boleh dijadikan kain sarung, samping dan juga pakaian tradisional. Pada masa sekarang, penggunaan kain Tenun Pahang telah disesuaikan untuk pelbagai kegunaan khususnya seperti untuk majlis makan malam.

      Kampung Pulau Keladi yang terletak di daerah Pekan merupakan tempat berkembangnya seni Tenunan Melayu Pahang. Kemahiran ini telah diwarisi secara turun temurun oleh datuk nenek moyang mereka.

      Kain Tenunan Pahang mengandungi elemen seni halus yang diwakili oleh warna, garis, jalinan, ruang, bentuk atau keseluruhan keharmonian itu sendiri. Unsur kehalusan seni dan reka cipta ini dilahirkan dalam hasil tenunan mereka. Panduan warna dan susunan garis pada Tenunan Pahang melambangkan keunggulan budaya setempat.

      LATAR BELAKANG ADIGURU

      Allahyarhamah Puan Azizah binti Ismailmerupakan satu-satunya tokoh yang bergiat cergas dalam bidang menenun kain Pahang. Dilahirkan di Johor Bahru pada tahun 1935 tetapi dibesarkan di Pekan, Pahang. Ibunya bernama Puan Hendon Binti Ahmad, ayahnya pula Encik Ismail Bin Bakar merupakan seorang guru. Mempunyai 8 orang adik-beradik, 5 perempuan dan 3 orang lelaki. Hanya beliau saja yang menceburi bidang Tenunan Pahang .

      Puan Azizah mendapat pendidikan formal sehingga darjah 3 di Pekan. Sewaktu kecilnya, setelah pulang dari sekolah, Allahyarhamah Puan Azizah selalu membantu kerja-kerja ibunya dan juga belajar mengaji Quran dari seorang guru Quran bernama Ustaz Omar. Beliau belajar menenun daripada Hajah Maimunah. Suami beliau Encik Zakaria Omar turut memberikan sepenuh galakkan kepada Puan Azizah.

      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Dari segi keaslian menenun, beliau betul-betul mengekalkan teknik dan cara seperti mana yang dipelajarinya daripada Hajah Maimunah. Tiada pengubahsuaian dilakukannya kecuali beliau juga turut mereka-reka corak fesyen.





      Allahyarhamah Puan Azizah menjadikan perusahaan menenun sebagai profesionnya. Beliau, merupakan pengusaha kain Tenun Pahang sepenuh masa. Selain dari itu beliau memang terkenal sebagai pusat tenunan sutera. Sebelum adanya bengkel, kerja-kerja menenun dilakukannya di rumah sahaja. Kini setelah mempunyai bengkel, hampir keseluruhan kerja menenun dilakukannya di bengkel.

      Setiap hari beliau akan memulakan kerja pada jam 9 pagi. Pukul 12.30 tengahari beliau akan pulang ke rumah. Jam 3 petang hingga jam 5 petang beliau akan kembali berada di bengkel . Waktu malam digunakannya untuk kerja-kerja menerau.

      Tujuan utama Allahyarhamah Puan Azizah menghasilkan tenunan ialah untuk menambah pendapatan. Dalam masa sebulan beliau mampu menyiapkan 10 hingga 15 helai termasuk samping. Kain tenunan beliau bisanya dijual di bengkel. Pertubuhan atau agensi sering membuat tempahan dari beliau ialah Perbadanan Kemajuan Kraftagan Malaysia, Syarikat Pemasaran Karyaneka, KEMAS dan LKNP.

      PENCAPAIAN DAN SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT

      Salah satu daripada seni kemahiran tangan tradisional yang menjadi kemegahan bangsa ialah bertenun kain. Pulau Keladi yang terletak di dalam Daerah Pekan, Pahang amat sinonim dengan kerja-kerja menenun kain. Di sini muncul penenun-penenun kain sutera yang mengukir nama dalam lipatan sejarah tenunan. Salah seorang daripada mereka ialah Allahyarhamah Puan Azizah binti Ismail.



      Pada masa kanak-kanaknya, beliau sering memerhatikan neneknya menenun kain. Namun demikian beliau tidak mempunyai kesempatan mewarisi kemahiran daripada neneknya. Kegiatan menenun ini diusahakan setelah beliau berumah tangga. Beliau ketika itu tinggal berjiran dengan Hajah Maimunah yang merupakan salah seorang tukang tenun yang terkenal di Pulau Keladi. Allahyarhamah Puan Azizah mengambil masa selama enam bulan belajar bertenun iaitu dari proses mencelup benang hinggalah kepada proses menenun. Berkat ketekunan dan kesabaran beliau, akhirnya kemahiran menenun dapat dikuasi oleh Allahyarhamah Puan Azizah. Di antara reka corak kain tenun beliau yang mendapat permintaan ramai ialah Corak Jaluran Tujuh, Sembilan, Sepuluh, Sebelas dan Tiga Belas.

      Beliau telah mengusahakan kegiatan menenun secara sepenuh masa dan beliau juga turut mengendalikan sebuah bengkel tenun di Kampung Pulau Keladi yang memberi peluang kepada masyarakat setempat khususnya golongan remaja mempelajari cara-cara menenun. Kemahiran menenun ini turut diwarisi oleh anak perempuan beliau. Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau semasa hayatnya dalam mengembang dan membangunkan seni warisan bangsa ini, pada tahun 1988 Kraftangan Malaysia telah melantik Allahyarhamah Puan Azizah binti Ismail sebagai Adiguru Kraf Tenun Pahang . Beliau telah meninggal dunia pada 17 April 1996. Semoga roh beliau dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman.
    • Adiguru Kraf Jebak PuyuhEncik Che Mud Bin Che Awang

      Adiguru Kraf Jebak Puyuh
      Encik Che Mud Bin Che Awang

      Nama           : Encik Che Mud Bin Che Awang
      Bidang Kraf  : Aneka Kraf
      Adiguru        : Adiguru Kraf Jebak Puyuh
      Negeri          : Kelantan
      Tarikh Lahir  : 8 Oktober 1944
      Lantikan Pertama  : Tahun 1989
      Lantikan Semula   : Tahun 2006

      KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

      Encik Che Mud bin Che Awang berasal dari Negeri Kelantan Darul Naim dan kini menetap di Kampung Bunuhan, Tumpat, Kelantan. Walaupun tidak pernah menerima pendidikan formal beliau memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang kraf. Beliau pakar membuat jebak puyuh, wau dan wayang kulit. Selain daripada itu, beliau juga mempunyai Ilmu Main Puteri, salah satu cara perubatan tradisional di Kelantan.



      Penglibatan beliau dalam bidang kemahiran membuat jebak puyuh ini bermula semenjak beliau masih kanak – kanak lagi. Sewaktu beliau kecil, beliau sering mendampingi datuk saudaranya yang sangat gemar menangkap puyuh dan mahir membuat jebak puyuh. Oleh kerana minat yang mendalam, beliau tidak pernah melepaskan peluang memerhatikan cara – cara datuknya membuat jebak puyuh.

      Suatu hari apabila datuknya meninggalkan kerja – kerja membuat jebak puyuh seketika, tanpa membuang masa beliau mengambil kesempatan itu telah menyiapkan jebak puyuh tersebut. Semenjak dari itu datuk saudaranya telah mula mengajar beliau cara – cara membuat jebak puyuh secara serius.



      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Beliau menggunakan teknik tradisional yang rumit tetapi tidak memerlukan kos yang tinggi. Kebanyakkan bahan – bahan yang perlu digunakan diperolehi dari hutan di sekitar tempat tinggal beliau. Jebak puyuh yang dihasilkan oleh Che Mud ini sebenarnya telah diperbaharui reka bentuknya berdasarkan bakat dan ilham beliau sendiri.



      Reka bentuk jebak ini diilhamkan dari badan burung puyuh itu sendiri. Beliau memperindah jebak puyuh dengan ukiran dan ikatan . Hasilnya, sungguh menarik sekali dan tiada siapa yang menyangka barangan kraf secantik itu hanyalah sebuah jebak memikat puyuh. Hasil kreativiti beliau kini dipelbagaikan kegunaannya. Jebak puyuh kini dijadikan sebagai alat hiasan rumah yang indah dan unik.



      SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Kini kemahiran membuat jebak puyuh yang dahulunya hanyalah merupakan hobi, kini ia turut mendatangkan hasil pendapatan sampingan kepada beliau. Beliau sering menerima tempahan membuat jebak puyuh daripada mereka yang berminat memilikinya.

      Kemahiran yang dimiliki oleh Che Mud ini telah membawa beliau ke Amerika Syarikat bagi mempromosikan seni warisan bangsa. Beliau juga telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Jebak Puyuh pada tahun 1989 oleh Kraftangan Malaysia.
    • Adiguru Kraf Tenunan RungusPuan Rubangki binti Mabok

      Adiguru Kraf Tenunan Rungus
      Puan Rubangki binti Mabok

      Nama           : Puan Rubangki binti Mabok
      Bidang Kraf  : Tekstil
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tenunan Rungus
      Negeri          : Sabah
      Tarikh Lahir  : 30 Disember 1942
      Lantikan Pertama  : Tahun 1990
      Lantikan Semula   : Tahun 2006

      KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

      Puan Rubangki dilahirkan dalam keluarga yang mahir menghasilkan Tenunan Rungus. Ibunya merupakan seorang penenun kain tradisi masyarakat Rungus yang terkenal dan telah mendidik beliau sejak kecil lagi dalam bidang kemahiran ini.

      Walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal, kreativiti dan kesungguhan beliau dalam mengusahakan Tenunan Rungus telah meletakkan beliau di antara penenun kain tradisi Sabah yang disegani.



      Beliau berkemahiran membuat rekaan motif sendiri untuk kain-kain yang ditenun. Setiap motif dan reka corak Puan Rubangki berdasarkan alam semulajadi terutamanya tumbuh-tumbuhan dan binatang.

      Proses menghasilkan rekaan bermula apabila beliau duduk menenun. Beliau melakar reka corak dan motif melalui imaginasi yang kemudian digambarkan terus melalui benang-benang yang ditenun.



      Keistimewaan tenunan beliau terletak pada aspek kehalusan dan kepelbagaian reka corak. Reka corak ini diwarisi daripada ibunya secara turun temurun dan ia tersimpan dalam pemikiran beliau (tidak dicatat atau dilakar di dalam buku).

      Antara motif-motif yang memperlihatkan identiti kain tenunan Puan Rubangki seperti motif kinodut-kodut (motif kena cubit), binugang (burung), inugarang (biawak kecil), kinulit (kulit kayu) linapung (ular sawa) dan mansimong (hantu).



      Secara tradisi, untuk menghasilkan sehelai kain rungus, Puan Rubangki perlu menyediakan benang untuk ditenun. Puan Rubangki mengutip kapas yang ditanam dan kemudian dipintal menjadi benang. Benang-benang ini kemudiannya diwarna menggunakan warna semulajadi yang diperolehi dari daun tarum, kulit kayu sepang dan kunyit.



      SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Tenun rungus biasanya dijadikan sebagai pakaian lelaki dan wanita rungus terutama semasa ketika menyambut acara keagamaan, perayaan, dan majlis perkahwinan.



      Beliau juga mahir menghasilkan Tenunan Mugah yang terkenal dari suku kaum Irranun di Sabah. Beliau turut menyertai program promosi anjuran beberapa agensi kerajaan, swasta termasuk Kraftangan Malaysia seperti Pameran dan demonstrasi sempena Pesta Keamatan di Kota Kinabalu, Pameran dan Promosi sempena Fiesta Muzium Sabah serta Pameran di Universiti Sabah Malaysia.

      Beliau turut menyumbang jasa dalam mengekal seni tenunan ini. Beliau memberi tunjuk ajar kepada penduduk setempat dan juga individu yang berminat. Diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Tenunan Rungus pada tahun 1990 atas sumbangan dan kecemerlangan beliau dalam bidang tenunan Rungus.

    • Adiguru Kraf Tembikar Tembeling Allahyarhamah Hajah Manja binti Ali

      Adiguru Kraf Tembikar Tembeling
      Allahyarhamah Hajah Manja binti Ali

      Nama           : Allahyarhamah Hajah Manja binti Ali
      Bidang Kraf  : Tembikar Tembeling
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tembikar Tembeling
      Negeri          : Pahang
      Tarikh Lahir  : Tahun 1921 - 2000
      Lantikan Pertama  : Tahun 1991


      LATAR BELAKANG KRAF TEMBIKAR TEMBELING

      Kurniaan Tuhan adalah perkara di luar jangkaan manusia. Apa sahaja yang dikurniaan oleh Allah S.W.T di bumi dan di langit mempunyai hikmat tersediri. Begitu jugalah kurniaan yang diberikan-Nya kepada penduduk Kampung Pasir Durian, Ulu Tembeling, Jerantut Pahang. Hasil kraf tembikar tembeling ini telah menjadi sumber rezeki untuk penduduk-penduduk tempatan. Teluk Belanga merupakan lokasi di daerah ini yang mempunyai sumber tanah liat yang amat sesuai bagi menghasilkan pelbagai hasil seni kraf tembikar.

      Kerja-kerja menyediakan tembikar ini termasuklah penyediaan tanah yang digali dari lokasi sumber tanah liat yang sesuai dan kemudian dibawa ke bengkel untuk dijemur. Kebiasaannya tanah liat berkenaan akan dijemur di atas zink supaya cepat kering. Ini juga bertujuan agar kandungan air tanah itu diserap dan tidak berketul-ketul apabila direndam kelak.



      Sebelum direndam, tanah liat itu akan ditumbuk dalam lesung dengan menggunakan antan. Ia kemudiannya ditapis hingga halus dan seterusnya dilepa dan dituang di dalam acuan. Menerusi acuan berkenaan tanah dapat dibentuk mengikut barangan yang hendak dibuat seperti belanga, terenang, pasu bunga dan sebagainya. Bahan acuan yang telah siap kemudiannya akan diukir mengikut motif sebelum dibakar.



      Rekabentuk belanga dan terenang merupakan idea turun-temurun yang diwarisi dari generasi ke generasi. Belanga biasana akan dibuat sebesar mungkin mengikut tempahan. Belanga Tembeling juga sesuai digunakan untuk memasak lauk-pauk, sayur-sayuran, akar-akar kayu atau herba. Masakan menggunakan Belanga Tembeling dipercayai mampu menambahkan kelazatan makanan dari segi aroma dan rasa.



      Tembikar Terenang pula dipercayai berasal dari sebuah tempat yang dinamakan 'Jong Berlabuh' iaitu sebuah perkampungan di Daerah Kuala Tembeling. Saiz terbesar sesebuah terenang adalah sebesar tempayan. Rekabentuk terenang dipercayai berasal atau dipengaruhi oleh Negara Siam dan Kemboja. Kegunaan asal Tembikar Terenang adalah dalam upacara jampi serapah dan bekas air mawar asli untuk dijadikan ubat penawar. Ia turut digunakan bagi tujuan perhiasan rumah.

      Terenang merupakan ciptaan asli Kampung Pasir Durian yang mana dipengaruhi oleh kesesuaian tanah disekitar perkampungan ini yang terbaik bagi pembuatan produk Terenang. Kesuburan tanah ini turut mengandungi bahan-bahan mineral dan penapis yang amat berguna untuk manfaat tubuh badan manusia. Di antara produk yang dihasilkan termasuklah bekas cincin atau sebagai bekas perasap kemenyan (perasap). Kapasiti penghasilan produk-produk ini adalah terhad kerana penduduk masih mengekalkan teknik pembuatan secara tradisional.



      SEJARAH PENGLIBATAN ADIGURU

      Nama Allahyarhamah Hajah Manja binti Ali tidak asing lagi bagi penduduk-penduduk Kampung Pasir Durian Ulu Tembeling. Namanya terkenal kerana kepakarannya membuat pelbagai jenis tembikar tembeling, terutamanya belanga tembeling dan terenang.

      Beliau yang dilahirkan di Kampung Kerenek Kuala Tembeling telah berhijrah dan menetap di Kampung Pasir Durian sejak mendirikan rumahtangga. Allahyarhamah Hajah Manja binti Ali telah menceburi bidang seni kraf ini seawal usia 12 tahun.



      Beliau yang tidak berpeluang ke sekolah atas sebab adat dan pergaulan yang dikawal ketat oleh orang tuanya. Oleh itu, Allahyarhamah Hajah Manja binti Alidan anak-anak gadis lain sebayanya digalakkan membantu ibu bapa mereka dengan urusan harian dan kerja-kerja rumah.

