• Utama
  • Maklumat Kraf
  • Bidang Kraf

Bidang Kraf

Definisi Kraf

 

“Keluaran Kraftangan” ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa keluaran batik; dan “keluaran batik” ertinya apa-apa barang, walau bagaimanapun dihasilkan, yang mempunyai rekabentuk batik pada atau di mana-mana bahagiannya.

 

sumber: Akta 222-Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979




  • Aneka Kraf

    Aneka Kraf memuatkan pelbagai hasil kraf berasaskan manik, kertas, siput, mutiara dan lain-lain lagi. Berikut merupakan contoh produk hasil aneka kraf iaitu lukisan pisau palet, bunga roti, lukisan gelas, bonsai tiruan, napkin kertas, lukisan fabrik, stencilling, rantai mutiara, kasut dan beg manik serta gubahan hantaran.
  • Etnik Kraf

    Istilah etnik berasal daripada perkataan Yunani iaitu ethnos yang bermakna orang. Satu kumpulan etnik ditafsirkan secara sosial atas dasar ciri-ciri budayanya. Ini bererti wujudnya satu kebudayaan atau sub-budaya yang jelas di mana anggotanya merasa disatukan dengan satu sejarah, nilai, sikap dan tingkah laku yang sama. Etnik sering berbeza dalam ciri-ciri budaya seperti adat resam, pola keluarga, pakaian, pandangan mengenai kecantikan, orentasi politik, kegiatan ekonomi dan hiburan. Di Malaysia, orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Melanau, dan pelbagai lagi boleh dianggap sebagai etnik. Etnik kraf pula adalah terdiri daripada produk-produk yang dihasilkan oleh kumpulan-kumpulan etnik ini seperti ukiran kayu orang asli, ukiran kayu negeri Sarawak, manik dan anyaman Sabah dan Sarawak.
  • Hasil Rimba

    Malaysia bertuah memiliki hasil alam yang dapat menyumbang kepada pendapatan dan ekonomi rakyat tempatan. Bidang hasil rimba seperti bahan daripada kayu, buluh, rotan, mengkuang, pandan, bemban, tempurung kelapa dan daun serdang yang gigih diusahakan oleh usahawan kraf tempatan, masyarakat etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli.

    Sabah adalah negeri yang mempunyai bilangan usahawan kraf bidang hasil rimba yang tertinggi, iaitu melebihi 2,000 usahawan. Selain Sabah, Sarawak juga mempunyai bilangan usahawan yang besar dalam mengeluarkan pelbagai penggunaan produk kraf hasil rimba yang begitu dekat dengan kehidupan seharian. Seni kraf yang berasaskan kayu, buluh, rotan, mengkuang dan lain-lain lagi.
  • Seramik

    Perkataan seramik diambil dari perkataan bahasa Inggeris ( ceramic ) berasal dari Yunani, dan secara harafiahnya merujuk kepada semua bentuk tanah liat. Bagaimanapun, penggunaan istilah moden meluaskan penggunaannya yang merangkumi bahan bukan logam bukan organik. Sehingga tahun 1950an, yang paling penting adalah tanah liat tradisional, yang dijadikan barangan tembikar (pottery), batu bata, jubin dan seumpamanya, bersama dengan simen dan kaca. Secara sejarah, barangan seramik adalah keras, poros, dan mudah pecah. Seni kraf seramik ini seperti tembikar, kristal, kaca dan batu marmar.

    Tembikar merupakan salah satu daripada hasil kraftangan Melayu tradisi. Ia diperbuat daripada tanah liat dan antara barang-barang yang diperbuat dari tembikar ialah zawan, mangkuk, pinggan, pasu dan sebagainya. Terdapat empat kawasan utama sebagai pusat kegiatan pengeluaran barangan ialah di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan, di Sayong, Kuala Kangsar, Perak, di Kampung Pasir Durian, Hulu Tembeling, Pahang dan beberapa tempat di Sarawak. Salah satu barangan tembikar yang begitu popular di Malaysia ialah labu sayong. Cara menghasilkan tembikar juga dipanggil seramik di empat kawasan tersebut tidak banyak berbeza cuma jenis barangan yang dihasilkan dan rekacorak hiasan atau pengemasannya. Perbezaan ini wujud kerana pengaruh adat dan cara hidup mesyarakat tempat, serta daya cipta pengusahanya. Hal ini juga memberi gambaran bahawa barangan tembikar tradisional mengutamakan ciri fungsional dari ciri perhiasan. Labu ialah sejenis buyong, takar atau kendi tembikar yang bentuk asasnya menyerupai buah labu. Sayong pula nama merupakan sebuah kampung yang terletak di Kuala Kangsar.
  • Logam