      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Kemahiran membuat pelbagai jenis tembikar ini diwarisi dari ibu dan saudara mara perempuannya. Kedua ibu bapanya merupakan pendorong utama bagi beliau mempelajari dan mendalami seni kraf ini. Hasil kerja beliau diiktiraf dan mudah dikenalpasti berdasarkan pembuatannya yang halus dan kemas. Penggunaan motif-motif beliau yang kreatif dapat membezakan hasil seninya berbanding pembuat-pembuat tembikar tembeling yang lain.



      Beliau sangat mahir membuat belanga tembeling dan terenang. Konsep ukiran flora dan fauna merupakan pilihan utama bagi reka corak dan motif beliau. Di antara motif dan corak yang sering beliau gunakan adalah seperti "Bunga Payung", "Tepak Pelanduk", "Pucuk Rebung", "Bulan Sabit", "Bunga Pecah Empat" dan "Bunga Samba". Salah satu motif khas yang beliau paling gemari ialah "Dang Dongkek".

      PENCAPAIAN DAN SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT

      Sepanjang hayatnya, Allahyarhamah Hajah Manja sering menyertai pameran, pertandingan dan mengadakan sesi demonstrasi bagi memartabatkan seni pembuatan kraf Tembikar Tembeling. Di antara pernyertaan beliau termasuklah Pesta Kraftangan Pahang (tahun 1990) dan penyertaan di Universiti Malaya Kuala Lumpur. Semasa hayatnya, Allahyarhamah Hajah Manja turut berkongsi ilmu dan kemahiran pembuatan tembikar bersama jiran tetangga.



      Beliau juga bersedia mewariskan seni kraf ini kepada sesiapa sahaja yang berminat. Namun faktor jualan produk tembikar tembeling pada ketika itu kurang memberangsangkan, menyebabkan hampir tiada belia yang benar-benar berminat untuk menjadikan industri ini sebagai punca pendapatan. Allahyarhamah pernah melahirkan kebimbangan beliau sekiranya warisan ini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, kemungkinan seni tembikar warisan turun temurun ini akan pupus ditelan zaman.



      Kewibawaan dan kesungguhan beliau menghidupkan semula seni Tembikar Tembeling ini mendapat perhatian dari pelbagai pihak. Pada tahun 1990 beliau telah diiktiraf sebagai Tokoh Kraf Negeri Pahang oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang. Di atas komitmen beliau dalam memulihara dan memeliharan seni warisan ini, beliau telah dianugerahkan Adiguru Kraf Tembikar Tembeling pada tahun 1991 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.



      Sekitar tahun 2000, Allahyarhamah Hajah Manja telah dijemput kembali ke Ramatullah. Namun segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang hayatnya dalam memelihara kesinambungan seni warisan Tembikar Tembeling tetap disanjungi. Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman.
    • Adiguru Kraf Pandai BesiEncik Abdullah Bin Daud

      Adiguru Kraf Pandai Besi
      Encik Abdullah Bin Daud

      Nama           : Abdullah Bin Daud
      Bidang Kraf  : Pandai Besi
      Adiguru        : Adiguru Kraf Pandai Besi
      Negeri          : Kelantan
      Tarikh Lahir  : 18 Julai 1943
      Lantikan Pertama  : Tahun 1993
      Lantikan Semula   : Tahun 2006

      KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

      Encik Abdullah bin Daud antara tukang besi yang segani di seluruh negara. Belajar bertukang besi daripada ayahnya yang juga merupakan seorang tukang.Pernah mendapat pendidikan formal sehingga darjah dua. Beliau menghabiskan masa di bengkel ayahnya dengan membuat barangan kecil seperti pisau, hulu parang dan pisau kemudian dijual kepada rakan-rakan sekolah pada harga antara 20 sen hingga 60 puluh sen. Sebagai remaja beliau pernah mencuba beberapa pekerjaan dan merantau ke Thailand dan Singapura.



      Akhirnya anak muda ini mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halaman dan bertekad mengusahakan pertukangan besi sepenuh masa dan pada usia 24 tahun beliau telah mahir menempa senjata. Beliau mahir menghasilkan pelbagai jenis senjata seperti keris, pedang, parang, tukul, beliung, golok, kapak dan kerambit. Senjata istimewanya ‘Kerambit Lawi Ayam’. Keistimewaan En Abdullah yang lebih senang dengan panggilan Pak Lah ialah kemahiran beliau melakukan proses menghasilkan senjata dari memilih besi sehingga mengukir hulu dan sarung senjata. Ini adalah merupakan bakat semulajadi beliau.



      Apabila perusahaannya bertambah maju beliau membuka bengkel sendiri dengan dibantu oleh ayah saudara beliau. Beliau sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan perusahaan beliau. Barangan yang dihasilkan dilakukan dengan cara pengeluaran dengan kuantiti yang banyak dan dipasarkan di Pasar Kota Bharu dan Machang. Ternyata hasil kerja beliau sememangnya mendapat perhatian penduduk- penduduk setempat, pelancong serta orang kenamaan.



      Encik Abdullah lebih suka memasarkan barangan buatan beliau secara terus kepada pelanggan. Ini kerana pelanggannya dapat melihat hasil kerja tangannya yang halus serta dapat terus berurusan dengan beliau.Secara tidak langsung mereka akan mengenali beliau dengan lebih dekat lagi. Terdapat juga pelanggan yang menempah terus dari beliau dan ada juga dijual melalui pasar.

      Pak Lah bukan sahaja mahir dalam membuat senjata malah beliau mampu menghasilkan hulu keris, parang dan senjata lain dengan unik sekali. Lama – kelamaan kemahiran beliau dalam petukangan besi ini telah mendapat tempat di kalangan orang ramai dan beliau mula menerima tempahan dari orang luar dan orang – orang kenamaan. Antara senjata yang dihasilkan oleh beliau adalah keris untuk Istana Besar Perlis serta peralatan lembing dari Kerajaan Negeri Terengganu.

      Antara motif-motif yang memperlihatkan identiti kain tenunan Puan Rubangki seperti motif kinodut-kodut (motif kena cubit), binugang (burung), inugarang (biawak kecil), kinulit (kulit kayu) linapung (ular sawa) dan mansimong (hantu).

      Secara tradisi, untuk menghasilkan sehelai kain rungus, Puan Rubangki perlu menyediakan benang untuk ditenun. Puan Rubangki mengutip kapas yang ditanam dan kemudian dipintal menjadi benang. Benang-benang ini kemudiannya diwarna menggunakan warna semulajadi yang diperolehi dari daun tarum, kulit kayu sepang dan kunyit.

      SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Kejayaan demi kejayaan mula beliau kecapi. Antaranya beliau pernah dijemput beberapa kali membuat persembahan dan demonstrasi bagi pihak Lembaga Pengalakkan Pelancongan Malaysia. Tempahan barangan senjata dari agensi – agensi kerajaan lain juga turut diterima antaranya ialah Muzium Kelantan, Muzium Johor, Muzium Terengganu dan Muzium Pekan, Pahang. Beberapa majalah, suratkhabar, dan media lainnya mula memberi publisiti kepada beliau dalam ruangan seni dan budaya. Beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Pandai Besi pada tahun 1993 oleh Kraftangan Malaysia.



      Beliau dipilih berdasarkan beliau merupakan satu – satu pembuat senjata Melayu yang mahir membuat senjata dan mengukir hulu senjata serta komitmen beliau terhadap penduduk setempat. Di Kampung Manan, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan beliau terkenal sebagai guru silat dan guru mengajar mengaji Al-Quran. Tidak hairanlah beliau sering menjadi pakar rujuk dan juga orang yang dihormati di tempat beliau.

    • Adiguru Kraf Blok Batik  Allahyarham Encik Ibrahim bin Mohamad

      Adiguru Kraf Blok Batik
      Allahyarham Encik Ibrahim bin Mohamad

      Nama           : Allahyarham Encik Ibrahim bin Mohamad
      Bidang Kraf  : Blok Batik
      Adiguru        : Adiguru Kraf Blok Batik
      Negeri          : Terengganu
      Tarikh Meninggal Dunia  : 2 Januari 2003
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 1994


      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Industri batik di negara ini dipercayai bermula dengan penghasilan teknik terap atau cetak. Awalnya bungkah-bungkah kayu digunakan dalam pembuatan batik terap. Motif-motif ringkas seperti bunga-bunga atau daun-daun diukir di atas bungkah kayu lembut. Bungkah ini dikenali sebagai sarang bunga atau blok dicelup ke dalam bahan pewarna dan kemudian diterap di atas kain putih.



      Di antara tukang pembuat blok batik yang ternama adalah Allahyarham Encik Ibrahim bin Mohamad yang menetap di Kampung Padang, Terengganu. Hubungan akrab dengan alam sekeliling menjadi inspirasi pada setiap ukiran blok batik yang beliau hasilkan. Beliau melakar reka corak yang diilhamkan dan kemudian mengukir penuh teliti di atas kayu lembut terpilih.



      Setiap blok batik rekaan Allahyarham Encik Ibrahim bin Mohamad menampilkan reka corak motif yang cantik dan disenangi oleh pembuat-pembuat batik. Selain daripada kreativiti, kesungguhan dan ketabahan merupakan faktor kejayaan Ibrahim sebagai pengukir blok batik.



      Penggunaan kepingan logam seperti tembaga mula menggantikan blok kayu. Reka corak yang lebih halus dan daya tahan yang lebih lama menyebabkan permintaan ke atas blok kayu semakin berkurangan. Allahyarham Encik Ibrahim bin Mohamad tidak ketinggalan mengaplikasikan kemahiran yang beliau miliki ke atas kepingan logam yang lebih mudah dan halus hasilnya.



      Sungguhpun demikian, semasa hayatnya beliau terus membuat blok batik kayu sebagai usaha mengekal dan menyanjungi kemahiran kraf warisan. Bagi menghargai kesungguhannya menghidupkan seni warisan ini, pada tahun 1994 Kraftangan Malaysia telah melantik Allahyarham Encik Ibrahim bin Mohamad sebagai Adiguru Kraf Blok Batik. Namun begitu beliau telah meninggal dunia pada 2 Januari 2003. Semoga rohnya dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman.
    • Adiguru Kraf Ukiran Halus dan Tokoh Kraf Negara Allahyarham Tengku Ibrahim bin Tengku Wook

      Adiguru Kraf Ukiran Halus dan Tokoh Kraf Negara
      Allahyarham Tengku Ibrahim bin Tengku Wook

      Nama           : Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wook
      Bidang Kraf  : Ukiran Halus
      Adiguru        : Adiguru Kraf Ukiran Halus
      Tokoh Kraf   : Tokoh Kraf Negara
      Negeri          : Terengganu
      Tarikh Lahir  : Tahun 1929 - 2000
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 1995
      Tahun Lantikan Tokoh Kraf Negara   : Tahun 1998

      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Sejarah membuktikan bahawa semenjak 500 tahun yang lalu, orang-orang Melayu telah memberi perhatian istimewa terhadap seni ukiran halus. Seni ukiran halus yang dihasilkan ini bukan sahaja dikenali oleh masyarakat tempatan malah turut mendapat tempat di hati para pelancong asing.

      Dr. Othman Bin Yatim Kurator Kesenian Timur dan Islam, Muzium Negara berpendapat :

      “Seni ukiran kayu dan kemahiran Melayu dalam bidang ini telah wujud, sekurang-kurangnya sejak zaman kesultanan Melaka lagi. Seni ini melambangkan ketinggian daya kreativiti dan kehalusan cita rasa masyarakat penciptanya. Walaupun seni tradisi ini terpaksa menghadapi cabaran hasil dari pertembungan budaya tradisi dan budaya luar.”





      Allahyarham Tengku Ibrahim dilahirkan pada tahun 1929 di Kampung Gong Kemuntong, Besut Terengganu. Beliau merupakan salah seorang pencinta seni yang menjalankan aktiviti mengukir ukiran halus seperti hulu dan sarung keris, tongkat, katil, rumah dan barangan lainnya. Ukiran halus yang dihasilkan beliau sememangnya tinggi nilai seni mutunya. Sejak dari kecil lagi beliau telah didedahkan dengan teknik-teknik mengukir yang baik daripada ayahnya yang juga merupakan salah seorang pengukir yang masyhur.

      Apabila usianya meningkat belasan tahun barulah beliau mula melibatkan diri dengan ukiran halus ini dan mula mendirikan bengkel di belakang rumahnya sendiri. Bengkel yang tidak seberapa ini, dilengkapi dengan peralatan yang baik. Kemampuan Allahyarham Tengku Ibrahim bukan sahaja dari segi pembuatan barangan kraf malah beliau juga mampu melahirkan ataupun mereka cipta peralatan mengukir dengan sendiri. Antara peralatan yang dibuat sendiri adalah seperti pahat, set penebuk lubang, semawar serta menajamkan pahat.



      Ilmu yang terdapat pada beliau tidak dipendam begitu sahaja. Pada awal tahun 1970-1985 beliau mengajar penduduk-penduduk setempat kemahiran mengukir yang dimilikinya. Selain daripada mengajar penduduk setempat, Ilmu yang terdapat pada beliau tidak dipendam begitu sahaja. Pada awal tahun 1970-1985 beliau mengajar penduduk-penduduk setempat mengukir dan terdapat para pengukir yang kini mahir di bawah bimbingan beliau di antaranya ialah Norhaiza. Selain daripada mengajar penduduk setempat, Allahyarham Tengku Ibrahim juga mengajar belia di bawah jagaan IRDA dan juga pelatih-pelatih di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

      Kehalusan dan mutu ukiran yang tinggi menjadikan barangan yang dihasilkan beliau meningkat harga dan mempunyai pasaran yang luas. Beliau pernah menghasilkan ukiran halus untuk Yang Amat Berbahagia Tun Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri Malaysia), Sultan Azlan Shah, Tuan Haji Haida serta beberapa orang kenamaan lainnya yang tidak dapat diingat oleh beliau. Penghasilan ukiran beliau juga mendapat tempat daripada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Perdana Menteri, Muzium Kelantan, Muzium Terengganu, Muzium Negeri Pahang dan kerajaan negara Brunei Darussalam.

      KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

      Keistimewaan Allahyarham Tengku Ibrahim juga adalah dalam menghasilkan motif-motif menggunakan motif tersendiri dan bunga-bungaan tersendiri. Kejayaan beliau juga terserlah apabila Dato’ Seri Marina binti Mahathir menghasilkan buku bertajuk ‘The Craft of Malaysia’ dan beliau adalah seorang tukang kraf yang menjadi pilihan kerana kehalusan produk ukiran yang dihasilkan.



      Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wook juga seorang tokoh yang mahir dalam membuat pemilihan bahan mentah. Bahan mentah kayu yang lazim digunakan adalah kayu kemuning putih dan hitam. Di samping kayu Tengku Ibrahim gemar mengukir taduk, gigi ikan, gading dan bahan-bahan kayu lainnya.



      Barangan ukiran yang dihasilkan juga disesuaikan dengan bahan mentah. Contohnya ukiran kepala buaya akan diukir atas gading gajah yang lebih menampakkan kesenian dan keistimewaan tersendiri.

      Kemahirannya mengukir dengan cara manual adalah keistimewaan dalam dirinya. Selama penglibatan kira-kira 30 tahun banyak pengalaman yang ditimba menjadi panduan memahirkan lagi bakatnya.

      SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Sebagai pewaris kemahiran dari ayahnya, beliau amatlah berbesar hati dan berhasrat menjadikan bidang ukiran halus sebagai warisan generasinya. Beliau juga tidak keberatan mencurahkan ilmunya kepada mereka yang benar-benar berminat. Biasanya masa untuk mengajar secara teori dan cara-cara menghasilkan ukiran halus, diatur pada waktu-waktu tertentu. Beliau juga pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan seperti MARA dan Pejabat Kebudayaan dalam bidang ukiran halus.



      Pencapaian Allahyarham Tengku Ibrahim memang membanggakan. Berkat kesungguhan, ketelitian dan keinginan yang kuat, beliau kian popular di kalangan peminat-peminat seni ukiran Melayu khususnya dari golongan istana. Sesuailah dengan kebolehannya itu, beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Halus pada tahun 1995 dan seterunya diiktiraf oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sebagai Tokoh Kraf Negara pada tahun 1998.
    • Adiguru Kraf Tekatan Hajah Azizah binti Mohd Yusof

      Adiguru Kraf Tekatan
      Hajah Azizah binti Mohd Yusof

      Nama           : Hajah Azizah Binti Mohd Yusof
      Bidang Kraf  : Tekstil
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tekatan
      Negeri          : Perak
      Tarikh Lahir  : 14 Ogos 1938
      Lantikan Pertama  : Tahun 1995
      Lantikan Semula   : Tahun 2006

      KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

      Hajah Azizah binti Mohamad Yusof merupakan seorang penggiat dan pencinta seni kraf tanahair terutamanya seni sulaman benang emas yang menjadi warisan turun temurun beliau. Dilahirkan pada 28 Januari 1938 di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak. Berpendidikan Darjah 6, Sekolah Inggeris dan kini pengusaha sulaman benang emas sepenuh masa. Menerima kemahiran dari ibu beliau dan diwarisi kepada dua orang anak beliau yang masih muda.

      Selain daripada ibunya, beliau turut mengkagumi seorang lagi tukang tekat tersohor iaitu Allahyarhamah Puan Ainatishah Bilal Din. Ia merupakan pendorong kuat kepada beliau untuk terus berjaya dalam bidang tekatan ini.



      Beliau memiliki kemahiran melukis, menebuk empulur dan menekat . Ketiga-tiga kemahiran ini merupakan asas kepada kejayaan beliau. Beliau memilih dan menggubah reka corak berunsurkan motif flora kemudian disesuai dengan warna mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan. Antara dan motif yang beliau gubah:-

      i.     Paku pakis
      ii.    Pucuk rebung
      iii.   Sulur bayung
      iv.   Bunga-bunga padi, anggerik, asam batu, bunga raya, kemboja dan mawar.
      v.    Awan larat
      vi.   Tulisan Khat




      Karya seni beliau sering dijadikan perhiasan dan alat kelengkapan perkahwinan antaranya:-

      i.   Set bilik tidur (cadar, sarung bantal, kusyen, kipar, tetampan, ombak-ombak, tepak sireh, buah dan pengikat kelambu).
      ii.   Hiasan pelamin ( kipas, cior-alas duduk pengantin, kusyen, ombak-ombak, tetampan, bantal inai dan sebagainya)
      iii.   Kelengkapan rumah seperti tudung saji, sarung kusyen, hiasan dinding, cenderamata dan sebagainya.
      iv.   Pakaian, kasut, beg tangan dan hiasan kepala.

      SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Puan Hajah Azizah terlalu banyak memberi sumbangan kepada masyarakat dan Negara. Sejak pembabitan beliau bermula pada tahun 1980-an telah banyak menyumbang bakti mengembangkan kemahiran seni tekatan benang emas melalui beberapa agensi dan pertubuhan antaranya:-

      i.     KEMAS
      ii.    Kraftangan Malaysia
      iii.   Kementerian Belia Dan Sukan
      iv.   Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Malaysian Tourist Development Board).
      v.    Institut Pengajian Tinggi
      vi.    Persatuan Nelayan
      vii.   Muzium-muzium Negeri



      Beliau pernah menjadi guru KEMAS selama 10 tahun dan bergiat cergas dalam aktiviti perkumpulan wanita setempat. Semasa menjadi guru KEMAS, tugas beliau adalah mengajar dan mendidik masyarakat wanita Kuala Kangsar berkenaan teknik-tekik menekat. Rata-rata penduduk kampung mengenali beliau sebagai Cikgu Azizah. Beliau juga berperanan sebagai tenaga pengajar dalam bidang tekatan bagi membimbing pelatih Kraftangan Malaysia.

      Beliau mengambil inisiatif memajukan kegiatan menekat dengan membuka bengkel menekat dan sebuah ruang pameran berhampiran rumah beliau di Kampung Changkat, Kuala Kangsar. Selain daripada itu beliau juga memiliki sebuah kedai tekatan di Kuala Kangsar. Di samping bekerja keras mengusahakan tekatan benang emas beliau turut bergiat aktif dalam pergerakan politik dan aktiviti kemasyarakatan terutama di sekitar Kuala Kangsar, Perak.



      Puan Azizah turut meneroka penggunaan mesin dalam seni tekatan. Ia bertujuan untuk meluaskan lagi pasaran. Penggunaan mesin menpercepatkan sulaman namun kualiti dan keindahan tekatan benang emas masih terus dikekalkan. Perkara yang paling penting kos pengeluaran dapat dikurangkan dan ia memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk memiliki barangan tekatan. Sungguhpun demikian beliau masih terus mengusahakan tekatan tradisional menggunakan tangan kerana permintaan produk ini masih tinggi.

      Sokongan dan kerjasama dari beberapa agensi kerajaan serta individu menguatkan lagi semangat Hajah Azizah untuk terus memulih dan memelihara seni kraf tradisional negeri Perak.

      Beliau memberikan komitmen sepenuhnya kepada bidang sulaman tekat ini kerana minat dan kecintaannya mendalam serta kehalusan kerja tangannya yang membuatkan beliau sering mendapat tempahan dari pihak istana. Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tekatan pada tahun 1995 di atas usaha gigih beliau dalam memastikan seni kraf ini dipelihara dan dimajukan.
    • Adiguru Kraf Tembikar Pulau TigaPuan Hawa Binti Ngah Salam

      Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga
      Puan Hawa Binti Ngah Salam

      Nama           : Puan Hawa Binti Ngah Salam
      Bidang Kraf  : Hasil Tanah
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga
      Negeri          : Perak
      Tarikh Lahir  : 5 Mei 1934
      Lantikan Pertama  : Tahun 1996
      Lantikan Semula   : Tahun 2006

      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      "Sejarah silam labu sayong serba sedikit cuba menyingkap teknologi pembuatan tangan masyarakat Melayu. Menurut cerita penduduk-penduduk Kampung Kepala Bendang, Kuala Kangsar, Perak merupakan asal-usul seramik tanah air bermula dari pedagang-pedagang India dan China yang melewati perkampungan Perak awal abad ke-15. Pedagang ini menyusuri sungai Perak dan membuka era perkembangan labu sayong."


      Demikianlah ungkapan awal yang diutarakan oleh Puan Hawa binti Ngah Salam seorang pencipta warisan seni dan pakar dalam pembuatan labu sayong. Mula melibatkan diri dalam pembuatan labu sayong sejak berusia 15 tahun lagi.



      Puan Hawa binti Ngah Salam dilahirkan pada 5hb Mei 1934 merupakan antara tokoh yang mahir dalam pembuatan labu sayong secara tradisional dan juga moden. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak sehingga darjah 3. Beliau juga mendapat pendidikan informal dari ayah dan ibu secara teratur dan didikan yang diterima mengajar beliau menjadi seorang wanita yang berdisiplin dan bertekad untuk maju. Pendidikan ini juga menjadikan diri beliau sentiasa berusaha memajukan diri dan belajar mencintai kraf warisan labu sayong.

      Puan Hawa berasa bertuah mempunyai seorang ibu yang mempunyai kemahiran dalam pembuatan labu sayong. Warisan yang Puan Hawa terima merupakan warisan 6 keturunan. Puan Hawa bertekad biarlah warisan seni kebangsaan negeri Perak ini kekal diwarisi oleh salasiah keturunan beliau.

      Cintanya kepada dunia seni kraf seramik mendorongnya untuk sentiasa berfikir memperbaiki dan mempelbagaikan mutu produknya mengikut arus sezaman. Beliau bukan sahaja mahir dalam pembuatan tradisional tetapi juga cekap dalam penggunaan teknik moden sehingga berupaya menghasilkan 7 hingga 10 buah biji labu dalam sehari.



      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Puan Hajah Hawa mempunyai daya kreativiti yang tinggi dalam setiap aspek seni kraf seramik bermula dari bahan, pemprosesan hingga ke bentuk produk. Jari-jemarinya yang halus berseni dalam membentuk labu telah menghasilkan produk yang begitu menarik, cantik dan kemas ditambah lagi dengan kombinasi antara teknik moden dengan tradisional.

      Beliau satu-satunya pembuat tembikar yang mengasaskan teknik bunga tampal dalam hiasan tembikar. Beliau turut mengambil kira citarasa pengguna yang mulai berubah, Puan Hajah Hawa telah menghasilkan labu sayong sebagai barangan perhiasan yang diserikan dengan gabungan motif asal bersama hiasan bunga yang direka sendiri bagi meningkatkan mutu produk kraf.



      Beliau turut mengamalkan beberapa petua lama misalnya semasa menggali tanah, beliau akan memastikan ianya betul-betul baik dan berkualiti. Bukan sahaja mahir dalam pembuatan labu sayong tetapi beliau juga menghasilkan labu gelugor, pasu bunga, labu puchong dan pelbagai barang hiasan seramik. Hasil kerja tangan beliau telah mendapat tempat di kalangan pencinta seni, agensi-agensi kerajaan mahupun swasta.


      PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

      Dikenali sebagai seorang yang aktif, kreatif dan berdisiplin dalam menghasilkan kerja seni kraftangan maka tidak hairan jika hasil produknya mendapfat perhatian dari orang ramai dan juga pihak akhbar yang sentiasa ingin menulis rencana mengenainya.



      Puan Hajah Hawa dianggap sebagai Tokoh Kraf Seramik di Persada Seni bagi mereka yang menghargai dan menilai seni dan jasa beliau. Berikut adalah pencapaian beliau selama penglibatannya dalam bidang seni kraf seramik :

      i.     Dilantik sebagai Adiguru Kraf Seramik oleh Kraftangan Malaysia (1996)
      ii.    Penghargaan WICITRA (1984)
      iii.   AJK Keselamatan dan Kemajuan Kampung Gajah, Perak
      iv.   Pameran anjuran Universiti Malaya, Muzium Negara, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.
      v.    Produk beliau turut di pamerkan di Koleksi tetap di Muzium Negara, Muzium Taiping, Muzium Negeri Kedah dan beberapa hotel terkemuka tanahair.
      vi.   Rencana Akhbar : 1987 - “Hawa Mewarisi Kesenian Enam Keturunan” Berita Harian.
      vii.   Rencana Akhbar : 1973 - “A Display Of Malay Handicraft” The Star.
      viii.  Rencana Akhbar : 1977 - “Dari Jari-jari Yang Lembut Terciptalah Labu Tanah Yang Bagus” (sebuah akhbar yang tidak dinyatakan)
      x.  Rencana Akhbar : 1976 - “Feats At Clay” The Malay Mail.


      SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Selain menghasilkan dan memasarkan barangan kraf, beliau juga telah mengikuti program-program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan atau swasta sebagai salah satu usahanya untuk memperkenalkan produk-produk barangan kraf tempatan pada masyarakat setempat dan luar.

      Kemahiran dan kreativitinya dalam menghasilkan barangan yang berkualiti dan mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi ini mendapat liputan daripada media tempatan. Kerjasama beliau yang sentiasa diberikan kepada pihak kerajaan atau swasta dalam pelbagai perkara merupakan satu pengorbanan yang tidak ternilai.

      Beliau turut mengadakan demonstrasi pembuatan labu Pulau Tiga serta turut menyertai pameran pelancongan anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan Kraftangan Malaysia. Semangat beliau yang sentiasa aktif dan peka pada perkembangan industri kraf seramik dapat dijadikan contoh dan inspirasi kepada pelapis muda untuk menceburi bidang ini.

      Pada tahun 1984, beliau menerima anugerah penghargaan WICITRA anjuran Kraftangan Malaysia. Segala jasa dan usaha murninya diberi pengiktirafan oleh Kraftangan Malaysia dengan melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga pada tahun 1996.

    • Adiguru Kraf Rebana Ubi  Allahyarham Tuan Haji Mahmood bin Abdul Latif

      Adiguru Kraf Rebana Ubi
      Allahyarham Tuan Haji Mahmood bin Abdul Latif

      Nama           : Allahyarham Tuan Haji Mahmood bin Abdul Latif
      Bidang Kraf  : Rebana Ubi
      Adiguru        : Adiguru Kraf Rebana Ubi
      Negeri          : Kelantan
      Tarikh Lahir  : Tahun 1930 - 28 Januari 1998
      Lantikan Pertama  : Tahun 1996


      LATAR BELAKANG ADIGURU

      Alat muzik terbesar yang terdapat di Malaysia adalah rebana besar. Tingginya hampir 2 kaki dan beratnya 528kg. Rebana besar dibalut dengan kulit dikepalanya dan badannya diperkuatkan dengan kayu-kayu baji. Rebana biasanya dipalu pada sebelah malam di kawasan terbuka. Alat ini dimain berpasang-pasang. Bunyinya agak kuat dan boleh didengar pada jarak yang agak jauh. Salah seorang seorang tokoh tersohor dengan kemahirannya bermain dan membuat alat muzik ini adalah Allahyarham Tuan Haji Mahmood bin Abdul Latif yang merupakan anak jati negeri Kelantan.



      Suatu ketika dahulu, rebana ubi juga merupakan media komunikasi tradisional yang kini semakin dilupakan. Allahyarham Tuan Haji Mahmood atau lebih mesra dengan panggilan Pak Mud di antara pembuat dan pemain rebana yang terkenal serta ternama semasa hayatnya. Beliau dilahirkan pada tahun 1930 di Kampung Jelutong, Kok Lanas di negeri Kelantan. Allahyarham Tuan Haji Mahmood berkebolehan membuat dan bermain rebana yang diwarisi daripada ayahnya yang juga merupakan salah seorang penggiat seni .

      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Kerja-kerja menghasilkan alat muzik terbesar ini memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi di samping kemahiran dan daya kreativiti yang tinggi. Beliau membuat rebana dengan menggunakan peralatan tradisional dan moden. Pengalaman beliau yang mendalam dalam pembuatan rebana menjadikan beliau mampu menghasilkan rebana sebiji dalam masa satu bulan dengan kadar hanya RM1,500.00 sebuah.



      Selain berkepakaran dalam pembuatan rebana ubi, merupakan ketua kumpulan rebana bagi Kampung Sokor dan telah memimpin persatuan ini hampir 15 tahun dan sepanjang pimpinan beliau kumpulan ini telah berjaya memenangi beberapa pertandingan anjuran kerajaan dan swasta antaranya di Stadium Negara pada tahun 1996 di bawah anjuran PEPSI. Persembahan utamanya adalah setiap petang Isnin dan Rabu yang diadakan di Gelanggang Seni Kota Baharu, Kelantan.



      SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Kemahiran serta pengalaman beliau dalam bidang ini menjadikan beliau sebagai salah seorang penduduk terpenting di kampung beliau dan sering menjadi pakar rujuk dalam sebarang permasalahan penduduk setempat. Ketokohan, keterampilan dan pengalaman beliau menjadikan beliau mampu bersaing bersama alat-alat muzik yang lainnya.



      Bagi menghargai jasa dan perjuangan beliau dalam mengekalkan seni warisan ini, Kraftangan Malaysia telah melantiknya sebagai Adiguru Kraf Rebana Ubi pada tahun 1996. Beliau telah meninggal dunia pada 28 Januari 1998. Semoga rohnya dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di dalam golongan yang beriman.
    • Adiguru Kraf Serunai Encik Isa Bin Samad

      Adiguru Kraf Serunai
      Encik Isa Bin Samad

      Nama           : Encik Isa Bin Samad
      Bidang Kraf  : Serunai
      Adiguru        : Adiguru Kraf Serunai
      Negeri          : Kelantan
      Tarikh Lahir  : 11 Mei 1948
      Lantikan Pertama  : Tahun 1997
      Lantikan Semula   : Tahun 2006

      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Serunai merupakan pelengkap kepada peralatan muzik tradisional. Encik Isa bin Samad yang lebih mesra dengan panggilan Pak Isa di antara pemain dan pembuat serunai yang disegani terutama oleh masyarakat setempat. Dilahirkan pada tahun 1943, di Kampong Kebakat, Wakaf Baru, Kota Bharu, Kelantan.

      Beliau mewarisi kebolehan bermain dan membuat serunai daripada ayahnya. Sejak kecil lagi beliau telah mula memegang dan belajar meniup serunai. Pernah mendapat pendidikan formal di Sekolah Rendah Manek Tumpat, Kelantan. Ketika beliau meningkat dewasa, beliau telah mahir meniup dan membuat serunai.



      KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

      Di samping menyertai pertandingan beliau juga mengajar warisan ini kepada dua orang anaknya yang kini mahir di dalam bermain alat muzik lainnya seperti rebab, gendang, gong, gedombak dan pelbagai barangan muzik lainnya.