    Seni kraf perak, tembaga dan besi adalah antara pertukangan kraf warisan logam yang masih kekal diusahakan sehingga kini di Malaysia. Penggunaan bahan, alat kelengkapan dan kepelbagaian teknik pembuatan membantu mendorong tukang kraf tempatan menghasilkan barangan seni kraf dalam pelbagai rupa bentuk dan kegunaannya. Kegagahan serta kreativiti para tukang logam terserlah melalui teknik-teknik pembuatan barangan kraf secara tradisional seperti teknik penghapusan lilin dalam penghasilan kraf tembaga, teknik tempa bagi menghasilkan mata senjata atau keris dari logam besi serta teknik memahat dan teknik pintalan dawai bagi barangan kraf perak.

    Kesederhanaan tukang kraf dalam menghasilkan reka bentuk dan kreativiti mengadun jalinan motif menonjolkan identiti seni warisan kraf Melayu. Hasil pertukangannya yang tidak keterlaluan dalam memperlihatkan kemahiran juga kemampuan mengadun rupa bentuk, motif atau corak menggambarkan keharmonian dan tatatertib dalam sebuah peradaban. Antara hasil barangan seni kraf warisan logam adalah seperti tepak sirih, kendi, pahar, bekas perasapan, kebak laksa, keris, tombak, golok, parang, kelewang serta barangan kemas sebagai perhiasan diri seperti dokoh, kerongsang, pending, gelang kaki, caping dan sebagainya.
  • Tekstil

    Tekstil pada asalnya merupakan satu benda yang dicipta bertujuan untuk melindungi tubuh badan. Zaman kian beranjak sedikit demi sedikit, menjadikan tekstil sebagai pelengkap kepada sesebuah upacara rumah tangga, sebagai simbol kebesaran pemakai, media ekspresi seni dan sebagainya. Tekstil dapat merangkumi pelbagai segi antaranya ialah antropologi (sosial dan budaya) kerana dapat menunjukkan adat istiadat sesuatu masyarakat dan juga arkeologi kerana dapat melahirkan sejumlah informasi pada evolusi budaya. Sebagai media ekspresi seni, seni tekstil dapat dikumpulkan dalam koleksi seni rupa (fine art), seni rakyat (folk arts) atau seni pendatang (tourist arts). Seni kraf tekstil ini meliputi batik, tenunan, songket, tekatan, sulaman dan lain-lain lagi .

    Batik, songket, tenun Pahang Diraja, pua dan dastar antara kraf tekstil tempatan yang banyak menyimpan pelbagai kisah dan lagenda. Tekstil warisan ini terus berkembang dan turut mengalami perubahan terutama pada teknik pembuatan, reka corak, warna dan penggunaan bahan. Hasil kajian dan penyelidikan yang dilakukan secara berterusan, kraf tekstil yang unik dan beridentiti sendiri mula menjadi pilihan pereka fesyen tempatan dan dari luar negara. Adunan warna dan reka corak menarik pada batik sesuai dijadikan pakaian santai, kasual ataupun pakaian petang yang anggun dan eksklusif. Kehalusan songket serta kain tenun Pahang Diraja terus meletakkan kedua-dua kraf tekstil ini sebagai warisan agong kebanggaan bangsa. Setiap helai pua dan dastar yang ditenun pula mempunyai pelbagai mitos dan lagendanya sendiri.
Facebook
Twitter
Instagram
Kod QR
RSS
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.