      Kejayaan dan kemahiran beliau sering mendapat liputan dari media massa tempatan dan stesen televisyen. Beliau juga pernah dihantar ke Perancis selama 3 bulan setengah untuk demonstrasi meniup serunai.

      Di samping menjaga kemerduan alunan serunai, Encik Isa turut menitik beratkan penampilan serunai yang ditiupnya. Oleh yang demikian beliau membuat dan mengukir sendiri alat muzik tradisional ini dengan menggunakan kreativiti seninya yang tersendiri.




      SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Selain daripada menghasilkan serunai beliau turut tersohor sebagai pemain alat muzik tradisional yang disegani di negeri Kelantan malah di seluruh negara.

      Kemahiran beliau adalah :
      i.   Boleh membuat dan bermain serunai.
      ii.  Berkebolehan bermaian rebab, gong, gendang dan gedombak.



      Sepanjang penglibatan beliau di dalam kerjaya seni ini, beliau telah menyertai pelbagai aktviti, pertandingan dan persembahan yang diadakan dan telah menerima beberapa penghargaan dari pihak tertentu. Antara pencapaian beliau ialah :

      i.   Pernah menyertai Pertandingan Serunai anjuran Lembaga Penggalakan Pelancong Malaysia dan berjaya menjadi johan (1994 - 1997).
      ii.  Memenangi Pertandingan Budaya peringkat negeri anjuran Tan Sri Mubin Sheppard (1997).
      iii.   Penerima sijil daripada Yang Dipertuan Agong dengan gelaran Kebudayaan Sri Setia (1971).

      Kemahiran Encik Isa bermain dan menghasilkan alat muzik tradisional telah berjaya memartabatkan seni warisan bangsa ini. Pada tahun 1997 Kraftangan Malaysia melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Serunai bagi menghargai bakat dan kemahirannya.

    • Adiguru Kraf Tembikar Labu SayongAllahyarham Zamari @ Zamri Pandak Ahmad

      Adiguru Kraf Tembikar Labu Sayong
      Allahyarham Zamari @ Zamri Pandak Ahmad

      Nama           : Allahyarham Zamari @ Zamri Pandak Ahmad
      Bidang Kraf  : Tembikar Labu Sayong
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tembikar Labu Sayong
      Negeri          : Perak
      Tarikh Lahir  : 15 November 1942 - 26 Mei 2009
      Lantikan Pertama  : Tahun 2007

      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Kampung Kepala Bendang di daerah Kuala Kangsar terkenal dengan perusahaan membuat tembikar tradisional terutamanya labu Sayong dan menjadi sebutan di seluruh negara. Salah seorang pakar yang menghasilkan labu Sayong ialah Encik Zamri Pandak Ahmad.



      Beliau dilahirkan pada 16 November 1942 dan memperolehi kemahiran membuat labu Sayong pada umur 15 tahun. Pada ketika itu perusahaan membuat tembikar dimonopoli oleh kaum wanita sahaja. Oleh kerana minat, Zamari tidak merasa kekok dan menjadikannya satu-satu kaum lelaki yang membuat tembikar di kampungnya ketika itu.

      Sekitar tahun 1974, beliau telah ditawarkan sebagai tenaga pengajar seramik di Lembaga Kraf Malaysia yang kemudian dikenali sebagai Kraftangan Malaysia. Selain daripada mengajar kemahiran membuat seramik, Encik Zamari turut diberi tugas dan tanggungjawab memperkenal dan memajukan seni kraf tembikar di Koperasi-koperasi Industri Kampung yang terdapat di seluruh negara termasuk Koperasi Industri Kampung di Kelantan, Pahang dan Perak.



      Walaupun terikat dengan tugas dan tanggungjawab beliau sebagai pengajar di Kraftangan Malaysia, beliau masih berkesempatan meluangkan masa memberi latihan dan bimbingan berkaitan dengan pembuatan tembikar kepada belia dan beliawanis yang tinggal di sekitar Kuala Kangsar. Harapan beliau supaya golongan muda ini dapat mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan serta memastikan warisan ini berkekalan.

      Kreativiti beliau dapat dilikat berdasarkan inovasi dan pengubahsuaian dalam reka bentuk dan reka corak mengikut kehendak semasa. Bagi mengekalkan ciri-ciri estetik, Encik Zamri masih membentuk labu Sayong menggunakan kemahiran tangan. Beliau bergerak cergas dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan menjadikan beliau antara tokoh yang disegani oleh masyarakat setempat.



      Kemahiran beliau mendapat pengikitrafan dari dalam dan luar negara antaranya anugerah ”Seal of Excellence” oleh UNESCO AHPADA 2002. Pada tahun yang sama beliau dijemput oleh Kerajaan Jepun mengadakan demonstrasi pembuatan Labu Sayong di Nagoya Jepun dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA. Bagi menghargai sumbangan beliau di dalam membangunkan industri kraf seramik, Kraftangan Malaysia melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Labu Sayong pada tahun 2007. Namun pada tanggal 26 Mei 2009, beliau yang telah kembali ke Rahmatullah. Segala jasa dan bakti beliau dalam memartabatkan seni kraf Labu Sayong amat disanjungi. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T. dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.
    • Adiguru Kraf Tenunan PuaPuan Bangie a/k Embol

      Adiguru Kraf Tenunan Pua
      Puan Bangie a/k Embol

      Nama           : Puan Bangie a/k Embol
      Bidang Kraf  : Tenunan Pua
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tenunan Pua
      Negeri          : Sarawak
      Tarikh Lahir  : 8 Mei 1945
      Lantikan Pertama  : Tahun 2000
      Lantikan Semula    : Tahun 2006


      KEPIMPINAN DAN INTELEKTUAL

      Puan Bangie telah melibatkan diri dalam bidang seni Tenunan Pua lebih kurang 40 tahun. Mewarisi seni kemahiran dari kedua ibubapanya sejak remaja lagi dan kini diwarisi oleh dua orang anak perempuannya agar seni warisan keluarga kekal oleh keturunannya.

      Beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal di sekolah tetapi hasil didikan dan pengajaran ilmu kemahiran yang diterima dari ibubapanya, Puan Bangie merupakan antara tokoh yang berjaya dalam bidang seni kraf tenunan. Tiga perkara yang menjadi pendorong kepada beliau supaya meneruskan seni tenunan tradisi ini iaitu:-

      i.     Tenunan Pua merupakan tenunan warisan yang perlu dipertahankan agar terus berkembang.
      ii.     Beliau ingin menjadi penenun pua yang cemerlang dan terbilang.
      iii.    Beliau ingin memartabatkan seni kemahiran masyarakat Iban.



      Semangat kepimpinannya untuk melihat seni warisan kraf dipelihara dan diwarisi oleh anak-anak tempatan, pencinta seni dan individu luar menyebabkan beliau sanggup mengadakan bengkel, kursus dan latihan kepada mereka yang ingin mempelajarinya. Hasilnya, terdapat anak didiknya yang mahir dalam bidang menenun.

      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Mempunyai daya kreatviti dalam teknik tenunan, reka corak/motif dan kekemasan dalam penghasilan Tenunan Pua. Beliau berkemahiran menghasilkan dan mencipta reka corak dan motif yang indah dan mempunyai nilai-nilai estetika yang tersendiri. Antara motif Tenunan Pua yang dihasilkan seperti bunga rang jugah, bunga buah sepuyong dan bunga bali malikut. Beliau juga berupaya menterjemahkan rekaan pelanggan melalui Tenunan Pua.



      Di samping motif-motif tradisional, beliau turut mereka motif-motif kontemporari yang dapat memenuhi cita rasa pelanggan yang terdiri daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Kebiasaannya beliau menggunakan benang kapas dalam Tenunan Pua. Kini beliau turut menggunakan benang sutera bagi memenuhi permintaan pelanggan dan pasaran.

      Selain daripada itu keunikan tenunan beliau kerana menggunakan bahan semula jadi untuk menghasilkan warna di samping penggunaan warna sintatik yang lebih mudah proses penghasilannya. Jenis produk yang dihasilkan oleh beliau kain pua kumbu dan hiasan berasaskan Tenunan Pua.

      SUMBANGAN KEPADA INDUSTRI DAN MASYARAKAT

      Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang seni Tenunan Pua, pelbagai aktiviti dan program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta diceburinya tanpa sebarang alasan dengan niat untuk memperkenalkan Tenunan Pua di persada antarabangsa.



      Sumbangannya tidak setakat di situ sahaja, bagi memastikan seni warisan ini di warisi oleh generasi seterusnya beliau telah memberi pengajaran kepada anak-anak tempatan melalui bengkel, kursus dan kelas bimbingan yang diadakannya. Berikut adalah pencapaian beliau selama penglibatannya dalam bidang seni kraf Tenunan Pua:

      i.      Menyertai pertandingan Wicitra anjuran Kraftangan Malaysia (1990).
      ii.     Menjadi jurutunjuk kelas Tenunan Pua anjuran Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Sarakup Dayak Iban Association (SADIA) Pampang (1994 - 1995).
      iii.     Menjadi jurutunjuk Tenunan Pua kepada pelatih Kraftangan Malaysia.
      iv.     Menyertai pameran dan demonstrasi di Paris, Bangkok, Manila dan Singapura.
      v.      Menyertai Pertandingan Kraftangan Peringkat Negeri Sarawak anjuran Sarawak Craft Council (1998).
      vi.     Menyertai Pertandingan Penggunaan Warna Asli Dalam Tenun Ikat (Pua) anjuran UNESCO di Bangkok dan menangi hadiah pertama (1998).
      vii.    Menyertai ertandingan Pua Kumbu anjuran ‘The Tun Jugah Foundation’ (1998).
      viii.   Menyertai demonstrasi tenunan pua di dalam Pameran Pua Kumbu di Ethnographis Museum, Sweden (1999).



      Di atas sumbangan dan jasa beliau dalam bidang seni kraf Tenunan Pua, pada tahun 2000, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenun Pua.
    • Adiguru Kraf Tenun Mugah Puan Sabnah Binti Dullah

      Adiguru Kraf Tenun Mugah
      Puan Sabnah Binti Dullah

      Nama           : Puan Sabnah Binti Dullah
      Bidang Kraf  : Tenunan Mugah
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tenun Mugah
      Negeri          : Sabah
      Tarikh Lahir  : 27 Julai 1945
      Lantikan Pertama  : Tahun 2002
      Lantikan Semula    : Tahun 2006


      KEPIMPINAN DAN INTELEKTUAL

      Puan Sabnah Dullah menetap di Kampung Merabau, Kota Belud Sabah bersama keluarga sejak turun temurun. Beliau yang berketurunan Irranun ini memang terkenal dengan kemahiran menenun. Keunikannya mereka menghasilkan tenunan untuk kegunaan suku kaum lain seperti Bajau dan Dusun. Beliau mewarisi kemahiran menenun kain Mugah daripada ibunya Allahyarham Puan Hamidah Adoi. Ketika masih kecil, ayahnya telah meninggal dunia dan disebabkan hal demikian beliau membantu ibunya menenun untuk menyara 6 orang adik beradiknya masih kecil. Beliau membantu ibunya menenun dan kemudian menjual hasil Tenun Mugah di Pasar Tamu.



      Apabila ibunya meninggal dunia Puan Sabnah pula mengambil alih menyara adik beradiknya yang masih kecil dan 3 orang anak saudaranya yang yatim piatu. Berkat kesabaran dan ketabahannya, beliau menjadi penenun yang disegani. Walaupun tidak mendapat pendidikan formal, beliau mampu menghasilkan reka corak tenun yang unik dan indah berasaskan alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan dan geometri.

      Perwatakan beliau yang sederhana, penyabar, cekal, tekun serta merendah diri menyebabkan beliau disenangi dan mudah didampingi. Beliau mengajar anak tempatan yang berminat dalam seni tenunan di sebuah bengkel tenunan. Ciri-ciri keperibadian yang dimilikinya telah meletakkan beliau sebagai penenun kain tradisional yang mahir dan berjaya menghasilkan kain Tenun Mugah yang berkualiti serta diperakui mutunya.

      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Kain Tenun Mugah ini dipakai oleh orang lelaki dari suku kaum Dusun terutama dalam majlis rasmi, upacara adat, keagamaan, pesta dan perkahwinan.



      Beliau berkemahiran menghasilkan reka corak dan motif yang berunsurkan alam. Di antara reka corak yang dihasilkan adalah seperti:-

      i.     Tenunan Kalingguon.
      ii.     Anunon.
      iii.    Tuara.
      iv.    Bakaki.
      v.     Bunga Emas.
      vi.    Tialali.
      vii.    Lincu.
      viii.   Siku Keluang.
      ix.     Sunding.

      Reka corak Tenun Mugah yang dihasilkan ini disesuaikan dengan kehendak dan adat budaya suku kaum Dusun yang menggunakannya. elain daripada menenun kain Tenun Mugah, beliau berkemahiran juga menenun kain Baraguru, kain Ampik, kain Tapak Sila dan kain Dastar. Beliau juga mahir menganyam tikar pandan.

      PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

      Penglibatannya dalam menceburi bidang seni Tenunan Mugah telah berjaya menaikkan nama beliau di kalangan masyarakat setempat, orang luar dan pencinta seni. Beliau turut melatih beberapa orang anggota kerja dari Kraftangan Malaysia.



      Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Puan Sabnah sekali lagi mendapat kepercayaan dari Kraftangan Malaysia. Beliau telah dilantik sebagai jurutunjuk kepada penenun tempatan dalam program Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

      Beliau turut mengajar masyarakat setempat teknik tenunan kain Tenun Mugah dan lain-lain tenunan tradisional Sabah sama ada di rumah atau di bengkelnya. Tujuannya agar seni Tenun Mugah ini akan diwarisi oleh generasi seterusnya secara tidak langsung dapat menyelamatkan seni warisan ini dari pupus begitu sahaja.

      SUMBANGAN KEPADA INDUSTRI DAN MASYARAKAT

      Kepakaran Sabnah dalam menghasilkan kain Tenun Mugah telah menempatkan beliau sebagai salah seorang penenun kain mugah yang handal dan disegani terutama di sekitar Kota Belud, Sabah.



      Bagi memastikan seni kemahiran tangan ini tidak pupus, beliau memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada penenun-penenun muda di sekitar Kampung Merabau. Kegigihan dan kepakaran beliau ini dijejaki oleh Kraftangan Malaysia dan pada tahun 2002 beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Tenun Mugah.

    • Tokoh Kraf Negara Hajah Zainab @ Ngah Bt. Mamat

      Tokoh Kraf Negara
      Hajah Zainab @ Ngah Bt. Mamat

      Nama           : Hajah Zainab @ Ngah Bt. Mamat
      Bidang Kraf  : Tenunan Songket
      Negeri          : Terengganu
      Tarikh Lahir  : 22 Disember 1942
      Tahun Lantikan Tokoh Kraf Negara : Tahun 2002

      KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

      Dilahirkan pada 22 Disember 1942 di Kampung Gelung Gajah iaitu sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira 7km dari Kuala Terengganu. Ketika itu Negara sedang di bawah jajahan tentera Jepun. Dalam keadaan yang serba kekurangan pasangan Che Mamat dan Mariam tetap menerima kehadiran puteri kedua mereka dengan penuh kesyukuran.

      Kepayahan dan keperitan hidup akibat jepun rupa-rupanya menjadi pendorong kepada penduduk kampong ini untuk membina kerjaya khususnya dalam bidang tenunan. Kemahiran menenun kain diusahakan secara serius oleh kaum wanita termasuk keluarga Mariam. Pendapatan hasil menenun ini sedikit sebanyak membantu suaminya menyara tujuh orang anak yang masih kecil.

      Selepas menamatkan pendidikan pada tahun 1955, Hajah Zainab yang ketika itu berusia 13 tahun ditawarkan untuk menjadi guru dan jururawat. Harapan ibu, ayah dan keluarga ingin melihat beliau menjadi guru tidak tercapai apabila Hajah Zainab memilih bidang tenunan sebagai kerjayanya. Minat, semangat dan kesungguhan akur dengan keputusan yang diambilnya untuk menjadikan tenunan songket sebagai mata pencarian.

      PENCAPAIAN TOKOH

      Selama penglibatan beliau di dalam perusahaan tenun songket, pencapaian yang paling membanggakan adalah apabila hasil tenunan songket beliau telah mendapat perhatian dari kalangan istana. Selain Istana Negara, Istana Maziah di Terengganu turut pernah menempah pakaian songket untuk kegunaan upacara tertentu di istana. Beliau juga pernah menghasilkan kain songket untuk pakaian pengantin diraja Brunei. Kepercayaan yang diberi oleh pihak istana kepada beliau adalah pengiktirafan yang tinggi terhadap kain songket yang dihasilkan oleh beliau.

      Selain menghasilkan samping songket untuk lelaki, beliau turut menghasilkan sarung, selendang dan persalinan untuk wanita termasuk pakaian pengantin. Hajah Zainab turut menghasilkan beberapa produk hiasan yang menggunakan kain songket seperti alas meja, sarung kusyen, hiasan dinding, beg tangan, cekak kepala dan sebagainya.



      SUMBANGAN TOKOH TERHADAP INDUSTRI KRAF

      Kini Hajah Zainab mampu tersenyum puas melihat himpunan kain songket hasil ciptaannya. ia terdiri daripada pelbagai corak dan warna dengan seni kehalusan dan keindahannya yang tersendiri. Terengganu Songket adalah nama yang diberi untuk galeri Hajah Zainab yang ditempatkan di kediamannya sendiri bagi menghimpunkan koleksi hasil Tenunan Songket Terengganu.

      Di sini terdapat seribu satu macam kain songket yang dipamerkan untuk tatapan pengunjung. Mereka yang berkunjung tidak terhad kepada pelanggan sahaja, bahkan pelancong asing juga tidak melepaskan peluang untuk singgah menatap kehalusan seni tenunan kain songket yang juga digelar "queen of handwooven fabrics".

      Dalam menguruskan pekerja pula, Hajah Zainab mengaplikasikan sistem pengkhususan. Setiap pekerja mempunyai kemahiran yang tertentu, oleh itu mereka bekerja berdasarkan kepada kemahiran masing-masing. Antara proses-proses yang mereka jalankan adalah menerai, mengani, menggulung, menyapak, mengarat, menyongket dan menenun.

      Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau,pada tahun 2002 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Tokoh Kraf Negara.
    • Adiguru Kraf Wau TradisionalEncik Shafie Bin Jusoh

      Adiguru Kraf Wau Tradisional
      Encik Shafie Bin Jusoh

      Nama           : Encik Shafie Bin Jusoh
      Bidang Kraf  : Aneka Kraf
      Adiguru        : Adiguru Kraf Wau Tradisional
      Negeri          : Kelantan
      Tarikh Lahir  : 6 September 1947
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 2006


      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Encik Shafie Bin Jusoh mula meminati bidang Kraf Wau sejak berada di sekolah rendah lagi. Ketika berusia 10 tahun, beliau sering mengikut rakan-rakannya bermain wau di bendang sehingga sanggup berhenti sekolah ketika berada di tahun tiga.

      Demi minat, beliau belajar membuat wau dari rakan-rakan dan cara-cara sobekan melalui pemerhatian sendiri. Encik Shafie amat berbangga kerana minatnya tersebut mendapat dorongan daripada ibu bapanya dan sebagai tanda sokongan ayahnya telah memainkan wau besar yang telah dihadiahkannya. Dengan jualan secara kecil-kecilan, wau yang dihasilkan serba sedikit dapat membantu ekonomi keluarganya.



      Ketika awal penglibatannya, belum ada lagi anak Kota Bharu yang mengusahakan pembuatan wau secara serius. Pada masa itu beliau hanya bertanding sambil bermain wau di Stadium Kota Bharu serta Kompleks KB. Bakat tokoh mula menyerlah ketika beliau berusia 22 tahun dengan kedatangan dua orang pelancong luar negara yang menyaksikan bakatnya memainkan wau di stadium. Berminat dengan keunikan permainan tersebut, kedua-dua pelancong tersebut menempah wau dari beliau.

      Semenjak dari itu, beliau mula yakin dengan produknya serta menerima tempahan wau naik untuk dijual. Encik Shafie mula menerima tempahan secara eksklusif dari syarikat-syarikat besar serta jabatan kerajaan ketika berusia 30 tahun.



      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Salah satu keunikan wau bulan yang dihasilkan oleh beliau ialah badan wau yang dihasilkan berbentuk bulat dan seimbang antara kiri dan kanan yang direka berkonsepkan wau pada permukaan syiling 50 sen.



      Beliau juga tidak pernah meniru corak-corak wau daripada ciptaan orang lain walaupun atas permintaan pelanggan. Sekiranya diminta menghasilkan wau berdasarkan gambar yang diberi untuk tempahan, tokoh pasti mereka cipta corak lain berdasarkan konsep yang diberi. Ini adalah kerana tokoh amat menghormati rekacipta orang lain dan ingin menghasilkan rekaan identitinya sendiri.

      PENGIKTIRAFAN

      Apa yang paling menarik, keunikan wau yang telah dihasilkan oleh Encik Shafie telah membawa beliau kepada pelantikan sebagai duta MAS. Pihak MAS sering menjembut beliau untuk membuat demonstrasi di luar negara seperti Australia, German, Maldives, Melbourne dan Jepun. Sehingga kini, pencapaian tokoh telah mendapat liputan daripada penerbitan majalah, akhbar serta agensi-agensi media massa.



      Satu keistimewaan yang ada pada tokoh ialah beliau amat merendah diri meskipun namanya masyhur di kalangan penggiat seni wau. Beliau juga tidak pernah menetapkan sebarang kadar bayaran terhadap pihak media yang ingin membuat liputan tentang dirinya, perusahaan ataupun produknya.

      Produk-produk wau yang di hasilkan oleh beliau sering dibeli oleh hotel-hotel, jabatan kerajaan, muzium serta syarikat swasta terutamanya selepas wau berkenaan digunakan dalam sesuatu pertandingan. Beliau sangat mahir membuat wau perhiasan dan wau naik untuk pertandingan. Sehingga kini beliau telah banyak memenangi pertandingan wau di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa.



      Antara pertandingan yang pernah disertainya ialah pertandingan wau peringkat antarabangsa ialah Pasir Gudang Kite Festival International Guests anjuran Lembaga Pelabuhan Pasir Gudang dan peringkat negeri seperti Johan Wau Cantik dan Johan Wau Naik peringkat negeri Johor serta pertandingan-pertandingan anjuran Majlis Pelancongan Negeri Kelantan.



      Selain pertandingan, beliau juga ada menerima jemputan untuk membuat demonstrasi oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan aktiviti kebudayaan anjuran kerajaan negeri. Beliau juga kerap dijemput untuk mengadakan demonstrasi pembuatan wau dan sesi interaktif bersama pengunjung bagi pihak Kraftangan Malaysia. Pada tahun 2006, beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Wau Tradisional oleh Kraftangan Malaysia.

    • Adiguru Kraf Tembikar TembelingPuan Noriah Binti Mohd Ali

      Adiguru Kraf Tembikar Tembeling
      Puan Noriah Binti Mohd Ali

      Nama           : Puan Noriah Binti Mohd Ali
      Bidang Kraf  : Kraf Tembikar Tembeling
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tembikar Tembeling
      Negeri          : Pahang
      Tarikh Lahir  : 19 Oktober 1934
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 2006


      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Puan Noriah binti Mohd Ali dilahirkan pada 19 Oktober 1934 di Kampung Pasir Durian dan ibu bapanya juga adalah anak jati di kampung ini. Daripada 6 orang adik beradiknya, hanya beliau dan adik perempuannya yang masih hidup. Semasa usia kanak-kanaknya, beliau tidak pernah bersekolah dan hanya memperolehi pendidikan agama secara tidak formal di samping membantu ibu bapanya di rumah.

      Beliau yang berkahwin ketika berusia 21 tahun telah mewarisi kemahiran pembuatan tembikar Tembeling daripada ibu mertuanya, Sepian binti Mat Amin. Hasil perkahwinannya, beliau dikurniakan tujuh orang anak iaitu empat orang lelaki dan tiga orang perempuan yang kini menetap di sekitar negeri Pahang.



      Beliau merupakan salah seorang pengusaha kraf Tembikar Tembeling atau Terenang di sekitar Pasir Durian, yang terletak di mukim Kuala Tembeling, kira-kira 16 kilometer dari pekan Jerantut, Pahang. Kampung ini boleh dihubungi dengan menggunakan jalan air dan mengambil masa selama 15 minit jika menggunakan bot dari jeti Kuala Tembeling. Dipercayai suatu ketika dahulu tembikar tembeling ini mendapat pengaruh raja, dan kebanyakan pembuat tembikar ini diberi perlindungan serta tinggal di kawasan istana. Di antara produk tembikar Tembeling ini digunakan untuk memasak atau menyimpan makanan dan air minuman.



      Tanah liat yang digunakan untuk membuat tembikar dijemur panas matahari sebelum direndam dalam air selama lebih kurang tiga hari. Proses merendam ini dilakukan supaya benda asing seperti sampah, batu dan sebagainya dapat dibuang dan tanah yang berketul-ketul tadi dapat dihancurkan dengan baik. Tanah liat diuli, dibentuk dengan reka corak kemahiran tangan pembuat tembikar.

      Pembuat Tembikar Terenang mengadaptasi alam semula jadi dalam menghasilkan sesuatu rekacorak antaranya corak bulan sabit, tulang ikan dan pucuk rebung. Sebelum dibakar, tembikar Tembeling ini perlu dikeringkan di panas matahari. Proses pengeringan yang sempurna menghasilkan tembikar yang tahan lama dan tidak mudah pecah.

      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI TOKOH

      Keistimewaan produk Kraf Tembikar Tembeling ialah keunikan tanah liatnya yang halus dan hanya terdapat di kampung tersebut. Sejak dahulu lagi, para pembuat tembikar di Kampung Pasir Durian mengambil tanah liat dari tanah wakaf seluas enam ekar. Terdapat pelbagai motif corak yang digunakan pada permukaan tembikar seperti Bunga Sambar, Tampok Manggis, Tapak Pelanduk, Tapak Itik, Pucuk Rebung, Bunga Kelopak, Belalang Cucuk, Bunga Pecah Empat dan Bunga Kipas.

      Acuan motif ini dibuat sendiri oleh Puan Noriah dengan menggunakan kayu selain menggunakan batu untuk mengilatkan permukaan tembikar. Peralatan-peralatan lain yang digunakan ialah batu untuk mengilatkan permukaan serta bilah kayu ukir untuk membuat corak silang. Produk tembikar yang dihasilkan oleh beliau terdapat dalam pelbagai saiz dan pelbagai jenis produk tembikar seperti Terenang, Belanga, Pasu, Bekas Buah dan pelbagai produk tembikar dengan rekaan lama dan terkini mengikut permintaan dari para pelanggannya.



      ` Selain untuk kegunaan memasak atau menyimpan air, produk Tembikar Tembeling ini boleh dijadikan perhiasan dan kegunaan dalam perubatan tradisional. Kebiasaannya, beliau mampu menyiapkan satu set Tembikar Terenang (beserta penutup dan tapak) dalam masa 20 hari manakala untuk sebiji mangkuk yang ringkas boleh disiapkan dalam masa satu hingga dua hari.

      PENGIKTIRAFAN

      Puan Noriah memberi komitmen sepenuhnya kepada bidang pembuatan tembikar ini. Berdasarkan pengalaman, beliau pernah mencurahkan ilmu kepada beberapa orang anak muda yang berminat untuk mempelajari pembuatan produk kraf tradisional ini. Namun hanya seorang atau dua saja yang betul-betul konsisten dan meneruskan perusahaan ini.



      Kemahiran seni kreativiti beliau ini sering membawanya ke serata negeri seperti Perlis, Perak dan Pekan, Pahang untuk mengadakan demonstrasi pembuatan produk tembikar tembeling ini. Tempahan yang sering diterimanya adalah daripada pelbagai jabatan kerajaan, muzium-muzium dan penduduk sekitar negeri Pahang. Selain tempahan, beliau juga sering menerima lawatan daripada pengunjung dari dalam atau luar negara ke bengkelnya. Bagi menghargai ketekunan dan usaha gigih beliau, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tembikar Tembeling pada tahun 2006.



      Sebuah bengkel yang dilengkapi ruang pameran juga telah dibina dengan hasil bantuan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang pada Januari 2008 yang terletak bersebelahan dengan kediaman beliau. Ini merupakan inisiatif yang disediakan oleh pihak Kraftangan Malaysia dalam membantu beliau meneruskan perusahaan pembuatan tembikar tembeling secara tradisional ini.

    • Adiguru Kraf Tenunan Diraja PahangPusn Natipah @ Nortipah Abd. Kadir

      Adiguru Kraf Tenunan Diraja Pahang
      Pusn Natipah @ Nortipah Abd. Kadir

      Nama           : Natipah @ Nortipah Abd. Kadir
      Bidang Kraf  : Tekstil Tenunan
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tenunan Diraja Pahang
      Negeri          : Pahang
      Tarikh Lahir  : 4 November 1944
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 2006


      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Puan Nortipah Binti Abdul Kadir menetap di Pulau Keladi sejak dilahirkan. Beliau mempunyai pertalian darah dengan Al-Mahrum Keraing Aji (Tuk Tuan) yang menjadi pelopor kain tenun Pahang dan mengikut salasilah keluarga penenun ini adalah generasi ke 12 yang masih mengusahakan Tenun Sutera Pahang. Sejak turun temurun keluarga penenun-penenun ini tinggal di sekitar Pulau Keladi, Benta, Jambu, Mukim Langgar dan daerah Pekan, Pahang.



      Kemahiran menenun ini diwarisi sejak zaman remaja lagi memacu minat yang mendalam menyebabkan tokoh ini mudah menerima segala yang dipelajarinya. Sehingga kini tokoh ini merupakan satu-satunya pewaris Tenun Sutera Pahang yang masih aktif.

      Beliau mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga untuk bergiat secara serius dalam bidang tenunan ini. Usaha yang tidak mengenal jemu dan putus asa ini telah membuahkan hasil. Beliau banyak menerima tempahan daripada kerabat diraja, pembesar-pembesar negara dan individu.



      Beliau juga adalah di antara penenun yang paling dikenali dan disegani di negara. Walaupun kemahiran beliau dalam bidang tenunan telah diketahui, namun beliau masih berusaha menimba pengetahuan dengan menyertai pelbagai bengkel dan seminar seperti:

      i.     Bengkel Pewarnaan Semulajadi Sarawak anjuran Kraftangan Malaysia;
      ii.    Bengkel Tenun Ikat Pakan anjuran Kraftangan Malaysia;
      iii.   Bengkel Seni Gerus dan Seni Telepuk anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Pelancongan Malaysia.


      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI TOKOH

      Arus perubahan masa turut mempengaruhi perkembangan pengeluaran fabrik tempatan dan termasuklah juga kain-kain Tenun Pahang. Sebagai seorang pengusaha dan pengeluar fabrik tenunan, beliau sedikit sebanyak mengadaptasi pembaharuan tersebut. Sungguhpun demikian beliau memastikan ciri-ciri tradisional terutama pada reka corak dan petua-petua lama dipatuhi untuk mengekalkan identiti kain Tenun Pahang yang terkenal dengan keindahan dan kehalusan kain tenun.

      Beliau mempunyai pengalaman dan kepakaran khususnya dalam menghasilkan reka corak kain tenun. Antara corak kain yang dicipta dan ditenun ialah corak tapak catur bunga emas berkepala anak lebah, kain corak Pahang berkepalakan anak lebah. Menurut beliau lagi kain Tenun Pahang mempunyai identiti tersendiri iaitu di bahagian "gigi" (kaki) kain yang ditenun dihiasi dengan corak Sepit Udang. Reka corak inilah yang membezakan kain Tenun Pahang dengan kain tenun dari negeri-negeri lain.



      Bagi menjamin kualiti kain yang dihasilkan tokoh ini mengendalikan sendiri proses-proses menenun dari awal sehingga akhir. Beliau mempunyai kemahiran dalam menghasilkan warna-warna dari bahan semulajadi. Ini adalah kerana sebelum warna sintetik diperkenalkan, beliau mewarnakan benang-benang sutera dengan kaedah warna-warna semulajadi.

      Sebagai pewaris seni kain Tenun Pahang, tokoh ini masih mengamalkan dan mematuhi beberapa pantang larang dan petua-petua yang telah diturunkan dengan memilih hari Khamis untuk memulakan kerja-kerja menenun. Amalan-amalan tradisi yang tersirat dengan pelbagai falsafah dan pantang larang ini merupakan sebahagian daripada penghayatan beliau dalam mengekalkan identiti dan menghasilkan kain Tenun Pahang.



      Beliau juga memberi petua mengenai penjagaan kain sutera supaya ianya tidak mudah luntur atau lusuh. Limau nipis digunakan untuk membasuh kain tenun Pahang dan kemudian dibilas dengan air bersih. Kain yang telah dibilas diregang dan dijemur di tempat redup.

      Kecintaan dan penghayatan beliau pada seni warisan ini dapat dilihat pada himpunan koleksi kain tenun lama warisan keluarga yang masih disimpan dengan baik dan terpelihara. Beliau masih bersemangat untuk melestarikan fabrik tenunan tradisi ini dengan mengekalkan corak lama dan sentuhan moden selaras dengan perubahan dan peredaran zaman. Beliau juga mempunyai kemahiran menenun Kain Limar iaitu sejenis kain tenun tradisional yang telah pupus serta mampu membuat Sulaman Tekat Gubah.

      PENGIKTIRAFAN

      Kegigihan dan komitmen beliau yang tinggi dalam mempertahankan warisan tenunan ini mendapat perhatian dari Kerajaan Negeri Pahang. Sebuah pusat kraftangan telah didirikan di Pulau Keladi yang terletak 5 km dari Pekan Bandar Diraja. Beliau diberi kepercayaan mengetuai kumpulan penenun yang menjalankan kegiatan mereka di pusat ini. Pusat kraftangan yang didirikan pada tahun 1980an ini merupakan pusat tenunan yang terbesar di Pahang dan telah menyediakan peluang kepada penenun bekerja dan menjual hasil tenunan mereka.



      Di samping mengusahakan tenunan yang ditempah, beliau juga turut meluangkan masa memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada 15 orang pelatih di Pusat Tenun Pulau Keladi ini termasuk juga kakitangan dan pelatih-pelatih dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Beliau turut mewariskan kemahiran ini kepada anaknya yang mengusahakannya secara sepenuh masa.

      Kejayaan tokoh ini kerap mendapat liputan daripada pelbagai media masa tempatan. Keindahan kain tenunan beliau turut mendapat pengiktirafan antaranya:

      i.     Anugerah Rekaan Kraf 1996/97 anjuran Kraftangan Malaysia;
      ii.    Penghargaan Pertandingan Wicitra 1990 anjuran Kraftangan Malaysia;
      iii.   Penghargaan sempena Perayaan Hari Peladan, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 1995 daripada Kementerian Pertanian Malaysia;

      Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja pada tahun 2006 bagi menghargai sumbangan beliau dalam mempertahankan seni warisan bangsa.

    • Adiguru Kraf Sulaman NyonyaMendiang Puan Lim Swee Kim

      Adiguru Kraf Sulaman Nyonya
      Mendiang Puan Lim Swee Kim

      Nama           : Mendiang Puan Lim Swee Kim
      Bidang Kraf  : Sulaman Nyonya
      Adiguru        : Adiguru Kraf Sulaman Nyonya
      Negeri          : Pulau Pinang
      Tarikh Lahir  : 17 Jun 1933 - 6 April 2014
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 2006

      “Sulaman Seni Kebaya Ungu,
      Dipakai Nyonya Pulau Mutiara,
      Senyum Santun Mengundah Kalbu,
      Setengah Abad Sukar Dilupa”


      - Datuk Abdul Samad bin Mohamed Said, Sasterawan Negara (1985)

      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Seni Sulaman Nyonya sering menghiasi baju kebaya yang menjadi pakaian wanita keturunan Baba. Salah seorang pakar sulaman ini ialah Mendiang Puan Lim Swee Kim yang dilahirkan di negeri Kelantan pada 17 Jun 1933. Setelah berkahwin beliau menetap di Pulau Pinang dan mengusahakan kerjatangan sulaman ini bagi menambah pendapatan keluarga. Beliau berkemahiran menyulam pakaian cheongsam dan juga kebaya.



      Mula mempelajari seni sulaman sejak beliau berusia lapan tahun dan mewarisinya daripada ibu beliau. Pada usia 15 tahun, beliau telah menguasai kemahiran menyulam dengan menggunakan mesin jahit kaki. Sejak itu beliau menceburi bidang ini secara sepenuh masa. Pada tahun 1965 beliau dibantu oleh beberapa orang pekerja bagi menyiapkan tempahan sulaman yang semakin bertambah. Namun sekitar tahun 1986, permintaan terhadap tekstil sulaman mula berkurang. Walaubagaimanapun keadaan ini tidak pernah mematahkan semangat beliau dalam meneruskan legasi warisan seni Sulaman Nyonya ini.



      KREATIVITI, PENGALAMAN DAN PENCAPAIAN ADIGURU

      Pada tahun 2000 permintaan terhadap kebaya kembali meningkat apabila Buku Kebaya Nyonya telah dilancarkan oleh Allahyarhamah Datin Paduka Seri Endon Mahmood. Beliau merupakan antara pelanggan kenamaan Mendiang Puan Lim yang selalu membuat tempahan pakaian kebaya. Beliau juga telah banyak memberi dorongan dan inspirasi kepada Mendiang Puan Lim untuk meneruskan kerjaya beliau. Tempahan yang diterima juga semakin meningkat sehingga mampu mencecah sebanyak 20 helai kebaya setiap bulan.



      Pada tahun 2005 beliau pernah mendapat anugerah daripada Muzium Singapura. Berkat usaha gigih, beliau telah berjaya membuka sebuah kedai sulaman di Gurney Plaza, Pulau Pinang yang dikenali sebagai Kim’s Fashion. Beliau turut mendapat liputan publisiti yang meluas melalui media masa tempatan.

      Sepanjang tempoh penglibatannya dalam bidang Sulaman Nyonya, beliau telah menghasilkan lebih dari 1,000 rekaan motif yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan, bunga, binatang, buah-buahan dan juga bermotifkan abstrak.




      SUMBANGAN KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Mendiang Puan Lim Swee Kim turut memberikan latihan dan bimbingan kepada kumpulan pelapis bagi mengekalkan seni warisan ini. Pelatih beliau terdiri daripada beliawanis yang datang dari seluruh negara. Selama lebih empat dekad beliau telah melatih lebih daripada 50 pelajar dan ada di antara mereka yang telah menjadi pengusaha sulaman yang berkaliber. Beliau juga merupakan jurutunjuk sulaman kepada kumpulan Pelatih dalam Skim Perantisan Kraf Warisan anjuran Kraftangan Malaysia.



      Beliau juga pernah memberi tunjuk ajar sulaiman kepada pelajar dari luar negara seperti Korea Selatan, Jepun, Mongolia, Afrika dan Amerika Syarikat. Pada tahun 2004 beliau telah menerima seorang pelatih dari Amerika Syarikat yang berjaya menguasai kemahiran menyulam dalam masa dua minggu. Pelatih bekenaan, Dr. Jesicca Krakow telah mempelajari teknik sulaman selama 8 jam setiap hari dengan bimbingan Mendiang Puan Lim. Hasilnya, beliau berjaya menyulam sehelai baju kebaya sebelum berlepas pulang ke Amerika Syarikat.



      Mendiang Puan Lim Swee Kim telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Sulaman Nyonya pada tahun 2006 oleh Kraftangan Malaysia. Pada usia 81 tahun, tokoh yang banyak menyumbang bagi kesinambungan legasi warisan seni Sulaman Nyonya negara ini telah meninggal dunia pada tanggal 6 April 2014.
    • Adiguru Kraf Tenun SambitanPuan Pandian binti Sulaiman

      Adiguru Kraf Tenun Sambitan
      Puan Pandian binti Sulaiman

      Nama           : Puan Pandian binti Sulaiman
      Bidang Kraf  : Tekstil
      Adiguru        : Adiguru Kraf Tenun Sambitan
      Negeri          : Sabah
      Tarikh Lahir  : 17 April 1950
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 2006


      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Sejak dari dahulu lagi masyarakat Iranun yang menetap di sekitar Kota Belud pandai dalam menghasilkan pelbagai kerja tangan seperti menenun, menyulam dan bermain alat muzik. Uniknya hasil kerja tangan masyarakat Irranun ini bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi juga untuk memenuhi keperluan suku kaum lain seperti orang Bajau dan orang Dusun. Kampung Rampayan Laut yang terletak lebih kurang 30 km dari pekan Kota Belud, antara perkampungan kaum Iranun yang terkenal dengan hasil tenunan Sambitan.



      Salah seorang penenun sambitan yang terkenal iaitu Puan Hajah Pandian binti Haji Sulaiman. di antara tokoh tenunan sambitan yang disegani di sini. Dilahirkan pada 17 April 1950 dan beliau telah mula belajar menenun daripada nenek dan ibunya ketika masih usia kanak-kanak. Ketika itu anak-anak perempuan diajar dengan pelbagai seni kemahiran seperti menjahit, menenun, menganyam dan semua yang berkaitan dengan urusan rumah tangga.

      KREATIVITI, PENGALAMAN DAN PENCAPAIAN ADIGURU

      Selain daripada menenun, Puan Pandian mahir menganyam tikar berhias (tipo selisir) , menyulam manik dan langkit. Isteri dan ibu kepada tujuh orang anak ini memanfaatkan bakat dan kreativiti yang dipelajari bagi membantu menampung pendapatan keluarga. Setiap hujung minggu beliau membawa hasil kerja tangan ke pasar tamu di pekan Kota Belud untuk diniagakan.



      Bagi memastikan seni kemahiran yang menjadi kebanggaan kaum Iranun ini terus berkembang, Hajah Pandian memberikan latihan dan bimbingan menenun kepada beberapa orang remaja lepasan sekolah yang tinggal berhampiran dengan rumah beliau. Rumah beliau dijadikan sebagai bengkel melatih penenun muda yang berminat. Usaha murni beliau ini mendapat perhatian dan pihak kerajaan. Beliau menerima bantuan dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk membina sebuah bengkel yang lebih selesa dan boleh menampung lebih ramai pelatih.

      SUMBANGAN KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Puan Hajah Pandian juga sentiasa dijemput untuk mengadakan demonstrasi dan menyertai pameran di Sabah dan di Kuala Lumpur. Kehebatan beliau menenun turut mendapat liputan pihak media. Pada tahun 2006 beliau telah dipilih untuk menyertai Skim Perantisan Kraf Warisan iaitu satu program anjuran Kraftangan Malaysia yang bertujuan meneydiakan kumpulan pelapis dalam bidang-bidang kraf warisan termasuk tenunan sambitan.



      Bagi menghargai sumbangan besar Puan Hajah Pandian Sulaiman dalam tenunan sambitan, pada tahun 2006 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai ADIGURU KRAF TENUNAN SAMBITAN.
    • Adiguru Kraf Ukiran Topeng / PatungMendiang Pion Anak Bumbong

      Adiguru Kraf Ukiran Topeng / Patung
      Mendiang Pion Anak Bumbong

      Nama           : Mendiang Pion Anak Bumbong
      Bidang Kraf  : Aneka Kraf
      Adiguru        : Adiguru Kraf Ukiran Topeng / Patung
      Negeri          : Selangor
      Tarikh Lahir  : 1967 - 10 Mei 2014
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 2006


      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Masyarakat orang asli di antara suku kaum minoriti yang tinggal di negara ini dan mempunyai seni kemahiran tangan yang turut mewarnai industri kraf negara. Seni kraf mereka turut mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara. Antara seni kemahiran yang telah mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara adalah ukiran patung dan topeng. Salah seorang pengukir patung yang terkenal ialah Pion anak Bumbung yang dilahirkan pada 8 Ogos 1947.



      Mendiang Pion anak Bumbong merupakan anak jati Kampung Orang Asli Pulau Carey. Beliau adalah dari kalangan masyarakat Mahmeri yang mengusahakan kraf ukiran kayu dengan membuat ukiran topeng dan patung hampir 40 tahun. Seni ukiran ini telah diwarisi sejak turun temurun dari nenek moyang beliau.

      Keunikan hasil rekaan patung dan topeng yang dihasilkan oleh beliau adalah dari ukiran tangan dan tidak menggunakan peralatan seperti mesin. Manakala bahan mentah yang digunakan ialah kayu Nyireh Batu yang banyak terdapat di pantai Negeri Selangor. Ukiran kayu Nyireh Batu adalah satu hasil kraf yang dibanggakan oleh masyarakat Mahmeri kerana keunikan kayu tersebut dan ukiran merupakan kerja tangan yang amat sinonim dengan masyarakat Mahmeri.

      KREATIVITI, PENGALAMAN DAN PENCAPAIAN ADIGURU

      Keistimewaan yang ada pada beliau dalam seni mengukir ini ialah teknik buatan yang tiada tolok bandingnya dan kekemasan serta kualiti pada produk yang dihasilkan. Dalam menghasilkan produk, beliau banyak mendapat ilham sendiri. Kebanyakan ilham datangnya dari alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

      Tujuan utama beliau menceburkan diri sepenuhnya dalam bidang ukiran kayu ini ialah kerana minat yang begitu mendalam dalam seni ukir yang melambangkan masyarakat Mahmeri. Selain itu atas kesedaran beliau untuk mengekalkan seni warisan kraf ini menyebabkan beliau meneruskan usaha ayahnya untuk menghasilkan produk ukiran ini. kebanyakan kerja dan hasil kraf yang dihasilkan didokumentasi dan dirakam oleh badan-badan penyiaran, akhbar-akhbar tempatan dan penerbitan majalah.

      Antara contoh-contoh produk yang dikeluarkan oleh kebanyakan pengukir adalah hasil dari tunjuk ajar beliau adalah Moyang Buaya, Moyang Gendi, Moyang Puting Beliung , Moyang Tanjung, Moyang Goyang, Moyang Tenung Mengidam, Moyang Pucuk Paku, Moyang Sauh, Moyang Bujam, Moyang Ba’ai, Moyang Pelimbai, Moyang Tok Naning, Moyang Katak Kaler, Moyang Kotak Daun, Moyang Sepua Air, Moyang Badi Gajah, Moyang Harimau Berantai, Moyang Tupai Belalang, Moyang Kelolong, Moyang Melur.



      PENGALAMAN DAN PENCAPAIAN ADIGURU

      Beliau juga banyak melibatkan diri dalam pertandingan dan pameran di peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan hasil dari pengalaman beliau selama lebih 40 tahun di dalam bidang ukiran kayu. Selain mendapat tempahan ukiran kayu daripada masyarakat tempatan, beliau juga telah mendapat tempahan ukiran kayu daripada serata pelusuk tanahair termasuklah dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, New Zealand, dan Australia.

      Beliau juga pernah dijemput untuk mengadakan demonstrasi ukiran kayu di negara-negara terbabit bagi memudahkan masyarakat tempatan menilai seni kahalusan yang terdapat pada setiap hasil ukiran mendiang. Beliau diberikan peluang memperkenalkan seni ukiran kayu Kaum Mahmeri dengan turut serta di dalam sesuatu acara kesenian kraftangan yang dianjurkan oleh badan badan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan.



      Beliau telah memasuki beberapa pertandingan ukiran kayu, antaranya ialah pertandingan ”Handicraft Product in Southeast Asia” anjuran UNESCO pada tahun 2004 yang diadakan di Thailand. Di dalam pertandingan ini, Mendiang Pion telah mendapat tempat pertama dengan hasil ukiran kayunya “ Moyang Harimau Berantai. Pada tahun 2005, Mendiang Pion juga telah memasuki pertandingan ”Handicraft Product in Southeast Asia” anjuran UNESCO yang diadakan di Thailand. Di dalam pertandingan ini, Mendiang Pion telah mendapat tempat pertama dengan hasil ukiran kayunya “Moyang Jenug Jerat Harimau".

      SUMBANGAN ADIGURU TERHADAP INDUSTRI KRAF

      Sehingga kini banyak ilmu, serta kemahiran diturunkan kepada anak beliau. Selain itu atas dasar dan kesedaran untuk mengekalkan warisan ini, beliau banyak mengajar golongan muda dan pelapis di Kampung Sungai Bumbun. Kebanyakan golongan pelapis ini telahpun berjaya dan menjadikan ukiran kayu ini sebagai sumber pendapatan mereka. Selain itu ukiran kayu ini juga menjadi sumber pendapatan utama beliau untuk menyara keluarga.



      Sepanjang hayat beliau memperlihatkan kegigihan dan kesungguhan penglibatan dalam memberi sumbangan yang berterusan ke arah membangun dan memartabatkan industri kraf negara. Beliau juga merupakan seorang yang berwibawa, mahir dan berpengetahuan dalam bidang kraf yang diceburi. Beliau juga tidak lokek dengan ilmu yang di ketahui. Bagi beliau, ilmu yang terdapat di dalam diri adalah salah satu warisan yang perlu di teruskan agar ianya kekal selamanya untuk tatapan masyarakat setempat.



      Kemahiran beliau mendapat pengikitrafan dan pada tahun 2006, beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Topeng / Patung oleh Kraftangan Malaysia. Mendiang Pion Anak Bumbung telah meninggal dunia pada tanggal 10 Mei 2014 (Sabtu) di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor.
    • Adiguru Kraf Bot Tradisional Tuan Haji Abdullah bin Muda

      Adiguru Kraf Bot Tradisional
      Tuan Haji Abdullah bin Muda

      Nama           : Tuan Haji Abdullah bin Muda
      Bidang Kraf  : Bot Tradisional
      Adiguru        : Adiguru Kraf Bot Tradisional
      Negeri          : Terengganu
      Tarikh Lahir  : 2 Ogos 1937
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 2006


      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Tuan Haji Abdullah bin Muda dilahirkan pada bulan Ogos 1937 di Pulau Duyung Besar, Kuala Terengganu. Beliau adalah salah seorang dari tujuh beradik dan anak kepada Encik Muda bin Abdul Rahman dan Puan Nik binti Ismail. Dibesarkan dalam suasana perkampungan di Pulau Duyung dan mendapat pendidikan hingga ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Agama Zainal Abidin, Ladang, Terengganu.



      Dibesarkan dengan persekitaran yang berhampiran dengan sungai dan laut menimbulkan minat dan penglibatan beliau dalam aktiviti air. Mewarisi bakat datuknya yang juga pengusaha bot terawal di Pulau Duyung, Tuan Haji Abdullah juga mengikuti latihan pembuatan bot dalam mengasah bakat dan kemahiran beliau. Semenjak remaja lagi beliau telah terlibat secara langsung membuat bot bermula dengan sebagai pembantu. Malahan tiga orang ahli keluarganya turut terlibat di dalam industri pembuatan bot tradisional. Di atas dorongan keluarga sendiri, mertua dan rakan telah memberi semangat kepada beliau untuk terus menceburi bidang ini sepenuh masa.




      KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

      Berkat latihan kemahiran dan pengalaman yang diperolehi pada sekitar tahun 50-an, telah memberi kekuatan kepadanya untuk mengorak langkah bagi mengusahakan sendiri pembuatan bot tradisional. Bermula dengan usaha pembikinan bot yang berukuran kecil, tahap kemahiran beliau semakin bertambah dengan akhirnya mampu menghasilkan pelbagai jenis bot tradisional serta kapal layar.

      Kebiasaannya Tuan Haji Abdullah membuat bot jenis Payang dan Kolek. Bot ini paling banyak menerima tempahan khususnya untuk kegunaan nelayan dan pengangkutan air. Selain itu, terdapat juga bot daripada jenis Sekuci, Bedar dan Gelibat. Perbezaan di antara jenis bot yang dinyatakan adalah berdasarkan bentuk dan kegunaannya.



      Hasil kerja beliau tidak berubah dengan peredaran zaman kerana prinsip beliau yang menitikberatkan penggunaan bahan asas kayu terbaik dan pengekalan kaedah penghasilan secara tradisional. Setiap bot yang dihasilkan perlu dijaga dengan baik agar mampu bertahan sehingga mencecah 50 tahun. Perbezaan yang paling ketara di antara bot kini dan tradisional adalah pada pemasangan “lunas”. "Lunas" yang besar dipasang supaya lebih kukuh kerana faktor gegaran enjin berbanding dengan penggunaan “lunas” yang kecil pada bot tradisional kerana tidak menggunakan sebarang enjin mekanikal.

      SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Kemasyhuran bot hasil seni buatan Tuan Haji Abdullah telah disebarkan melalui media cetak dan elektronik tempatan serta luar negara yang membuat liputan kehebatan seni pembuatan bot tradisional beliau. Pada tahun 2006, beliau telah mendapat pengiktirafan Anugerah Kesenian Negeri Terengganu yang disampaikan oleh pihak kerajaan negeri.



      Salah seorang daripada enam cahayamata beliau, iaitu Encik Khairul Azuar kini telah mewarisi seni kemahiran pembuatan kraf ini. Selain itu, Tuan Haji Abdullah turut mencurahkan ilmu kemahiran kepada para pekerja di bengkelnya di Pulau Duyung termasuk sekumpulan pelatih yang dibiayai oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Terengganu. Bengkel khas ini terletak berhampiran rumah beliau yang mana membolehkannya melancarkan bot ke permukaan air setelah siap. Ruangan bengkel luas serta berbumbung mampu menempatkan sehingga empat buah bot pada satu-satu masa walaupun pada musim hujan.

      KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

      Tuan Haji Abdullah telah berjaya menyiapkan pelbagai tempahan kapal layar daripada pelanggan luar negara seperti Singapura, Algeria, Australia, Denmark, England, Itali, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat dan Perancis. Salah satu karya penghasilan terbaik beliau ialah kejayaan menyiapkan tempahan bot berukuran 52 kaki x 16 kaki daripada rakyat Amerika Syarikat yang kini ditempatkan di Muzium Alaska, Amerika Syarikat pada tahun 1980. Malahan para pelanggannya sanggup datang sendiri untuk bertemu dengan Tuan Haji Abdullah untuk membuat tempahan. Sejak tahun 1965, tidak kurang 20 buah bot buatan beliau yang terdapat di seluruh pelusuk dunia.



      Pencapaian Tuan Haji Abdullah bin Muda amat membanggakan dalam membangunkan industri pembikinan bot tradisional negara. Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Bot Tradisional oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 2006 sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada beliau ia atas usaha membangunkan industri bot tradisional negara.
    • Adiguru Kraf Pasu IbanEncik Andah A/K Lembang

      Adiguru Kraf Pasu Iban
      Encik Andah A/K Lembang

      Nama           : Encik Andah A/K Lembang
      Bidang Kraf  : Pasu Iban
      Adiguru        : Adiguru Pasu Iban
      Negeri          : Sarawak
      Tarikh Lahir  : 11 Mei 1948
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 2006


      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Encik Andah a/k Lembang dilahirkan pada 11 Mei 1948 di Nangga Sumpa, di Batang Ai, Sarawak. Beliau mula mempelajari bidang Pasu Iban (Periuk Iban) pada usia 15 tahun dari ibunya Puan Chandi a/k Lupuh. Beliau mempelajari seni kraf tradisi keluarganya dan didorong oleh minatnya yang mendalam terhadap seni pembuatan Pasu Iban.

      Pada mulanya beliau hanya belajar corak-corak mudah yang pernah dihasilkan oleh ibunya, namun kini beliau boleh menghasilkan rekaan berdasarkan permintaan dari pelanggan. Tidak hanya terhad belajar corak-corak mudah yang pernah dihasilkan oleh ibunya, namun beliau turut berkebolehan menghasilkan rekaan berdasarkan permintaan. Antara reka corak motif yang telah dihasilkannya ialah Bunga Segi Empat, Bunga Terung, Bunga Kelawar, Bunga Jaring (Bunga Jala), Bunga Bunut, Bunga Mata dan Bunga Perut Morek (Anak Katak).



      SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Bagi memastikan kesinambungan kemahiran ini, beliau gigih memberi tunjuk ajar kepada generasi muda tidak terhad kepada penghuni Rumah Panjang Nanga Sumpa yang didudukinya malah kepada pihak yang berminat seperti Muzium Negeri Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).



      Beliau juga pernah di bawa untuk membuat demonstrasi Pasu Iban di Kompleks Kraf Langkawi pada tahun 1987 dan negara Jepun pada tahun 1991. Beliau pernah dilantik sebagai jurudemo semasa pengambaran dokumentasi mengenai Pasu Tradisi Iban oleh Kraftangan Malaysia. Sempena Pameran Pottery Emotion di Kuala Lumpur beliau pernah membuat demonstrasi proses awal sehingga siap bagi teknik pembuatan tradisional Pasu Iban selama seminggu. Disamping itu, beliau sering ditemubual oleh badan penyiaran tempatan bagi berkongsi pengetahuan dan kemahirannya dalam pembuatan Pasu Iban.



      Sebagai seorang yang pakar dalam bidang ini, beliau telah mengajar dan juga membuat demonstrasi kepada masyarakat tempatan, persatuan-persatuan, agensi-agensi kerajaan atau swasta, orang perseorangan dan juga pelatih-pelatih PKKM. Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Pasu Iban pada tahun 2006 bagi menghargai usaha dan sumbangan beliau.
    • Adiguru Kraf Ukiran KayuEncik Wan Mustafa bin Wan Su

      Adiguru Kraf Ukiran Kayu
      Encik Wan Mustafa bin Wan Su

      Nama           : Encik Wan Mustafa bin Wan Su
      Bidang Kraf  : Aneka Kraf
      Adiguru        : Adiguru Kraf Ukiran Kayu
      Negeri          : Terengganu
      Tarikh Lahir  : 5 Mei 1939
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 2007


      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Ukiran kayu merupakan satu lagi seni kraf warisan yang telah lama dihasilkan oleh masyarakat tempatan. Di antara pengukir terkenal dan disegani ialah Encik Wan Mustafa Wan Su yang dilahirkan pada 5 Mei 1939. Beliau telah berkecimpung dalam bidang ukiran selama 39 tahun. Kemahiran asas mengukir diperolehi daripada ayahandanya, Encik Wan Su bin Wan Othman yang merupakan seorang pengukir tersohor negara dan juga Adiguru Kraf Ukiran Kayu.

      Beliau telah berjaya membuka galeri ukiran kayu yang dikenali sebagai Balai Seni Wan Mustafa Wan Su. Di sini beliau menyiapkan tempahan yang diterima dengan dibantu oleh 30 orang pengukir mahir dan separuh mahir. Balai Seni ini juga turut memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda setempat. Wan Mustafa turut memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada pengukir muda yang berminat mendalami seni ukiran trradisional.



      Dewan Bahasa Dan Pustaka telah melantik beliau sebagai salah seorang daripada pengkaji istilah bahasa bagi bidang ukiran berdasarkan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh beliau. Beliau merupakan pakar rujuk dalam bidang ukiran kepada individu, pelajar, agensi kerajaan dan juga swasta.

      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Penghayatan Wan Mustafa terhadap seni ukiran yang diwarisi sejak turun temurun dapat dilihat pada hasil kerjatangannya dan juga pemilihan pengukir-pengukir yang hendak bekerja dengannya. Bagi memastikan setiap ukiran yang dihasilkan mempunyai identiti tersendiri, Wan Mustapha memastikan setiap pengukir yang bekerja dengan beliau tidak pernah bekerja dengan mana-mana tukang ukir.



      Bagi Wan Mustapha nilai dan kualiti hasil kerja terletak pada kesempurnaan sesebuah ukiran. Beliau sendiri yang akan memastikan kualiti pada setiap produk ukiran mencapai tahap yang memuaskan sebelum diserahkan kepada pelanggan. Seringkali beliau menghalusi dan memperbaiki produk-produk ukiran yang diukir oleh pekerjanya.

      Di persekitaran rumah dan Balai Seni Wan Mustapha dirimbuni dengan pepohon kayu dan bunga-bunga yang mekar dan menjadi inspirasi bagi setiap karya seni ukiran beliau.

      PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

      Selain mewariskan kepakaran dan pengetahuan beliau kepada anak lelakinya yang mempunyai kelulusan sebagai arkitek, beliau turut memainkan peranan besar dalam usaha mengembangkan seni warisan ini. Beliau pernah memberikan latihan dan tunjuk ajar kepada pelbagai pihak yang berminat untuk mempelajari seni ukiran kayu termasuklah :-

      i.     Guru-guru daripada Pusat Perkembangan Korikulum Jalan Duta Kuala Lumpur;
      ii.    Guru daripada Maktab Perguruan Batu Rakit, Terengganu;
      iii.   Belia daripada Jabatan Belia Dan Sukan Malaysia dan juga Kraftangan Malaysia.



      Beliau juga turut menerima dan menyiapkan pelbagai jenis tempahan ukiran kayu sejak tahun 1980an hingga kini. Di antara hasil kerja menyerlahkan kreativiti beliau adalah seperti :-

      i.     Istana Muktabillah Terengganu (1980an);
      ii.    Muzium Terengganu (2003);
      iii.   Istana Melawati Putera Jaya (2003); dan
      iii.   Balai Seni Mustapha Wan Su merupakan yang mercu tanda kejayaan beliau.

      SUMBANGAN TERHADAP INDUSTRI KRAF

      Encik Wan Su telah banyak menyumbang kepada pembangunan industri kraf negara sepanjang penglibatan beliau dalam industri ini. Di antara sumbangan beliau yang tidak ternilai adalah seperti:-

      i.     Pakar rujuk seni ukiran tradisional kepada penuntut dari institusi pengajian tinggi;
      ii.    Penceramah Seni Ukiran Melayu di Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Malaysia dan lain-lain IPT (1980 - 1990an);
      iii.   Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Istilah Seni Ukir-Dewan Bahasa Dan Pustaka; dan
      iii.   Ahli dalam Jawatankuasa Jejak Warisan Terengganu anjuran Pelancongan Malaysia.



      Bagi menghargai usaha dan kegigihan beliau dalam bidang ukiran yang menjadi kebanggaan negara ini, pada tahun 2007 beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Kayu Tradisional oleh Kraftangan Malaysia
    • Adiguru Kraf Songket dan Tokoh Kraf NegaraPuan Hajah Habibah binti Zikri

      Adiguru Kraf Songket dan Tokoh Kraf Negara
      Puan Hajah Habibah binti Zikri

      Nama           : Hajah Habibah binti Zikri
      Bidang Kraf  : Songket
      Adiguru        : Adiguru Songket
      Tokoh Kraf    : Tokoh Kraf Negara
      Negeri          : Terengganu
      Tarikh Lahir  : 5 Februari 1948
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 2007
      Lantikan Tokoh Kraf  : Tahun 2007


      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Hajah Habibah Zikri satu nama besar yang turut mewarnai indusri songket negara. Lahir pada 5 Februari 1948 di Sungai Petani, Kedah Darul Aman di tengah-tengah keluarga yang besar. Anak ketiga daripada sembilan adik beradik yang terdiri daripada dua orang lelaki dan tujuh orang perempuan ini amat meminati seni. Jiwa seni Hajah Habibah diwarisi daripada bapanya yang gemar mengumpul koleksi-koleksi barangan kraf. Sejak zaman kanak-kanak lagi Hajah Habibah gemar melakar, melukis dan melihat kepada keindahan.

      Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Sungai Petani. Selepas tamat sekolah menengah, beliau memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni. Semasa menuntut di Institut Teknologi MARA, Hajah Habibah di antara pelajar cemerlang. Beliau sentiasa mencari kelainan dan memberi nilai tambah pada setiap karya yang dihasilkan kerana mencipta sesuatu yang cantik merupakan kepuasan kepada beliau. Di akhir pengajian beliau menerima anugerah pelajar cemerlang dalam bidang tekstil.

      Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1974, beliau ditawarkan bekerja di Kraftangan Malaysia sebagai pereka dan diberi tanggungjawab menghasilkan rekaan baru kraf tekstil tempatan. Semasa berkhidmat di Kraftangan Malaysia beliau terus mendalami bidang tenunan khususnya songket. Sebagai pereka, beliau sering bertemu dengan penenun-penenun songket dan mendalami proses dan kerja-kerja menyongket dari awal sehingga akhir.

      Rumah tangga yang dibina bersama Encik Shamsul Baharin Abdul Mutalib dikurniakan dengan tiga orang cahayamata. Minat dan cita-cita dikongsi bersama suami dan keluarga. Setelah sembilan tahun berkhidmat sebagai pereka, beliau meletakkan jawatan dan memulakan perusahaan tenunan songketnya sendiri berbekalkan cita-cita dan sokongan daripada keluarga. Berbekalkan bakat serta kemahiran sebagai pereka, Puan Habibah memulakan kerjaya sebagai pengusaha songket.

      DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

      Hajah Habibah yang meminati seni tampak sejak kecil lagi menyimpan cita-cita untuk melakukan transformasi dalam industri songket negara. Kain songket yang menjadi warisan agung diberi nafas baru agar mampu dimiliki dan diterima pakai semula oleh semua lapisan masyarakat. Beliau penuh yakin bahawa kain songket yang terhad fungsi serta kegunaannya ini boleh dikomersilkan.

      Songket merupakan satu-satunya tekstil lama Melayu yang mampu bertahan hingga hari ini. Keunikan dan keseniannya terserlah. Songket Malaysia buatan tangan terbukti bermutu tinggi nilainya. Hakikat inilah Puan Hajah Habibah binti Haji Zikri menumpukan perhatian terhadap perusahaan songket. Perusahaan songket Puan Hajah Habibah bermutu tinggi dan bertaraf dunia. Keunikan reka corak dan kreativiti rekaan beliau menjadikan songket beliau bermutu dan tinggi nilai harganya.

      Penglibatan beliau inilah menjadikan beliau seorang tokoh yang meraih kejayaan demi kejayaan. Kejayaan pertama Puan Hajah Habibah adalah menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan membuka bengkel tenunan. Bengkel yang dibuka di sebelah rumah mampu menghasilkan kain songket yang bermutu dan memenuhi keperluan pelanggan.

      PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

      Bibah Songket merupakan mercu tanda kejayaan Puan Habibah. Kini seramai 50 orang penenun songket bernaung di bawahnya, membantu beliau menghasilkan songket yang yang halus, cantik dan berkualiti. Songket rekaan beliau turut dijadikan sebagai setem pos kenang-kenangan sempena pelancaran Songket Seni Warisan Agong bersama-sama TV3 dan Pos Malaysia pada tahun 2004.

      Setelah lebih daripada 33 tahun menceburi bidang Tenunan songket, Puan Hajah Habibah telah meletakkan namanya sebagai penenun yang terkenal dan disegani di negara ini. Hasil ciptaan kreatif beliau telah menyemarakkan semula industri songket negara. Banyak kejayaan yang diraih beliau sepanjang tempoh mengusahakan tenunan songket.

      Pada tahun 1983, beliau telah menyertai pertandingan Witcitra anjuran PKKM dan pada tahun 1984 beliau menerima reka bentuk terbaik. Pada tahun 1987 beliau menerima Anugerah - The Best Traditional Textile ASEAN di Jakarta. Beliau turut menerima Anugerah Seni Tampak pada tahun 2002.

      SUMBANGAN TERHADAP INDUSTRI KRAF

      Puan Hajah Habibah turut melatih penenun muda di bengkelnya. Kebanyakan mereka terdiri daripada remaja lepasan sekolah menengah yang tidak mempunyai asas menenun. Kumpulan ini diberikan latihan dan bimbingan sehingga mereka menjadi penenun yang mahir. Karya kreatif beliau turut dijadikan sebagai hiasan eksklusif Istana Negara, Istana Johor, pejabat-pejabat kedutaan di luar negara, bangunan UMNO Kuala Lumpur, hotel-hotel dan resort di seluruh negara. Sumbangan Hajah Habibah sepanjang penglibatannya telah mengangkat dan meletakkan songket warisan bangsa ke tempat yang sewajarnya.

      Bagi menghargai usaha dan kegigihan beliau dalam bidang songket ini pada tahun 2007 beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Songket dan dinobatkan selaku Tokoh Kraf Negara pada tahun yang sama oleh Kraftangan Malaysia.
    • Adiguru Kraf Logam dan Tokoh Kraf NegaraAllahyarham Tuan Haji Ab. Manan Bin Haji Yakub

      Adiguru Kraf Logam dan Tokoh Kraf Negara
      Allahyarham Tuan Haji Ab. Manan Bin Haji Yakub

      Nama           : Allahyarham Tuan Haji Ab. Manan Bin Haji Yakub
      Bidang Kraf  : Logam
      Adiguru        : Adiguru Kraf Logam
      Tokoh Kraf   : Tokoh Kraf Negara
      Negeri          : Kelantan
      Tarikh Lahir  : 10 Jun 1944 - 1 Januari 2001
      Lantikan Pertama Adiguru  : Tahun 2008
      Tahun Lantikan Tokoh Kraf Negara   : Tahun 2011

      LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

      Allahyarham Tuan Haji Ab. Manan bin Haji Yakub atau lebih dikenali sebagai Pok Teh adalah anak jati Kampung Sireh Kota Bharu, Kelantan yang merupakan kawasan utama pertukangan perak sejak dahulu lagi. Beliau dilahirkan pada 10 Jun 1944, mtelah didedahkan dengan kerja-kerja pertukangan perak ketika berusia seawal 7 tahun.

      Sejak kecil, beliau sering memerhatikan kerja pertukangan bapanya, Allahyarham Haji Yakub bin Mohamad yang merupakan seorang tukang perak mahir menghasilkan barangan kraf perak untuk pegawai-pegawai Inggeris selain menerima tempahan dari istana. Bermula seawal usia 14 tahun (pada tahun 1958), Allahyarham Pok Teh mula serius mendalami kemahiran pertukangan perak daripada bapanya. Allahyarham Pok Teh mendapat pendidikan tertinggi di Sekolah Menengah Padang Garong Kota Bharu, Kelantan. Hasil perkahwinannya bersama Limah binti Che Abdullah, mereka dikurniakan 8 orang anak.

      Berbekalkan kesedaran, minat dan semangat yang tinggi bahawa kraf perak tradisional perlu dipertahankan, beliau terus berusaha gigih bagi memartabatkan seni pertukangan kraf perak di kalangan masyarakat Melayu. Setelah bapa beliau meninggal dunia pada tahun 1977, Allahyarham meneruskan usaha bapanya dalam pertukangan perak secara kecil-kecilan.



      KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

      Menjelang awal tahun 1980-an, Allahyarham Tuan Haji Ab. Manan giat mengusahakan seni pertukangan perak melalui beberapa agensi dan pertubuhan seperti Kelantan Malay Arts, Koperasi Kampung Morak, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan muzium-muzium. Selain aktif mengusahakan perusahaannya, beliau turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di sekitar Kota Bharu, Kelantan. Usaha dan kesungguhan beliau mula membuahkan hasil dengan tertubuhnya Syarikat KB Permai yang ditubuhkan pada tahun 1985. Sehingga kini syarikat yang dimilikinya mempunyai pekerja-pekerja yang amat berkemahiran dalam pertukangan perak.

      Allahyarham Tuan Haji Ab. Manan sering mengguna dan menggubah reka corak yang berunsurkan motif flora untuk disesuaikan dengan bentuk produk kraf mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan. Karya atau reka cipta yang dihasilkan beliau sering dijadikan hiasan dan cenderamata oleh pihak Istana Kelantan seperti Payung Adat Istiadat, Kepala Logo Kenderaan Istana dan Cokmar. Beliau sering mendapat tempahan membuat cokmar dari Dewan Undangan Negeri, Institusi Pengajian Tinggi, Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri Pahang. Hasil kerja tangan beliau telah mendapat perhatian dari Kerajaan Malaysia apabila menerima tempahan produk perak untuk cenderamata kepada bekas Setiausaha Agung PBB (Koffi Annan) pada tahun 2005.



      Berikut merupakan produk-produk yang telah dihasilkan oleh beliau :

      i.     Cokmar Dewan Undangan Negeri Terengganu – 1980
      ii.    Bekas Renjisan Air Mawar Istana Negara – 1990
      iii.   Piala Perdana Sukma – Majlis Sukan Negara – 1990
      iv.   Cenderamata Undangan Rasmi SUKOM 98 Berhad - 1998
      v.    Piala Olahragawan Negeri Pahang – Majlis Sukan Negeri Pahang – 1999
      vi.   Cokmar Universiti Tun Abdul Razak – 2000
      vii.  Cokmar Universiti Putera Malaysia – 2000
      viii.  Keris Istiadat Cokmar Universiti Industri Selangor (Unisel) – 2001
      ix.   Piala Anugerah Olahragawan / Olahragawati Kebangsaan –Majlis Sukan Negara (MSN) 2002
      x.   Cokmar Institut Iktisad Kemajuan Pahang (IKIP) -2005
      xi.   Cokmar Universiti Teknikal Malaysia - 2007
      xii.  Gong Bertanduk Tempahan Sultan Muhammad Ke V (Istana Kelantan) -2010
      xiii.  Cokmar Kolej Universiti Perubatan Cyberjaya – 2010

      Pada tahun 2008, karya seni beliau telah dipilih oleh Kerajaan Malaysia untuk dipasarkan di Gedung Membeli Belah Harrods, London.


      PENGIKTIRAFAN HASIL KARYA DAN REKA CIPTA TOKOH

      Antara penganugerahan dan pengiktirafan yang diterima oleh beliau ialah :
      i.     Sekitar tahun 1970-an beliau pernah menyertai pameran dan memenangi tempat ke dua kraf perak yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia;
      ii.     Pada tahun 1993 beliau telah dilantik sebagai Tukang Kraf Istana Kelantan oleh pihak Istana Kelantan.
      iii.     Beliau menerima Anugerah Usahawan Seni Kraf dalam bidang perak dari Kerajaan Malaysia pada tahun 2007.
      iv.     Pada Tahun 2008 beliau telah menerima Anugerah Industri Pelancongan Negeri Kelantan kategori produk kraf perak.




      SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

      Allahyarham Tuan Haji Abdul Manan tidak pernah mengenal erti jemu untuk menurunkan kemahiran pertukangan kraf perak kepada golongan muda yang berminat untuk mempelajari kemahiran ini .

      Sesiapa sahaja yang berminat mendekati beliau terutama pekerja-pekerja syarikat KB Permai akan sedikit sebanyak menimba ilmu pertukangan dan menjadi harapan beliau agar kemahiran ini akan diwarisi oleh seseorang. Dua orang anak beliau iaitu Puan Harnaini binti Abdul Manan dan Encik Hasnan bin Abdul Manan yang turut menjejaki langkahnya. Kedua-duanya mengusahakan kedai dan bengkel pertukangan emas perak di daerah Pasir Puteh dan Kota Bharu, Kelantan. Anak-anak saudara beliau juga turut mewarisi ilmu kraf pertukangan perak berkenaan.

      Pejabat Istana Negeri Kelantan menjadikan beliau sebagai pakar rujuk untuk penghasilan dan tempahan produk-produk perak di Istana Kelantan. Beliau merupakan Tukang Perak Khas Istana Negeri Kelantan yang dilantik oleh Pejabat Sultan Kelantan untuk menghasilkan produk-produk kraf perak tempahan khusus Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan.



      Beliau juga menerima bekas-bekas pelatih Latihan Jangka Pendek yang dijalankan di Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan untuk menimba lebih ilmu pertukangan kraf perak. Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan juga pernah menggunakan khidmat beliau sebagai pakar rujuk dan panel penilai bagi produk perak yang dihasilkan oleh peserta Latihan Jangka Pendek Pahatan Perak yang dijalankan pada tahun 2009. Beliau turut membantu mempromosikan barangan kraf perak dengan menyertai beberapa siri pameran dan demonstrasi di dalam dan luar negara termasuklah yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia.

      Pada tahun 2008, beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Perak oleh Kraftangan Malaysia bersama pengiktirafan Anugerah Industri Pelancongan Negeri Kelantan mengikut kategori produk kraf tempatan. Selain itu, beliau juga pernah menerima Anugerah Usahawan Seni Kraf Bidang Perak dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 2007. Beliau yang telah dijemput Illahi pada 1 Januari 2011 telah dianugerahkan Tokoh Kraf Negara pada tahun yang sama. Semoga roh beliau dirahmatiNya dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman.
  • Adiguru Allahyarham Hasni bin Ali

    Nama : Allahyarham Hasni bin Ali
    Adiguru Kraf Pembuatan Bot (2013)
    Negeri : Terengganu

    Penghasilan Karya / Rekacipta
    Encik Hasni bin Ali merupakan antara pelopor pembuatan bot tradisional dan perahu di Negeri Terengganu yang berpusat di Pulau Duyong. Kemahiran yag diwarisi daripada arwah ayahnya tidak pernah disia-siakan. Antara bot-bot dan perahu yang dihasilkan adalah seperti Perahu Sekoci, Perahu Payang, Perahu Kolek dan Bot Layar.

    Tahap Penghasilan Karya / Rekacipta
    Eksklusif
    Penghasilan bot dan perahu yang dijalankan oleh beliau sering mendapat perhatian daripada pembeli sama ada dari dalam mahupun luar Negara. Antara tempahan yang pernah diterima daripada luar Negara adalah seperti daripada Singapura, Arab Saudi dan Jerman.

    Pasaran Khusus (Niche Market)
    Encik Hasni tidak mempunyai pasaran khusus dalam perusahaan bot ini. Namun begitu beliau merupakan salah seorang pembuatan bot yang terkenal di Malaysia dan sering menerima tempahan dalam penghasilan bot dari dalam mahupun luar negara.

    Karya / rekacipta yang menjadi ikutan (trend-setter)
    Rekaan dan teknik pembuatan bot tradisonal yang dihasilkan oleh Encik Hasni sering menjadi ikutan dikalangan pembuat bot yang baru menceburkan diri.

    Pengiktirafan ke atas kepakaran
    Di atas komitmen yang berterusan dalam mempertahankan penghasilan dan pembuatan bot tradisional, Encik Hasni bin Ali telah mendapat pengiktirafan daripada pihak Kraftangan pada tahun 2010 yang menobatkan beliau sebagai antara Tukang Ulung Kraf
    Selain itu, pihak Kerajaan negeri Terengganu turut memberi pengiktirafan kepada beliau sebagai Anugerah Usahawan Bot dan Perahu Negeri Terengganu pada tahun 2006.

    Pencapaian Kerjaya
    Hasil kegigihan dan penat lelah beliau sejak tahun 1988, beliau kini boleh berbangga kerana berjaya mewujudkan Syarikat Duyong Boat dan turut mempunyai bengkel pengeluaran di Pulau Duyong dengan bilangan pekerja tetap dan sambilan diantara 5 hingga 10 orang.

    Dokumentasi
    Selain itu, pihak Kerajaan Negeri Terengganu bercadang untuk menjadikan Pulau Duyong sebagai hab pengeluaran bot-bot dan perahu tradisional. Justeru itu, Encik Hasni sendiri sering menerima kunjungan daripada pihak media elektronik dan cetak bagi membuat liputan dan hebahan berkaitan industri bot dan perahu tradisional. Antara media cerak yang pernah membuat liputan ke bengkel beliau adalah seperti pihak RTM, TV Alhijrah dan media cetak seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian.
    Pihak Kraftangan Malaysia turut pernah mendokumentasikan dalam bentuk video dan gambar semasa Latihan Asas Pembuatan Bot yang diadakan di bengkel beliau bermula tahun 2007-2009 melibatkan 15 orang peserta.

    Menurunkan Kemahiran
    Beliau telah meunurunkan segala ilmu dan kemahiran yang ada kepada anak lelakinya iaitu Encik Azlan yang kini turut bergiat aktif dalam meneruskan perusahaan bot dan perahu miliknya.
    Selain itu, beliau turut mencurahkan ilmunya kepada para peserta Latihan Asas Pembuatan Bot seramai 15 orang yang diadakan dibengkel beliau pada tahun 2007 hingga 2009 anjuran Kraftangan Malaysia.

    Menjadi Pakar Rujuk
    Kemahiran dan pengalaman yang beliau memiliki turut menjadi rujukan pelbagai pihak. Sebagai contoh, pihak KETENGAH pernah melantik beliau sebagai ahli panel bagi mepenyediaan Modul Pembuatan Bot Layar pada tahun 2009.
    Selain itu, pelajar-palajar daripada Institusi Pengajian Tinggi dan Swasta juga sering menemuramah beliau bagi mendapatkan maklumat berkaitan bot-bot tradisional Melayu terutamanya di Pulau Duyong.
    Komitmen yang tinggi dalam memartabatkan Seni Kraf Warisan Negara

    Menambah ilmu dan mempertingkatkan kemahiran
    Walaupun faktor usia yang semakin lanjut, semangat dan kecintaa beliau terhadap kraf pembuatan bot tidak pernah luntur. Sekiranya ditawarkan kursus, latihan dan seminar yang berkaitan beliau akan masih berminat untuk turut serta sama ada sebagai peserta mahupun ahli panel. Antara kursus-kursus yang pernah dihadirinya adalah melibatkan anjuran Kraftangan Malaysia dan agensi kerajaan seperti MTIB.

    Nilai falsafah dan identiti dalam memartabatkan kraf warisan
    Setiap hasil karya yang dihasilkan adalah sentiasa berpaksikan nilai-nilai tradisional melayu dan disulami dengan aspek-aspek moden dan kontemporari.
Facebook
Twitter
Instagram
Kod QR
RSS
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.